"Sanggup Gendong Mak Jauh-Jauh Dari Yaman, Tapi Tak Sempat Jumpa Nabi. Kisah 'Anak Emak' Yang Paling Mulia Di Langit."
Zaman sekarang, kalau orang panggil kita "Anak Emak", mesti kita rasa panas telinga.
Iyalah, gelaran tu kan selalunya untuk lelaki lembik yang tak reti berdikari, sikit-sikit nak merengek bawah ketiak mak.
Tetapi dalam sejarah Islam, ada seorang lelaki yang memegang gelaran "Anak Emak" ni dengan darjat yang paling tinggi sampaikan Nabi SAW sendiri suruh para sahabat pergi cari dia.
Nama dia Uwais Al-Qarni.
Dia bukan sahabat Nabi.
Dia tak pernah duduk satu majlis dengan Nabi, tak pernah perang bersama Nabi, malah wajah Nabi pun dia tak pernah tengok seumur hidup.
Dia cuma seorang pemuda miskin dari Yaman yang hidup sezaman dengan Rasulullah.
Apa yang buat dia special sangat?
Ceritanya macam ni.
Uwais ni ada satu keinginan yang membuak-buak nak jumpa Rasulullah di Madinah.
Rindu dia pada Nabi tu macam orang gila bayang.
Setiap hari dia dengar cerita pasal Nabi dari orang yang lalu-lalang, hati dia meronta-ronta nak pergi berhijrah.
Tapi ada satu penghalang besar.
Dia ada seorang ibu yang tua dan uzur (ada riwayat kata lumpuh dan buta).
Ibu dia tak ada orang lain nak harap melainkan Uwais.
Makan pakai, berak kencing, semuanya Uwais yang uruskan.
Setiap kali dia minta izin nak pergi Madinah kejap je untuk jumpa Kekasih Allah, mak dia berat hati nak lepaskan.
Di sinilah ujian paling berat bagi seorang lelaki.
Antara nak kejar impian agung jumpa Rasulullah atau nak berbakti pada syurga di dalam rumah.
Uwais buat pilihan yang sangat "mahal".
Dia batalkan niat nak jumpa Nabi.
Dia korbankan keinginan hati dia semata-mata tak sanggup tengok mak dia sedih atau terabai walau sesaat.
Tuan puan bayangkan, dia "terlepas" peluang jadi Sahabat Nabi (gelaran paling prestigious dalam Islam) sebab nak jaga mak.
Kalau kita, mahu meraung tak berlagu.
Tapi Allah Maha Adil.
Pengorbanan "Anak Emak" ni rupanya sampai ke pengetahuan langit.
Satu hari, Nabi SAW panggil Saidina Umar Al-Khattab dan Saidina Ali r.a.
Nabi pesan satu benda yang pelik.
Nabi kata: "Nanti akan datang seorang lelaki dari Yaman, dari kabilah Murad dan Qarn. Dia ada penyakit sopak tapi dah sembuh kecuali ada satu tompok putih sebesar duit dirham. Dia ada seorang ibu dan dia sangat taat pada ibunya."
Nabi sambung lagi: "Kalau kamu jumpa dia, mintalah dia doakan keampunan untuk kamu."
Fuh, meremang bulu roma!
Nabi suruh Umar, calon penghuni syurga dan bakal Khalifah tu minta doa kat budak kampung yang tak dikenali?
Dahsyat betul level Uwais ni.
Bertahun-tahun lepas Nabi wafat, setiap kali musim Haji, Saidina Umar akan jadi macam polis.
Dia akan pergi serbu khemah jemaah haji dari Yaman.
Dia akan jerit: "Ada tak siapa-siapa dari Qarn kat sini?"
Orang Yaman pun pelik, Khalifah ni cari siapa?
Akhirnya satu hari, Umar jumpa juga dengan Uwais.
Umar tengok Uwais ni selekeh je, baju pun lusuh.
Umar tanya: "Kamu Uwais bin Amir?"
Uwais jawab: "Ya."
Umar tanya lagi: "Ada kesan sopak tinggal satu dirham?"
Uwais angguk.
"Ada ibu yang kamu taat?"
Uwais angguk lagi.
Terus Umar peluk dia dan minta doakan keampunan.
Uwais terkejut.
Dia kata: "Tuan ni Sahabat Nabi yang mulia, saya ni orang biasa je. Sepatutnya Tuan la doa untuk saya."
Tapi Umar berkeras sebab nak tunaikan wasiat Nabi.
Lepas kejadian tu, nama Uwais mula meletup.
Orang ramai mula hurung dia nak minta berkat. Kalau zaman sekarang siap pakej nak ajak selfie lah.
Tapi Uwais ni bukan jenis gila glamour.
Bila orang dah mula kenal, dia rasa rimas.
Dia lari menyembunyikan diri, hidup sebagai rakyat marhaen yang tak dikenali sampai ke akhir hayatnya.
Kisah Uwais ni "tamparan" padu untuk kita yang masih ada mak ayah.
Kita kadang-kadang sibuk nak kejar pahala sunat, sibuk nak pergi program sana sini, tapi mak kat kampung telefon pun kita malas angkat.
Kita rasa jaga orang tua tu beban.
Padahal Uwais Al-Qarni dapat VIP Pass di sisi Allah bukan sebab dia berperang angkat pedang, tapi sebab dia angkat mak dia.
Nabi pernah sebut, dia ni "Penghuni Langit yang berjalan di bumi".
Dekat bumi dia nobody, orang tak pandang, baju koyak rabak.
Tapi dekat langit, nama dia trending disebut-sebut para malaikat.
Jadi kalau hari ni kita rasa hidup sempit, cuba semak balik hubungan kita dengan "keramat hidup" kat rumah tu.
Entah-entah doa mak kita itulah yang selama ni jadi perisai kita dari segala bala bencana.
MasyaAllah.
----------------------------------------------------
POSTING SEBELUM INI : https://normanhafizi.blogspot.com/2026/01/01-januari-2026.html

No comments:
Post a Comment