ALHAMDULILLAH. Kanak-kanak berusia 20 bulan yang diculik dari rumahnya di Bangsar, Kuala Lumpur, petang Jumaat lalu, selamat ditemui.
Walaupun ketika ditemui di tepi jalan dekat Taman Tasik Titiwangsa tengah hari semalam, kanak-kanak itu dalam keadaan letih dan kelaparan, penulis tetap bersyukur.
Syukur kerana si kecil itu ditemui dalam keadaan selamat.
Difahamkan kanak-kanak yang masih boleh dianggap bayi itu ditinggalkan oleh penculiknya di situ.
Penculik bertindak sedemikian dipercayai mengelak daripada ditangkap setelah tersedar yang mereka menjadi buruan polis atau mungkin juga setelah mendapat tahu yang perbuatan mereka sudah tersebar luas di media tradisional dan sosial.
Penulis tidak mahu mengulas tentang motif penculikan atau andaian-andaian yang sewaktu dengannya.
Penulis juga enggan mengulas komen-komen nakal yang cuba mengaitkan kes ini dengan lagu Agenda Jahiliah dendangan Bunkface.
Cuma penulis hendak angkat ibu jari dan ucap syabas kepada pihak polis dan rakyat Malaysia.
Dalam kes ini, pihak polis telah bertindak profesional dan pantas menyebarkan maklumat tentang insiden penculikan kanak-kanak tersebut.
Rakyat Malaysia pula telah bertindak bijak dan matang menggunakan rangkaian sosial dengan turut menyebarkan informasi dalam kalangan kenalan dan sahabat-handai sehingga berita penculikan menjadi buah mulut dan bukannya suatu rahsia.
Penulis sendiri menerima mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang sahabat di selatan tanah air. Sebagai seorang yang sibuk dengan jadual padat seharian ekoran kedudukannya, keprihatinan beliau untuk turut sama membantu mengesan kanak-kanak yang diculik ini mengagumkan penulis.
Dan penulis tahu ramai lagi yang turut berkongsi SMS, status Facebook mahupun Twitter sehingga menjadi rantaian penggerak kepada penemuan kanak-kanak tersebut.
Hasilnya tidak sampai 24 jam selepas dilaporkan hilang, kanak-kanak itu berjaya ditemui dan dikembalikan ke dalam dakapan ibunya.
Alhamdulillah sekali lagi.
Difahamkan seorang awam, seorang pemandu lori, Hamid Md. Isa menemui kanak-kanak itu bersendirian lalu menyelamatkannya. Penulis bersyukur sekali lagi kerana yang menemui kanak-kanak itu ialah seorang yang budiman.
Apa yang berlaku ini memberi harapan kepada penulis bahawa sifat budiman sebenarnya masih ada pada rakyat Malaysia.
Bukan sahaja rakyat Malaysia yang menemui kanak-kanak itu dan menyelamatkannya dengan menyerahkan kepada pihak berkuasa telah menunjukkan sifat budiman, bahkan mereka yang berkongsi kebimbangan apabila turut tolong mencari si kecil, setidak-tidaknya berkongsi informasi dengan menekan butang forward pada telefon masing-masing.
Anda semua ialah pengguna matang rangkaian sosial, yang bijak memanfaatkan maklumat di hujung jari.
Anda juga golongan yang ada perikemanusiaan dan pandai menilai perasaan orang lain.
Walaupun penulis 100 peratus pasti rata-ratanya tidak kenal pun kanak-kanak itu atau ibunya, guru warga Britain yang sudah empat tahun menginap di negara kita ini, anda tetap cuba membantu walaupun hanya sekadar berkongsi kebimbangan dan simpati.
Harapan penulis, sifat budiman yang ada ini akan tersebar meluas terutama di alam siber yang penuh dengan tohmahan, cerca dan nista.
Mudah-mudahan sifat ini akan tersangkut di hati segelintir rakyat Malaysia khususnya pengguna laman sosial yang gemar sangat melontarkan komen-komen negatif yang tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif termasuk dalam kes culik si kecil ini.
Tidak seperti kata-kata yang tidak boleh ditarik balik jika terlajak diucapkan, komen-komen di laman sosial boleh dipadam atau disunting sebelum butang Enter atau Send ditekan.
Syaratnya, berfikir dahulu sebelum berbuat demikian.
Malangnya ramai sungguh dalam kalangan pengguna Internet dan rangkaian media sosial kini tidak berfikir sebelum membuat sebarang komen atau ulasan yang menyakitkan hati orang lain.
Ramai juga yang gemar menokok tambah cerita hanya berdasarkan desas-desus dan khabar tidak sahih yang diterima. Akibatnya cerita sehasta jadi sedepa.
Mungkin tidak tercapai dek akal mereka untuk memikirkan perasaan orang lain ketika membuat komen-komen tersebut.
Malang sungguh apabila ada kalangan mereka yang dengan sengaja membuat komen pedas dan celupar untuk menarik perhatian dan mendapat banyak Like.
Penulis berharap sangat kecenderungan tersebut dihentikan.
Jadilah pengguna Internet dan media sosial yang bijak dan matang dengan membantu menyebarkan perkara-perkara baik.
Sebagai negara dengan kadar akses Internet antara tertinggi di dunia, tentu sahaja kita tidak mahu dikenali sebagai pemegang rekod pengguna media sosial paling tidak cerdik atau tidak sopan di dunia!
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131110/re_13/Pengguna-Facebook-paling-tidak-sopan-di-dunia#ixzz2kF7j1eoO
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment