Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Sunday, 27 October 2013

Sensitiviti rakyat perlu dijaga

Oleh Azmi Hassan

MASIH ada juga rakyat Malaysia yang mengandaikan keputusan kerajaan untuk menghalang usaha membawa pulang abu mayat pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Ong Boon Hua atau lebih dikenali sebagai Chin Peng adalah melampaui batas, tidak berpijak di bumi nyata dan tidak berperi kemanusiaan.

Pihak yang mempunyai tanggapan sedemikian lazimnya menilai perjuangan PKM sebagai salah satu sumbangan kepada proses kemerdekaan negara daripada penjajahan British dan menggunakan dalil tersebut untuk menghujah supaya Chin Peng diberi penghormatan terakhir di Malaysia.

Tetapi ada juga yang berpendapat isu membawa pulang abu mayat Chin Peng sebagai satu isu yang remeh dan sepatutnya kerajaan tidak menghalang hasrat tersebut.

Memang benar perjuangan PKM telah lama berkubur tetapi sensitiviti yang bersabit dengan kelakuan kekejaman komunis yang dianggap sinonim dengan perjuangan Chin Peng tidak mudah dipadamkan atau pun dilupakan dengan begitu sahaja oleh rakyat Malaysia.

Bagi kelompok yang masih beranggapan membawa pulang abu mayat Chin Peng tidak akan memudaratkan keselamatan negara perlu menilai kembali pendirian sedemikian rupa.

Paling terkini peristiwa yang perlu digunakan sebagai iktibar baharu berlaku dua hari lepas apabila penduduk bandar Albano Laziale, Itali telah menghalang upacara pengkebumian Erich Priebke, bekas pegawai Nazi SS Jerman yang telah disabitkan dengan kesalahan jenayah perang.

Priebke didapati bersalah oleh mahkamah Itali pada tahun 1998 kerana bertanggungjawab ke atas jenayah pembunuhan beramai-ramai pada tahun 1944 yang telah mengorbankan 335 nyawa orang awam.
Peristiwa ini adalah ekoran daripada arahan Adolf Hitler yang menuntut balas dendam terhadap kematian 33 askar Jerman yang telah di serang hendap oleh kumpulan pemberontak beberapa hari sebelum itu.
Kematian Priebke telah menimbulkan isu yang begitu polemik dan sensitif bagi rakyat Itali walaupun peristiwa kekejaman tersebut telah berlalu hampir tujuh dekad lalu dan Priebke mati semasa menjalani hukuman tahanan seumur hidup.

Seperti mana Chin Peng, Priebke yang meninggal dunia ketika berusia 100 tahun tidak pernah meminta maaf di atas kekejaman yang dilakukan beliau.

Malah Vatikan buat julung kali sebagai mengambil kira sensitiviti rakyat Itali telah mengeluarkan arahan tidak membenarkan upacara pengkebumian Priebke dikendalikan oleh mana-mana gereja Katolik di Rome.
Begitu juga dengan Argentina telah menolak permintaan kerajaan Itali untuk memulangkan Priebke kerana beliau telah menetap secara rahsia di negara itu selama hampir lima dekad selepas tamatnya Perang Dunia Kedua. Identiti Priebke terbongkar pada tahun 1994 dan diekstradisi ke Itali selepas itu.

Permintaan Itali itu berlandaskan dengan alasan Priebke hampir separuh abad menetap di Argentina dan sepatutnya disemadikan bersebelahan kubur isteri beliau.

Tetapi permintaan itu ditolak oleh kerajaan Argentina kerana Menteri Luar, Hector Timerman telah mengeluarkan arahan menegah mayat Priebke dibawa masuk ke Argentina. Malah Timerman telah menegaskan rakyat Argentina sama sekali tidak boleh menerima seseorang yang telah mengaibkan sifat peri kemanusiaan walaupun orang itu telah pun meninggal dunia.

Sebagaimana telah berlaku terhadap isu abu mayat Chin Peng dimana wujud segelintir yang mahu mengagungkan perjuangan pemimpin komunis tersebut dengan alasan beliau telah pun meninggal dunia, polemik yang serupa juga melanda kemelut mayat Priebke.

Pertubuhan St Pius X yang berpegang kepada fahaman haluan kanan ekstrem dan merupakan kumpulan serpihan gereja Katolik mengambil peluang daripada kemelut ini dengan mengendalikan upacara pengkebumian mayat Priebke.

Tindakan St. Pius X ini telah mengguris hati rakyat Itali yang tidak boleh melupakan kekejaman Priebke dan telah berlaku kekacauan antara penyokong St. Pius X dan penentang Priebke ketika upacara pengkebumian di Albano Laziale dan sehingga hari ini jenazah Priebke masih gagal dikebumikan.

Kuala Lumpur mempunyai dalil yang kukuh untuk tidak membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa masuk ke Malaysia. Sebagaimana pengajaran daripada kemelut mayat Priebke di mana sensitiviti yang melibatkan isu perlakuan kekejaman yang begitu melampau, ia langsung tidak boleh diambil mudah dan dipandang ringan.

Menarik juga diungkitkan kembali titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dengan tegas telah menyatakan bahawa Chin Peng adalah petualang dan seharusnya menamatkan segala desakan, tekanan atau tindakan yang bertujuan membenarkan abu mayat dibawa pulang ke negara ini.

Kumpulan yang masih tidak berpuas hati tidak perlu mempersoalkan apakah peruntukan perundangan yang boleh digunakan untuk tidak membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa masuk ke Malaysia.

Titah Sultan Selangor adalah begitu jelas sekali dan sepatutnya kumpulan pendesak ini tidak berselindung dengan menggunakan alasan hak asasi manusia.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131017/re_06/Sensitiviti-rakyat-perlu-dijaga#ixzz2ivUSXtfg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...