MENGAMBIL iktibar daripada kisah nasi vanggey yang kecoh seketika apabila dikhabarkan restoran nasi kandar yang terkenal di Ipoh diarahkan tutup serta-merta kerana dikatakan menggunakan najis manusia sebagai pelaris.
Susulan daripada itu, satu laporan polis telah dibuat oleh pemilik restoran bagi menyangkal dakwaan tersebut dan mahu polis menjalankan siasatan lanjut terhadap individu yang bertanggungjawab.
Namun begitu, tidak lama kemudian, seorang wanita tampil memohon maaf kerana menyebarkan fitnah berkenaan dan menyatakan amat menyesali tindakannya membuat tuduhan tanpa asas dan kebenaran.
Perkara utama yang perlu dilihat daripada isu ini ialah memang benar restoran tersebut diarahkan ditutup sementara disebabkan masalah kebersihan.
Hal ini memang tidak dapat dinafikan. Oleh itu, sebagai Muslim, tidak kira apa-apa bangsa sekalipun wajib mempunyai rasa tanggungjawab menyediakan makanan dengan mematuhi konsep 'halalan toyyiban' yang diterapkan dalam Islam.
Bagi saya, sudah sampai masanya pemilik restoran nasi vanggey memohon sijil halal daripada JAKIM bagi memulihkan kembali keyakinan orang ramai di Perak khususnya yang sememangnya menggemari nasi vanggey ini setelah sekian lama beroperasi.
Selain itu, kita sangat kesal dengan krisis yang dimiliki oleh manusia yang mempunyai perasaan hasad dengki dan tidak senang melihat kejayaan orang lain.
Tiada sesiapa menyangkal bahawa restoran tersebut diarahkan tutup sementara waktu atas faktor kebersihan, tetapi sikap 'menambah rencah' terhadap berita ini dengan mengatakan najis manusia digunakan sebagai pelaris adalah perangai yang keji dan amat tidak bertanggungjawab serta mempunyai penyakit hati.
Berfikir dahulu sebelum bercakap atau menulis di laman sosial. Elakkan fitnah kerana ia bukan sahaja membawa kemudaratan terhadap orang yang difitnah, malah boleh merosakkan imej penfitnah itu sendiri.
Antara perkara lain yang perlu ditekankan ialah pastikan berita yang mahu disebarkan itu mempunyai fakta yang jelas dan bukti yang cukup dengan syarat ia memberi kebaikan kepada masyarakat umum.
Jangan asal dengar sahaja, terus cerita dan sebarkan. Kaji dahulu kebenaran sesuatu berita sebelum disebarkan kerana setiap anggota badan kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti berdasarkan firman Allah dalam al-Quran, surah al-Hujurat ayat 6 dan Surah al-Isra' ayat 36.
Janganlah disebabkan keghairahan kita mahu menyebarkan 'berita panas' sehingga terlupa memikirkan dan menyiasat kesahihan sesuatu berita tersebut.
Akhir sekali, tahniah diucapkan kepada wanita pencetus kepada isu ini yang berani tampil memohon maaf bagi menjelaskan kesilapan yang telah dibuatnya itu. Sikap ini sepatutnya dipuji dan dicontohi oleh semua orang yang pernah tersilap memberikan kenyataan yang boleh menjatuhkan maruah atau merugikan orang lain.
Diharapkan dengan permohonan maaf itu dapat meleraikan kembali kekusutan yang timbul dan menjernihkan kembali isu ini.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20131122/fo_04/Ambil-iktibar-daripada-kisah-nasi-vanggey-di-Ipoh-dalam-isu-kebersihan#ixzz2mMqQiSwI
© Utusan Melayu (M) Bhd
Ambillah pengajaran daripada kata-kata penulis di atas sebagai pengajaran supaya tidak lagi timbul lagi masalah yang sama pada masa hadapan. Ingat, dosa memfitnah itu lebih buruk daripada dosa membunuh orang lain. Wallahualam....
ReplyDelete