Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Tuesday, 5 November 2013

Soalnya, sanggupkah pula orang Melayu berhijrah?


Di saat survival umat Islam dan umat Melayu di Malaysia mula menjadi bualan, penulis amat menyokong kenyataan oleh Ketua Aktivis, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan dalam Akhbar Mingguan Malaysia yang bertajuk "Kalau Bukan Melayu Siapa Lagi" untuk di renung-renungkan dengan lebih mendalam lagi.

Ini kerana sememangnya terdapat kaum tertentu yang begitu bersungguh-sungguh membantu sesama mereka sedangkan orang Melayu mengelak untuk bersatu dan terus bercakaran sesama sendiri.

Malahan jika diperhalusi sifat mulia saling tolong menolong merupakan sebahagian dari ajaran Islam yang suci dan berupaya pula untuk mewujudkan kesatuan dan kekuatan ummah yang semakin sirna dewasa ini.
Tak usah kita berbicara soal-soal yang kompleks untuk menjelaskan tentang perkara ini kerana dalam konteks mencari yang halal dalam bab makanan dan minuman pun kita sudah kecundang. Terdapat segelintir kaum Muslimin yang begitu berselera makan dan minum di premis yang tidak berstatus halal sedangkan di sana ada alternatif premis makanan halal yang enggan dikunjungi.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan pendedahan PPIM bahawa 90% minyak masak yang digunakan oleh pengusaha restoran di Malaysia adalah minyak masak kitar semula yang bukan sahaja memudaratkan kesihatan tetapi yang lebih menjijikkan apabila sumber minyak kitar semula itu kemungkinan bercampur antara minyak untuk memasak makanan yang halal dan tidak halal.

Malah menurut kenyataan itu lagi bahawa minyak tersebut juga boleh mengundang risiko kanser kepada pengguna kerana mengandungi unsur karsinogen yang tinggi iaitu agen penyebab kanser dan penyakit berbahaya yang lain.

Dalam hal ini keprihatinan pengguna Muslim untuk berhijrah dan hanya mengguna produk berstatus halal JAKIM sangat sangat diharapkan agar tidak terlibat memakan yang haram sehingga menjadi darah daging lalu akhirnya dihumbankan ke dalam neraka jahanam.

Selain itu, apabila ada produk-produk keperluan pengguna yang memudaratkan kesihatan lagi tidak mementingkan diet yang sihat, umat Islam diseru untuk berkorban dan berhijrah dengan membeli dan menyokong produk yang benar-benar diyakini halal lagi berkhasiat. Malah dalam konteks inilah sokongan dari pada Muslimin ditagih untuk meningkatkan bidang perekonomian ummah sekali gus menyumbang kepada pelaksanaan ibadah secara kolektif dan menyeluruh.

Penulis juga sangat tertarik dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh PPIM bahawa terdapat tepung gandum yang dipasarkan di negara ini mengandungi Benzoyl Peroxide iaitu sejenis bahan kimia peluntur yang digunakan untuk memutihkan gandum.

Menurut laporan akhbar tempatan lagi dipercayai syarikat pengimport tepung gandum di Malaysia membeli bekalan tepung terpakai dan lama disimpan sehingga warnanya bertukar kehitaman atau kekuningan di pasaran antarabangsa sebelum di eksport ke sini. Jadi untuk mencantikkannya bahan peluntur yang menjadi penggalak kepada penyakit kencing manis, arthritis dan gout ini digunakan secara berleluasa sehingga berhasil mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Malah tepung gandum yang selama ini menjadi bahan asasi untuk orang Melayu menyediakan lempeng, kuih cucur dan banyak kuih muih tradisional juga telah kehilangan semua nutrisi dan vitamin asli setelah melalui proses pelunturan tersebut. Sebagai gantinya ia diperkayakan semula dengan vitamin B1 yang menurut Nadzim lagi berkemungkinan diperoleh dari sumber babi kerana ia paling mudah dan murah untuk diperolehi.

Sekali lagi dalam hal ini terdapat di pasaran tepung gandum yang halal lagi bersih dan sangat memerlukan sokongan masyarakat Islam untuk maju sehingga mampu bersaing secara sihat di peringkat global. Soalnya, berapa ramaikah orang kita sanggup berhijrah dan menyokong produk-produk tersebut?

Cakap-cakap bahawa produk Muslim tidak berkualiti, tidak berdaya maju haruslah diganti dengan sanggup berkorban untuk menyokong produk tersebut demi untuk meninggikan taraf perekonomian ummah yang realitinya masih jauh ketinggalan berbanding orang lain.

Dalam pada itu syarikat-syarikat milik bumiputera haruslah pula sanggup berhijrah kepada mengeluarkan produk-produk yang lebih berkualiti demi memenuhi keperluan pasaran semasa agar pengusaha dan pengguna secara umumnya mendapat manfaat dan kebaikan bersama.

Pengusaha restoran Muslim sebagai contohnya diseru agar lebih prihatin dengan hanya membeli barangan yang diyakini halal untuk dimasak dan dijual kepada saudara seagama. Usah hanya memikirkan keuntungan sementara sehingga tergamak menyediakan makanan yang haram kepada saudara sendiri, akibatnya diri sendiri yang terpalit dengan dosa.

Mudah-mudahan dengan sedikit pengorbanan untuk berhijrah kepada yang lebih baik seperti ini perniagaan yang diuruskan akan dilimpahi dengan keberkatan sehingga sebahagian dari hasilnya diinfakkan semula kepada cabang fisabilillah melalui pembayaran zakat perniagaan dan sedekah yang berterusan.

Sehubungan itu, bersempena dengan ketibaan tahun baharu 1435 hijrah yang mulia ini umat Islam diseru untuk menterjemahkan tuntutan berhijrah dalam realiti kehidupan masa kini.

Hijrah Baginda Nabi Muhammad SAW dan para sahabat terdahulu elok dijadikan tauladan dan sempadan bagi menentukan survival orang Melayu dan umat Islam di tanah airnya sendiri. Persoalan kalau bukan Melayu siapa lagi juga hendaklah difahami dengan bersungguh-sungguh lalu direalisasikan dalam konteks kehidupan masa kini demi memahami makna hijrah yang hakiki.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131105/re_06/Soalnya-sanggupkah-pula-orang-Melayu-berhijrah#ixzz2jmLJo2qs 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...