RAMAI yang mengumpul barangan daripada filem bersiri Star Wars, tetapi tiada siapa yang dapat menandingi koleksi milik Steve Sansweet. Koleksinya bukan calang-calang, malah diiktiraf Guinness Book of World Records sebagai terbesar di dunia!
Sansweet ialah wartawan, penulis dan Presiden Rancho Obi-Wan, sebuah muzium tanpa untung di utara California, tempat menyimpan koleksi Star Wars miliknya yang dianggarkan berjumlah 300,000 barang.
Koleksinya termasuk pakaian dan alatan daripada filem-filem Star Wars, set figura asli yang lengkap serta arked dengan kesemua permainan video dan mesin pinbal.
Hanya 90,546 barang daripada koleksinya yang telah diaudit di muziumnya itu, jumlah yang mencukupi untuk melayakkannya mengatasi rekod Guinness sebelum ini.
Baki selebihnya belum dikira lagi kerana dijangka mengambil masa bertahun-tahun untuk diaudit, apatah lagi koleksinya sentiasa bertambah.
Bekas Ketua Perhubungan Peminat Lucasfilm itu mula mengumpul koleksi Star Wars sejak 1977, sebelum filem blockbuster itu berada di pawagam lagi.
Koleksi pertamanya buku kecil promosi filem tersebut yang dikutipnya dari tong sampah rakan sekerjanya di Wall Street Journal.
Dia benar-benar serius memburu barangan Star Wars pada 1996 ketika mula menyertai Lucasfilm setelah 28 tahun bekerja di Wall Street Journal.
Pada 1998, Sansweet membeli bangunan bekas tempat menternak ayam dan menjadikannya muzium peribadi yang dinamakan Rancho Obi-Wan.
Pada 2011, Sansweet bersara dari Lucasfilm, selepas George Lucas menyiapkan filem keenam Star Wars.
Sansweet turut menulis 16 buah buku mengenai Star Wars termasuk ensiklopedia lengkap mengenai filem itu pada 2008. Star Wars: The Ultimate Action Figure Collection siap pada 2012.
Muzium Rancho Obi-Wan kini dibuka kepada umum tetapi perlu membuat tempahan terlebih dahulu.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131110/lu_03/Koleksi-Star-Wars-terbesar#ixzz2kIe8iS5a
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment