Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Sunday, 10 November 2013

Hidangan sama seperti 70 tahun lalu


KEADAAN pelanggan yang perlu beratur untuk menikmati Nasi Kandar Beratur di Jalan Masjid Kapitan Keling, Georgetown.

APABILA disebut nama Nasi Kandar Beratur pastinya terbayang keadaan orang ramai sedang beratur untuk menikmati hidangan nasi kandar di gerai yang terletak di Jalan Kapitan Keling bersebelahan Masjid Kapitan Keling itu.

Ia bukan sahaja lokasi menjamu selera malah salah satu ikon pelancongan terkenal di Pulau Pinang sehingga menjadi lokasi wajib singgah bagi setiap pengunjung ke negeri itu.

Menariknya, ia tidak dibuka 24 jam seperti kedai nasi kandar lain tetapi hanya memulakan perniagaan pada pukul 10 malam sehingga 9 pagi.

Selain itu, tarikan lain untuk ke kedai itu adalah cara pengendalinya menceduk nasi iaitu dengan menggunakan tempurung kelapa dan bukannya pinggan atau senduk plastik seperti kedai-kedai lain.
Menurut Pengurusnya, Ajmeer Ali, nama Nasi Kandar Beratur cukup terkenal dalam kalangan pelancong kerana ramai yang tertanya-tanya bagaimana kedai itu mendapat nama.

"Sebenarnya nama asal kedai ini adalah Restoran Liyaqat Ali tetapi disebabkan orang ramai terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan hidangan masing-masing, jadilah ia Nasi Kandar Beratur.

"Sehingga kini, nama itu terus melekat di bibir peminat nasi kandar dan identitinya kekal serta menjadi sebutan dalam kalangan pelanggan sehingga menenggelamkan nama asalnya," katanya yang kini meneruskan legasi generasi ketiga pengasas Restoran Nasi Kandar Beratur, Othuman Gany kepada S2.

Jelas Ajmeer, gerai itu dipelopori datuknya dengan menjual menggunakan kandar bersebelahan Masjid Kapitan Keling sejak tahun 1943 dan terus berkembang hingga kini.

Ditanya rahsia yang menjadikan hidangan di situ digemari ramai, Ajmeer mengakui selain penceduk nasi daripada tempurung, mereka juga masih mengekalkan hidangan yang disajikan sejak 70 tahun lalu.
Katanya, biarpun cara memasak berubah daripada menggunakan dapur kayu kepada dapur moden, namun kandungan rempah serta ramuan yang digunakan masih sama.

"Semua menu yang dihidangkan kepada pelanggan menggunakan rempah dan cili yang diproses sendiri termasuk kunyit serta resipi rahsia diwarisi daripada bapa saya, selain rempah asli Pulau Pinang yang dibeli dari kedai yang sama sejak dulu lagi untuk membangkitkan aroma masakan.

"Selain itu, adunan serta kandungan rempah ratus harus tepat dan itulah kemahiran turun-temurun yang dimiliki oleh tukang masak di sini," ujarnya.

Ditanya mengenai lauk pauk yang sering menjadi pilihan, Ajmeer memberitahu, ramai pelanggannya menggemari ayam ros dan daging masak hitam, selain kuah campur kari ikan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131109/re_07/Hidangan-sama-seperti-70-tahun-lalu#ixzz2kFAFIuV6 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...