IPOH 21 Sept. - Tidak sah kunjungan anda ke bandar raya Ipoh jika tidak singgah dan makan di gerai 'Vanggey' atau 'nasi ganja' yang telah wujud di sini sejak 61 tahun yang lalu.
Setelah beroperasi lebih setengah abad di Jalan Yang Kalsom, buat pertama kalinya satu cawangan akan dibuka di pusat perniagaan Greentown di sini.
Lebih menarik, cawangan terbaru itu merupakan sebuah restoran besar dan bukan lagi sebuah gerai kecil seperti sekarang.
Pengarah Urusan Restoran Nasi Vanggey Sdn. Bhd., Saiful Sidik Abdullah berkata, restoran barunya kini menyediakan lebih 200 jenis masakan dan minuman untuk dihidangkan kepada pengunjung supaya mereka boleh memilih apa sahaja jenis masakan yang mereka suka.
Katanya, Restoran Vanggey yang bermakna 'mari, mari, mari' itu tetap mengekalkan masakan Nasi Kandar Ayam Merah atau ayam Madras yang membuatkan seseorang itu merasa 'ketagih' dengan kelazatannya.
''Selain daripada Nasi Kandar Ayam Merah yang menjadi masakan utama, restoran ini turut menyediakan masakan Thai, kuetiau, mi goreng mamak, makanan Barat, tanduri dan sup, roti dan tosai, rojak serta lebih 50 jenis minuman,'' katanya.
Gerai Vangge terkenal dengan masakan 'nasi ganja' sehingga orang ramai sanggup berbaris panjang sejak pukul 10 pagi lagi untuk mendapatkan sepinggan nasi.
Menurut Saiful, restoran baru itu dibuka selama 24 jam dan ia mampu menyediakan sebanyak 250 tempat duduk kepada pelanggan pada suatu masa.
''Sekiranya anda berkunjung ke restoran ini pada waktu tengah hari, anda bukan sahaja terpaksa beratur panjang malah sukar untuk mendapat tempat duduk," katanya.
Ketika ditanya apa yang membuatkan Nasi Vanngey begitu popular dan boleh bertahan terlalu lama, Saiful berkata, antara sebab utama ialah masakan itu mengekalkan ketulenan dan keaslian masakan rempah yang disediakan.
Katanya, bagi masakan Nasi Kandar Ayam Merah atau ayam Madras ia mengambil masa selama lapan jam untuk disediakan sebelum disimpan khusus untuk mendapat rasa yang sejati.
Beliau berkata, selain dari itu, pihaknya mendapat pembekal khusus dari beberapa bandar di India dan Madras untuk membekalkan ramuan yang sungguh istimewa itu.
''Sebenarnya, mereka 'ketagih' bukan disebabkan bahan asing tetapi ia disebabkan sesiapa yang menjamu selera di sini terasa kelazatannya sehingga membuatkan mereka terasa kenyang dan terasa mengantuk," katanya.
Beliau berkata, kerana kelazatannya, ramai tokoh dan pemimpin datang ke sini untuk menjamu selera termasuk Pengerusi MK, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir.
''Apa yang peliknya kalau orang Kuala Lumpur dalam perjalanan ke Pulau Pinang mereka sudah pasti akan singgah di sini untuk menjamu selera.
''Dianggarkan sebanyak 1,000 hingga 1,500 orang akan datang ke restoran ini setiap hari," katanya.
Kepada sesiapa yang ingin mengetahui lebih lanjut boleh menghubungi Nasi Vannggey Greentown di tel 05-254 6786 atau Saiful Sidik 016-529 3233.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0922&pub=utusan_malaysia&sec=Utara&pg=wu_01.htm#ixzz2lvIzZ8v0
© Utusan Melayu (M) Bhd
Dahulu, masa aku masih lagi kecil, abah selalu bawa aku dan juga semua adik beradik aku makan kat tempat ni. Tempatnya agak pelik, sebab di luar, nama kedai, ataupun restorannya adalah nama sebuah kedai kopi cina. Tapi, dalam restoran itu, peniaga cina cuma menyediakan segala jenis minuman untuk pelanggan. Manakala peniaga mamak di situ, menyediakan juadah Nasi Kandar ataupun 'Nasi Vanggey' yang menyediakan menu utamanya adalah Nasi Kandar Ayam Merah @ Ayam Madras. Abah aku gelarkan nama restoran ni, Restoran Nasi Kandar Tanjung Rambutan. Kami memang pergi sana, sewaktu kecil (terutamanya lepas exam piano untuk makan kat sana.) Sehingga sekarang, aku masih lagi jadi pelanggan tetap kat situ. :)
ReplyDelete