KUALA LUMPUR 25 Okt. - Laporan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) dijadikan asas oleh beberapa negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mendesak Malaysia mengiktiraf hak kebebasan beragama dan amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Ketua Delegasi Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPro) ke Geneva, Switzerland, Azril Mohd. Amin berkata, negara-negara terbabit memberi tekanan kepada Malaysia untuk menandatangani Perjanjian Antarabangsa Tentang Hak-Hak Awam dan Politik (ICCPR).
Menurut beliau, desakan itu amat membimbangkan kerana Artikel 18 ICCPR adalah berkaitan dengan hak kebebasan beragama dan perlu dibaca dengan Artikel 18 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) yang mentakrifkan seseorang individu bebas meninggalkan agamanya.
"Slovakia, Ukraine, Belanda, Australia, Hungary, Jepun, Switzerland, Sierra Leone, Slovakia dan Palestin menuntut Malaysia menandatangani ICCPR.
"Iran pula secara khusus mencadangkan agar Malaysia menghapuskan diskriminasi terhadap penganut agama minoriti," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia hari ini.
Azril mengulas tentang hasil pemantauan MuslimUPro pada sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) ke atas Malaysia oleh Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva semalam.
Para anggota delegasi MuslimUPro yang turut hadir ialah Pengerusi Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar; Pengerusi Yayasan Nassar, Nasharudin Mat Isa; Presiden Institut Kajian Islam dan Strategik (ISSI), Dr. Yusri Mohamad dan Timbalan Presiden PPMM, Abdul Rahim Sinwan.
Sesi UPR ke atas Malaysia dipengerusikan oleh Naib Presiden Majlis Hak Asasi Manusia PBB, Iruthisham Adam dari Maldives manakala Malaysia diwakili Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Ho May Yong.
Draf laporan sesi UPR tersebut akan diedarkan pada 28 Oktober ini.
Azril menambah, isu LGBT pula dibahaskan oleh wakil-wakil dari Austria, Belgium, Perancis, Jerman, Belanda dan Croatia.
"Mereka menyarankan agar Malaysia menghapuskan undang-undang berkaitan jenayah liwat sebagai saluran menjamin kebebasan hak-hak golongan LGBT," ujarnya.
Beliau memberitahu, saranan-saranan yang dikemukakan negara-negara berkenaan kepada Malaysia adalah konsisten dengan tuntutan-tuntutan yang dikemukakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro-LGBT di Malaysia dan beberapa negara lain.
"Maka, adalah tidak benar seperti dakwaan media propembangkang yang memutarbelit fakta bahawa isu-isu tersebut tidak relevan dan tidak disebut secara meluas pada sesi UPR," katanya.
Beliau menegaskan, laporan Comango yang menjadi sebahagian asas pembentangan pada sesi UPR adalah tidak bertanggungjawab kerana mengemukakan tuntutan-tuntutan yang tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131026/dn_24/Malaysia-didesak-iktiraf-kebebasan-beragama-LGBT#ixzz2ivfHwO8d
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment