Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Sunday 27 October 2013

Fahami keputusan kalimah Allah

Oleh Salleh Buang
PENULIS ialah penganalisis undang-undang.



Barisan peguam bela mengadakan sujud syukur selepas Mahkamah Rayuan memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan di dalam The Catholic Weekly. Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan kerajaan. - UTUSAN/Zaki Amiruddin

Dalam kes Menteri Dalam Negeri & 8 yang lain lwn Titular Roman Catholic Archbishop Kuala Lumpur (Rayuan Sivil No. W-01-1-2010), Mahkamah Rayuan telah menyatakan, dalam satu dokumen 4 muka surat bertajuk "Ringkasan Keputusan" (Summary of Decision) bertarikh 14 Oktober 2013, ditandatangani oleh Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, bahawa kes ini adalah satu rayuan daripada keputusan Mahkamah Tinggi ekoran satu permohonan semakan kehakiman mengenai satu syarat yang telah dikenakan oleh Menteri Dalam Negeri dalam permit penerbitan The Catholic Weekly.

Syarat yang telah dipertikai oleh Roman Catholic Archbishop itu adalah larangan menggunakan kalimah "Allah" dalam penerbitan itu. Dalam keputusan Mahkamah Tinggi di akhir pendengaran semakan kehakiman itu, Hakim telah membenarkan permohonan Archbishop.

Intipatinya, Hakim Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa Menteri Dalam Negeri tidak boleh mengenakan syarat yang dipertikai itu. Ini bermakna penerbitan The Catholic Weekly itu boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Terkilan dengan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Menteri Dalam Negeri dan lapan pihak lain (termasuk Kerajaan Malaysia, Majlis Agama Islam beberapa negeri dan Persatuan Muslim Cina Malaysia) telah merayu ke Mahkamah Rayuan. Di akhir pendengaran rayuan ini, Mahkamah Rayuan telah membenarkan rayuan perayu.

Intipatinya, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa syarat yang dikenakan oleh Menteri Dalam Negeri itu adalah sah, dan oleh itu kalimah "Allah" tidak boleh digunakan dalam penerbitan The Catholic Weekly.
Di bawah sistem kehakiman negara, pihak yang masih terkilan di peringkat rayuan kali pertama masih boleh lagi membuat rayuan kali kedua ke mahkamah yang lebih atas, tetapi ini bergantung kepada "izin" (leave) diperolehi daripada mahkamah yang di atas itu (iaitu dalam kes ini, izin atau kebenaran Mahkamah Persekutuan).

Andainya Mahkamah Perekutuan memberi izin dan bersedia mendengar rayuan daripada Archbishop, kes ini akan sekali lagi didengar di mahkamah. Tidak siapa boleh meramalkan bagaimana Mahkamah Persekutuan akan memutuskan kes ini nanti.

Jika izin untuk merayu kali kedua tidak diberi, kes ini berakhir di sini sahaja.

Hakim Mohamad Apandi menyatakan, dalam Ringkasan Keputusan tersebut, bahawa undang-undang semakan kehakiman di negara ini sudah jelas. Katanya lagi ada tiga kategori kes di mana satu keputusan pentadbiran (administrative decision) itu boleh disemak oleh mahkamah iaitu bila berlaku illegality, irrationality and procedural impropriety.

Maksudnya satu keputusan yang dibuat oleh seorang Menteri itu boleh disemak oleh mahkamah sekiranya ia didapati menyalahi undang-undang, tidak rasional (dalam bahasa mudah, tidak masuk akal), dan sekiranya ia menyalahi prosedur yang ditetapkan.

Setelah meneliti fakta kes dan mendengar hujah pihak-pihak berkenaan, Hakim Apandi menyatakan bahawa Mahkamah Rayuan mendapati Menteri telah bertindak dengan betul, dan tidak ada asas atau sebab mahkamah perlu menggugat atau campur tangan dengan keputusan yang dibuat olehnya ("It is our considered finding that the Minister has not acted in any manner or way that merit judicial interference on his impugned decision.")

Hakim Mohamad Apandi juga menyatakan bahawa kalimah "Allah" bukan satu bahagian dalaman yang penting bagi kepercayaan dan amalan orang Kristian" (not an integral part of the faith and practice of Christianity.")

Berasaskan keterangan yang dikemukakan, Mahkamah Rayuan berpuas hati bahawa Menteri Dalam Negeri telah menjalankan tugasnya dan melaksanakan kuasa statutorinya di bawah Akta Percetakan dan Penerbitan 1984 dengan betul, dan oleh itu tidak ada sebab yang munasabah bagi Mahkamah Tinggi menggugat atau campur tangan dengan keputusan Menteri itu ("Thus, there is no plausible reason for the High Court to interfere with the Minister's decision").

Hakim Mohamad Apandi seterusnya menyatakan "penjelasan dan alasan yang lebih terperinci" keputusan Mahkamah Rayuan ini boleh dibaca dalam penghakiman bertulis berasingan yang telah disediakan oleh ketiga-tiga ahli panel mahkamah, iaitu oleh Hakim Datuk Apandi sendiri, Hakim Abdul Aziz Abdul Rahim serta Hakim Mohd Zawai Salleh.

Penghakiman bertulis Hakim Mohamad Apandi adalah setebal 43 muka surat, manakala penghakiman bertulis Hakim Abdul Aziz adalah setebal 34 muka surat, dan penghakiman bertulis Hakim Mohd Zawawi adalah setebal 25 muka surat.

Untuk berlaku adil kepada tiga orang ahli panel Mahkamah Rayuan ini, siapa sahaja yang ingin membuat komen atau memberi pandangan mengenai keputusan mahkamah aras kedua di negara ini hendaklah terlebih dahulu membaca sepenuhnya dengan teliti, sambil berlapang lada dan dengan minda terbuka.

Pendek kata, bersedialah terlebih dahulu membaca dan menilai penghakiman bertulis setebal 100 muka surat semuanya sebelum cuba memberi sebarang komen anda.

Sahabat sering bertanya kepada saya kenapa saya berkeras sangat menentang kalimah "Allah" digunakan dalam Bible bahasa Melayu. Saya jawab bahawa bagi umat Islam, kita tak perlu pergi jauh; cukup dengan mengingatkan semula Surah al-Ikhlas, ayat pertama yang jelas mengingatkan kita bahawa "Allah itu satu".
Berbeza dengan penganut Agama Kristian - yang mempercayai ada Tuhan, ada anak, dan ada ruhul kuddus (Father, Son, Holy Ghost).

Saya berasa lega bahawa pendekatan yang sama diambil oleh Hakim Mohd Zawawi dalam penghakimannya.
Nampaknya ramai yang masih terus menerus mempertikai keputusan Mahkamah Rayuan ini, termasuklah seorang bekas Menteri. Tak tahulah sama ada pengkritik dan pengulas ini telah pun membaca sepenuhnya teks penghakiman tiga orang Hakim ini ataupun sebaliknya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131019/re_01/Fahami-keputusan-kalimah-Allah#ixzz2ivWanOhe
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...