KUALA LUMPUR 17 Dis. - Seniwati Azean Irdawaty Yuseof, 63, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini pada pukul 8.26 malam selepas lebih enam tahun menderita akibat penyakit kanser.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi suami dan anak-anak.
Menurut suami kepada aktres tersebut, Khairil Anwar Zainal Mukhtar Rashidi, 63, Azean dimasukkan ke PPUM sejak tiga hari lalu.
"Kami semua termasuk anak-anak ada di sisinya sebelum dia pergi meninggalkan kami. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Allahyarham sempat berbual-bual bersama kami dan tidak sangka selepas itu dia terus pergi menghadap Illahi," katanya kepada pemberita.
Menurut Khairil juga, semenjak beberapa minggu lalu, selera makan allahyarham isterinya turun mendadak dan ini menyebabkan seluruh keluarga mengambil keputusan untuk menghantarnya kembali ke hospital.
"Allahyarham hilang selera makan sejak dua hari lalu. Ini menyebabkan berat badannya merosot. Kalau makan pun, dua atau tiga suap sahaja dan dia agak lemah kerana tidak makan sebelum meninggal dunia," katanya ketika ditemui.
Azean disahkan menghidap kanser payudara tahap ketiga pada 2007 dan sering keluar masuk hospital kerana penyakit itu kian kritikal.
Jenazah dibawa ke rumahnya di 92, Jalan BU11/7, Bandar Utama di sini dan akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara sebelum zuhur esok.
Antara dilihat hadir di hospital untuk menziarah jenazah adalah penerbit, Datin Paduka Shuhaimi Baba serta pelakon Rusdi Ramli dan Nanu Baharuddin.
Azean merupakan pelakon wanita yang begitu disegani dalam dunia hiburan tempatan dan pernah menerima Anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia sebanyak dua kali pada tahun awal 1980-an.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131218/dn_22/Azean-Irdawaty-meninggal-dunia#ixzz2oMPOFfvr
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment