AWANG berasa lega kerana akhirnya penjenayah kejam yang memperdayakan banyak pihak dengan bekerja sebagai pengawal keselamatan dan sanggup menembak mati pegawai AmBank di Subang Jaya akhirnya diberkas, selepas 19 hari operasi pemburuan dilakukan oleh pasukan polis.
Sekali lagi Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar membuktikan keyakinannya bahawa penjenayah warga Indonesia yang melarikan wang tunai RM450,000 itu akan tertangkap jua. Bagi kes ini, Khalid mengibaratkan jerat tak melupakan pelanduk.
Kecekapan, keyakinan dan kesabaran pihak polis akhirnya berbayar apabila penjenayah ini yang dikenali sebagai Ardi Hamza diberkas di Kota Tinggi. Bukan mudah untuk menjejak penjenayah yang telah merancang gerakannya dari awal.
Rentetan daripada kes ini, bukan kepalang pasukan polis mendapat kritikan, kecaman bahkan tohmahan. Tetapi kini sesiapapun harus mengiktiraf kejayaan polis ini. Jangan hanya tahu membuat tohmahan dan tuduhan melulu tetapi segan silu pula untuk mengucapkan tahniah kepada pasukan keselamatan.
Tangkapan terbaharu itu memberikan mesej jelas bahawa tiada siapa yang melakukan jenayah di negara ini boleh terlepas dengan mudah. Walaupun penjenayah memiliki sumber dana untuk melarikan diri dan bersembunyi, pasukan polis sentiasa ada cara menjejak mereka.
Kini, penjenayah yang kejam seperti ini mesti dihukum dengan hukuman setimpal. Mahkamah seharusnya turut mempertimbangkan sentimen masyarakat yang bimbang dengan kes-kes jenayah berat yang malangnya, banyak dilakukan oleh warga asing dan kumpulan kongsi gelap.
Apa yang Awang harapkan, kerajaan dan pasukan keselamatan khususnya terus tegas dan tidak bertolak ansur untuk melakukan apa sahaja cara di bawah kuasa undang-undang untuk membanteras kejadian jenayah. Yakinlah penjenayah hanya takut apabila kita bertegas tanpa ada kompromi.
Jadikan kritikan tidak kira dari mana datangnya sebagai satu bentuk keprihatinan masyarakat awam terhadap keselamatan negara ini. Jadikan tohmahan yang selalu dilemparkan oleh kumpulan yang berkepentingan politik sebagai pencetus semangat untuk terus berkhidmat dengan bersih, cekap dan amanah.
AWANG - Tabik polis
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131111/re_04/BISIK-BISIK-AWANG-SELAMAT#ixzz2kIcUS9kB
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment