Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Thursday, 28 November 2013

Wanita Malaysia dakwa mangsa hamba domestik di Britain adalah adiknya


kamar Mahtum menunjukkan gambar Siti Aishah yang hilang, dipercayai dijadikan hamba oleh sepasang suami isteri selama 30 tahun di Britain. - AGENSI

LONDON 26 Nov. - Seorang wanita Malaysia mendakwa seorang daripada tiga wanita yang ditahan sebagai hamba selama 30 tahun di Britain merupakan adiknya yang hilang dalam tempoh sama selepas menyertai fahaman komunis Maoist.

Kamar Mahtum Abdul Wahab, seorang guru bersara, ketika diwawancara akhbar Britain, The Daily Telegraph hari ini berkata, adiknya yang dikenali sebagai Siti Aishah Abdul Wahab, 69, dipercayai ditahan oleh pasangan suami isteri, Aravindan Balakrishnan dan Chanda yang memimpin sebuah kumpulan ekstremis komunis pada 1970-an.

Kamar Mahtum berkata, Siti Aishah pernah belajar di Kolej Tunku Kursiah di Seremban, Negeri Sembilan sebelum menyambung pengajian dalam bidang juru ukur bahan di London dengan biasiswa Komanwel.
Jelasnya, Siti Aishah berpindah ke Britain pada 1968 bersama tunangnya, Omar Munir dengan impian untuk memulakan kerjaya di negara tersebut bersama keluarga.

Pasangan itu kemudiannya terlibat dalam Forum Pelajar Malaysia dan Singapura (Mass) yang mempunyai reputasi sebagai sebuah kumpulan ekstremis Maoist yang beroperasi di London.

"Namun, adik saya terlibat dalam politik pelampau dan meninggalkan segalanya termasuk tunangnya, Omar untuk mengikuti fahaman Maoist yang diketuai Balakrishnan.

"Dia begitu mengagumi Balakrishnan yang dikenali sebagai Komrad Bala dan Chanda atau Komrad Chanda sehingga sanggup membuang cincin pertunangannya ke Sungai Thames sebagai membuktikan kesetiaan terhadap fahaman komunis itu," katanya.

Menurut keluarga Siti Aishah, kerajaan Malaysia mengikuti perkembangan politik wanita itu di London dan pernah memberi amaran pada 1970-an tentang tindakannya itu akan menyukarkan dia untuk pulang ke tanah air.

Siti Aishah yang berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan dipercayai pernah mengunjungi abangnya yang ketika itu tinggal di London dengan ditemani Balakrishnan dan seorang wanita tempatan.

Dia juga dipercayai mempunyai hubungan dengan aktivis, Hishamuddin Rais yang mendakwa wanita terbabit mempelajari fahaman Marxist-Leninist dan pemikiran pemimpin China, mendiang Mao Zedong.

Pada 1991, abang Siti Aishah pernah meminta bantuan Hishamuddin yang ketika itu hidup dalam buangan untuk mencari adiknya yang hilang sejak berpindah ke Britain.

Sementara itu, di Negeri Sembilan, Kamar Mahtum, 73, berlepas ke London malam ini bagi tujuan pengecaman adiknya.

Menurut abang ipar mangsa, Md. Noh Md Dom, 67, isterinya itu diiringi oleh penulis blog, Hishamuddin bersama seorang wartawan The Telegraph yang beribu pejabat di London.

"Isteri saya diminta melakukan pengecaman dan dia juga membawa barangan milik Siti Aishah seperti gambar serta pakaian yang masih tersimpan," katanya.

Md. Noh berkata, dia tidak pernah bertemu dengan Siti Aishah sejak berkahwin dengan Kamar Mahtum pada 1970.

''Saya hanya pernah dimaklumkan oleh isteri saya tentangnya dan sebelum ini diberitahu bahawa Siti Aishah melanjutkan pelajarandi London.

''Malah, sebelum ini adik-beradik Siti Aishah juga pernah cuba mencarinya tetapi gagal. Dua abangnya juga pernah ke London untuk mencarinya," ujar beliau.

Jelasnya, Siti Aishah yang merupakan anak ke-11 daripada 12 adik-beradik dikatakan tidak mahu pulang kerana kecewa selepas ikatan pertunangannya putus.

Pada 22 November lalu, polis Britain melaporkan tiga wanita termasuk seorang warga Malaysia diselamatkan selepas mereka didakwa menjadi hamba domestik selama 30 tahun di sebuah rumah di selatan ibu negara itu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131127/lu_02/Wanita-Malaysia-dakwa-mangsa-hamba-domestik-di-Britain-adalah-adiknya#ixzz2mYkIvyOy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...