Tadi saya duduk sekejap di luar masjid selepas tarawih. Orang ramai mula keluar. Ada yang sembang, ada yang cepat-cepat balik. Angin malam Ramadan terasa lembut sedikit.
Di hujung tangga, saya terdengar dua orang berbual.
Seorang berkata perlahan,
“Ramai juga tak datang tarawih malam ni…”
Yang seorang lagi menjawab,
“Biasalah… orang sekarang malas.”
Saya diam saja. Tak masuk campur. Cuma ayat itu singgah lama dalam kepala saya.
Entah kenapa, saya teringat beberapa orang yang saya kenal.
Ada seorang kawan yang jarang nampak dia di masjid waktu tarawih. Tapi setiap pagi sebelum Subuh, dia sudah di hospital menjaga ibunya yang sakit.
Ada juga yang jarang ikut berjemaah malam. Tapi saya tahu dia memang memandu e-hailing sampai lewat malam. Itu saja cara dia kumpul duit untuk sekolah anak-anak.
Dan saya percaya. Akan ada juga yang mungkin tidak datang ke masjid. Tapi malam-malam mereka berada di tikar sejadah, menadah tangan. Berdoa dengan cara yang hanya Tuhan dan dirinya saja tahu.
Kawan-kawan. Kadang kita ada nampak satu-satu amalan tertentu, lalu kita cepat menilai seluruh hidup seseorang.
Sedangkan amal manusia itu luas, dan banyak yang berlaku di tempat yang tidak kita lihat.
Tarawih itu indah. Masjid yang penuh itu menenangkan. Tapi Ramadan juga mengajar sesuatu yang lain.
Bahawa hati manusia tidak boleh diukur dari satu malam yang kita nampak.
Saya sendiri pernah berada di kedua-dua tempat.
Ada malam saya mampu ke masjid.
Ada malam saya solat di rumah, sambil memohon Allah menerima keletihan yang saya sendiri tak tahu nak jelaskan. Begitulah kita manusia.
Lepas solat tadi saya pulang dari masjid dengan satu rasa kecil dalam hati.
Mungkin. Ramadan ni bukan sekadar tentang siapa yang paling banyak berdiri di saf paling hadapan. Tetapi juga tentang siapa yang paling banyak belajar menjaga hati daripada merasa lebih baik daripada orang lain.
Kerana kadang-kadang, orang yang kita sangka jauh dari Tuhan, mungkin sedang menangis dalam sujud yang tidak pernah kita lihat.
Dan kita hanya nampak pintu masjid yang terbuka, tanpa pernah tahu pintu hati siapa yang sedang Allah buka perlahan-lahan.
Semoga Ramadan ini bukan sekadar menambah amal kita, tetapi juga melembutkan cara kita melihat manusia lain. Jangan terlalu menghukum.
Kerana di hadapan Allah, semua kita pendosa. Yang masih belajar untuk kembali ke jalan benar.
Arif Sukri
Ramadan Mulia jaga hati kita.

No comments:
Post a Comment