Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Friday, 18 October 2013

Jangan ulang tragedi Srebenica


Penulis (kanan) bersama rombongan di hadapan kilang yang menjadi pusat tahanan umat Islam di Potocari, Srebrenica. Ia kini dijadikan bilik memorial yang mempamerkan gambar kekejaman tentera Serb. Dari kiri, Ahmad Ayob Ibrahim, Noor Hasma Haron, Nur Zaimah Ali dan Hazizan Ahmad.

TIDAK pernah terbayang dalam kamus hidup Mirnes Mujic menyaksi dan melalui liku hidup yang amat menyedihkan apabila pada usianya 10 tahun, beliau menjadi anak yatim selepas kehilangan bapa tersayang.

Di saat anak-anak yang sebaya dengannya bermanja dengan ayah, beliau kematian bapa.
Semuanya angkara tindakan kejam puak Serbia yang didokong oleh pasukan tenteranya menyerang umat Islam 17 tahun lalu.

Bapanya dibunuh oleh tentera Serb pada tahun 1993. Sesekali kelihatan kelopak mata Mirnes bergenang kerana teringat kisah sedih itu.

Beliau berkata, serangan paling hebat puak Serb adalah pada tahun 1995 ketika usianya 12 tahun.

Ketika itu, tentera Serb menahan semua lelaki termasuk kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke atas di sebuah kilang berdekatan Potocari, sebuah daerah di Srebrenica.

Kaum lelaki yang membantah atau cuba melawan ada dibunuh di belakang kawasan kilang.

Mereka kemudiannya diangkut menaiki lori ke Tuzla (kawasan yang ditadbir oleh orang Islam) iaitu kira-kira 130 kilometer dari Srebrenica.

"Allah masih sayangkan saya. Walaupun sudah berumur 12 tahun tetapi saiz badan saya kecil menyebabkan saya tidak dibawa bersama ke Tuzla.

"Saya turut ditahan di kilang itu selama tiga hari bersama ribuan umat Islam Bosnia yang lain," katanya.

Mirnes kini berumur 29 tahun dan bertugas sebagai Imam di daerah Orahovica Lukavac selepas menamatkan pelajaran dalam pendidikan Islam di Universiti Sarajevo.

Ketika ditahan di kilang tersebut, beliau mendengar tentera Serb mengarahkan para ibu supaya mendiamkan bayi atau anak kecil yang menangis.

"Bayi dan anak-anak yang terus menangis akan dirampas oleh tentera Serb dan kemudiannya ditembak," katanya.

Menurut Mirnes, tindakan tentera Serb itu amat menyeksa psikologi para ibu yang terpaksa berpisah dengan anak mereka.

"Lebih-lebih lagi bagi para ibu yang masih menyusukan anak. Pada saya, itu adalah saat paling sulit bagi para ibu," jelasnya.

Selain kehilangan bapa, Mirnes turut kematian empat bapa saudara, lima sepupu dan tiga abang ipar.

Bagaimanapun, kubur bapanya terletak di tengah-tengah bandar Srebrenica manakala saudaranya yang lain disemadikan di perkuburan besar Potocari.

Ditanya sama ada kisah menyayat hati itu dapat dilupakan, Mirnes berkata, umat Islam Bosnia tidak akan melupakan tragedi berdarah itu.

"Setiap tahun apabila tiba 11 Julai, pasti ingatan sedih ini akan bermain di fikiran dan ia amat sukar dilupakan.

"Kami tidak akan maafkan perbuatan kejam puak Serb," katanya.

Dalam pada itu, Mirnes mengucapkan terima kasih kepada Malaysia yang memainkan peranan mengetengahkan isu berkaitan kekejaman puak Serb.

"Cuma kami harap, tragedi hitam ini tidak akan berlaku walau di mana juga. Saya juga berharap generasi baru Islam di sini akan terus menjadi Muslim yang berjaya dunia dan akhirat," katanya.

Seorang lagi yang pernah menjadi mangsa kekejaman ialah bekas anggota tentera Bosnia, Fakruddin, 45, yang pernah ditawan selama enam bulan oleh tentera Serb.

Katanya, selama ditawan dari bulan Jun hingga Disember 1992, beliau diseksa dan tangan serta lengannya turut dikelar.

"Ketika itu, tentera Serb menjadikan anak-anak sebagai tembakan supaya para ibu sengsara dan menjadi gila.

"Saya sendiri membunuh lebih 20 tentera Serb ketika perang," katanya yang kini bekerja sebagai pemandu teksi di Sarajevo.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20120824/re_07/Jangan-ulang-tragedi-Srebenica#ixzz2i8LV0djc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...