HIDANGAN nasi kandar yang enak tentunya terhasil daripada resipi istimewa yang diwarisi sejak turun temurun.
Campuran rempah ratus yang merupakan bahan utama ketika memasak lauk seperti kari ayam, ikan, udang, sotong dan udang memainkan peranan penting dalam memastikan keenakan nasi kandar terpelihara.
Hasilnya, nasi yang ditanak panas itu cukup enak dinikmati bersama kuah-kuah tersebut sekali gus menghasilkan aroma yang cukup wangi dan pastinya membuka selera.
Perniagaan rempah ratus yang muncul di bandar ini juga berfungsi menyokong industri nasi kandar.
Seorang peniaga rempah, Mohamed Meera Sahib Mohamed Noordeen berkata, kesegaran rempah merupakan aspek penting bagi memastikan kualiti lauk dan kuah nasi kandar terjamin.
"Bagi tujuan tersebut, syarikat saya menyediakan bekalan rempah segar yang dikisar setiap hari untuk kegunaan pelanggan kami yang merupakan pengusaha nasi kandar popular di bandar raya ini.
"Antara yang menjadi pelanggan kami termasuklah Nasi Kandar Pelita, Nasi Kandar Kampung Melayu dan Nasi Kandar Deen," katanya yang mewarisi perniagaan keluarga yang bermula lebih 100 tahun lalu.
Katanya, lebih 20 jenis rempah dijual di kedainya di Little India, Georgetown yang terdiri daripada serbuk jintan, ketumbar, kas-kas, lada putih, kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga.
Jelas beliau, setiap hari purata antara 100 hingga 150 kilogram rempah nasi kandar yang bahan mentahnya diimport terus dari India dijual kepada pelanggannya.
"Sebaik bahan mentah sampai, kami akan proses untuk dijadikan rempah dengan menggunakan mesin tradisional bagi mengekalkan keaslian rasa rempah.
"Selain itu, bagi memastikan setiap rempah yang dihasilkan sama, kami juga mengikut kualiti yang telah ditetapkan supaya setiap rempah mampu menghasilkan lauk nasi kandar yang lazat dan rasanya sama dari dahulu sampai sekarang," ujarnya.
Tambahnya, antara rempah yang popular adalah kari ayam, daging, kurma, briyani, sup dan rempah kosong seperti cili, bawang serta ketumbar.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131109/re_10/Rempah-dikisar-setiap-hari#ixzz2kFBW0wcl
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment