MEREKA yang menyokong Chin Peng tidak bererti mereka anti-Melayu dan mereka yang tidak sehaluan tidak menandakan mereka ialah anti-Cina. Kita perlu faham Chin Peng ditentang bukan disebabkan warna kulit dan bangsanya.
Chin Peng ditentang disebabkan oleh ideologi komunisme yang diperjuangkan beliau dan kekejaman yang dilakukannya. Isu ini dapat dibuktikan dengan mereka yang menentang komunis juga keras terhadap Rashid Maidin yang merupakan pemimpin Rejimen ke-10 PKM.
Sekiranya kumpulan sama yang menentang Chin Peng dan pada masa sama pula menyokong Rashid Maidin maka isu ini boleh dikatakan atas faktor kaum. Namun begitu, tiada seorang yang menentang Chin Peng pernah menyatakan mereka menyokong Rashid Maidin.
Mereka menentang tindakan kekejaman yang dilakukan oleh ahli-ahli PKM tanpa mengira bangsa dan agama. Oleh itu, jelas menunjukkan isu ini sebenarnya bukanlah satu isu kaum tetapi cuba dipolitikkan oleh pihak tertentu sebagai masalah perkauman.
Konflik antara generasi
Sebenarnya konflik antara mereka yang menyokong dan membantah kepulangan Chin Peng adalah lebih kepada isu percanggahan pendapat antara dua generasi. Pertamanya adalah generasi yang hidup pada zaman Chin Peng dan keduanya adalah generasi yang hidup selepas zaman Chin Peng.
Majoriti yang hidup pada zaman Chin Peng sukar untuk melupai trauma dan penderitaan yang pernah dicetuskan mereka. PKM melancarkan ugutan, kekejaman dan pembunuhan tanpa mengira bangsa dan agama. Kita perlu faham ramai juga warga Cina yang terkorban disebabkan kekejaman PKM di bawah kepimpinan Chin Peng pada ketika dahulu.
Keadaan ini jelas terbukti apabila pihak British perlu mewujudkan Perkampungan Baru Cina untuk membezakan antara Cina yang menyokong Chin Peng dan yang tidak menyokongnya. Generasi dahulu masih lagi tidak melupai kehilangan saudara mara dan keluarga terdekat mereka. Bayangkan sekiranya pada hari ini saudara kita dibunuh? Tidak kira pembunuh itu ialah Ali, Ah Chong atau Muthu maka kita tetap akan membenci mereka.
Kebencian kita tidak menandakan bahawa kita membenci kaum pembunuh itu tetapi adalah kebencian terhadap seseorang pembunuh itu (tanpa mengira bangsa dan agama ). Mengikut sejarah lebih daripada 10,000 rakyat Malaysia terkorban pada zaman PKM memberontak.
Generasi pasca Chin Peng pula tidak pernah merasai dan melalui kepahitan yang pernah dilalui generasi lama yang hidup pada zaman kekejaman PKM di Tanah Melayu. Oleh itu, mereka menggunakan faktor kemanusiaan untuk menyokong kepulangan Chin Peng ke tanah air kita. Sebenarnya mereka yang menyokong Chin Peng juga bukan disebabkan bangsa dan warna kulitnya. Generasi ini menggunakan faktor kemanusiaan dan juga berpegang kepada beberapa prinsip yang mereka rasakan tidak salah untuk Chin Peng pulang ke negara Malaysia.
Oleh itu, terdapat ahli politik yang cuba mengatakan Chin Peng tidak dibenarkan kembali disebabkan faktor kaum, bukan melambangkan kebenaran kerana Rashid Maidin telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Sisakoin, Narathiwat, di selatan Thailand dan tidak pernah ada isu untuk kembali ke Malaysia.
Ada juga ahli politik yang cuba menyamakan rakyat Malaysia yang terkorban akibat isu Chin Peng dan persamaan ini walaupun sedikit namun masih tidak tepat pada tempatnya. Kita perlu bandingkan buah epal dengan buah epal dan bukannya buah epal dengan benda lain. Chin Peng epal hijau. Rashid Maidin epal merah. Perbandingan sebegini adalah lebih tepat.
Kesimpulannya, isu ini adalah berkaitan dengan isu antara mangsa dan pemangsa dan bukan mangsa dengan pemangsa. Ahli politik yang sebenarnya cuba mengheret isu bangsa dalam isu ini. Ini bukan isu antara Melayu dengan Cina. Ini adalah isu antara dua generasi yang pro dan anti komunisme serta mangsa dan bukan pemangsa.
Adakah Chin Peng seorang pejuang?
DALAM isu Chin Peng, Muhammad Sabu, Tian Chua dan pemimpin DAP lain terus mengatakan Chin Peng adalah pejuang negara hanya berlandaskan kepada frasa pertama iaitu Chin Peng berjuang menentang penjajahan dan kezaliman Jepun. Namun begitu untuk mengatakan Chin Peng adalah pejuang negara atau tidak, perlu berlandaskan kepada konsep frasa kedua iaitu demi apa dan mengapa ?
Pada 1937, Chin Peng menyertai gerakan AEBUS dan merupakan seorang penyokong kuat Sun Yat Sen di China. Pada 1939, beliau sebenarnya hendak ke Yunnan untuk menyertai perjuangan politik di negara sana. Namun begitu, Chin Peng disarankan oleh pemimpin komunis di China untuk terus berada di Tanah Melayu serta menguatkan penyebaran ideologi komunisme.
Chin Peng pada awalnya hendak membantu China menentang Jepun. Oleh itu, apabila dinasihatkan supaya terus berada di Tanah Melayu dan Jepun pula menjajah kita pada ketika itu maka Chin Peng mengambil peluang tersebut untuk bangkit menentang pendudukan Jepun di Tanah Melayu.
Oleh itu, Chin Peng menentang Jepun kerana beliau menyokong perjuangan komunis dan membenci serangan Jepun terhadap negara China adalah satu kebenaran. Jika hendak katakan Chin Peng menyerang Jepun demi Tanah Melayu maka setakat ini masih ada hujah sejarah yang tepat untuk membuktikan kebenarannya.
Kita perlu ingat Jepun menyerah kalah bukan disebabkan kekuatan Chin Peng tetapi kerana pada 1945, Jepun menyerah kalah disebabkan pengeboman di Hiroshima dan Nagasaki oleh pihak Amerika Syarikat. Sekiranya dengan mudah mengatakan Chin Peng ialah pejuang negara maka bukankah dalam isu ini Amerika Syarikat juga pejuang negara ? Atau sebenarnya kebetulan?
Kalau kebetulan maka adakah Chin Peng benar-benar merupakan seorang pejuang negara? Tapi kalau hendak katakan sumbangan Chin Peng membantu dalam menyerang Jepun, maka kenyataan ini masih lagi adil pada tempatnya.
Namun begitu, mengapa pula selepas Malaysia merdeka pada 1957, Chin Peng masih lagi meneruskan pemberontakan bersejatanya sehingga 1989?
Jika benar sebelum ini Chin Peng berjuang membebaskan Tanah Melayu daripada Jepun mahupun British, mengapa pula selepas itu menyerang penduduk tempatan, pihak polis, tentera dan rakyat Malaysia? Adakah tindakan serangan ini benar-benar demi membebaskan Malaysia daripada penjajah ataupun untuk berkuasa?
Kalau ada hujah sekalipun yang bernas dan tepat mengatakan Chin Peng ialah pejuang negara kerana melihat jasanya menentang Jepun dan British, mungkin juga ada kebenarannya. Namun itu tidak tepat untuk menggambarkan keseluruhan rentetan peristiwa dan sejarah yang sebenar.
Sejarah sebenar, Chin Peng pernah bertindak menentang Jepun dan British tetapi bertindak mengkhianati negara selepas itu demi kuasa, satu dosa yang tidak terampun. Itulah hakikat sebenar yang tidak boleh disangkal oleh sesiapa.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131110/re_10/Memahami-isu-Chin-Peng#ixzz2kF8M4fKJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment