Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Tuesday, 24 December 2013

Damailah Kak Yan di sana

Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA
BENJY menyiram air mawar di pusara ibu tersayang.

APABILA seniwati Azean Irdawaty pergi menyambut panggilan Ilahi pada Selasa lalu, maka sebahagian besar daripada peminat seni tanah air bergegak gempita kembali mengingatkan ucapan keramat 'Lihatlah dunia... aku ini anak wayang' yang pernah diungkapkan Allahyarham.

Ucapan yang dibuat primadona filem Melayu itu selepas menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia sekitar tahun 1980-an yang sekali gus merupakan suara hatinya menjawab kritikan dan cemuhan masyarakat terhadap statusnya sebagai anak wayang.

Saya tidak berniat untuk menulis kembali rekod perjalanan seni Allahyarham Azean secara mendalam kerana saya percaya sudah ramai teman lain yang berbuat demikian.

Sebaliknya saya sekadar mahu berkongsi bagaimana saya pernah mengagumi seniwati Azean dan menghormati beliau sebagai seorang senior dalam gelanggang seni.

Ketika di awal penglibatan saya sebagai wartawan hiburan, saya pernah dan kerap mendampingi Allahyarham sehinggakan hubungan kami berdua sangat mesra. Oh ya, saya juga pernah menjadi pelanggan Azean atau Kak Yan yang turut aktif menjual barangan produk makanan jenama Amway!

Justeru apabila membaca mesej yang dikirim teman wartawan di Kuala Lumpur mengenai pemergian seniwati Azean, saya tergamam seketika.

Ketika itu saya dibelenggu rasa bersalah dan ralat yang terlalu mendalam kerana sampai ke akhir hayat beliau, saya tidak mencuri ruang untuk menziarahi Allahyarham setiap kali saya pulang ke Kuala Lumpur.

Semasa bertugas di Kuala Lumpur, saya kerap berkomunikasi dengan Allahyarham sama ada menerusi perbualan telefon atau berkunjung ke kediamannya untuk menziarahi beliau yang ketika itu sedang berperang dengan kesakitan.

Sepanjang perkenalan lebih sedekad dengannya, Kak Yan banyak berkongsi pengalaman hidup yang dilalui sehinggakan saya pernah diberi peluang untuk merakamkan kisah hidupnya dalam bentuk tulisan secara bersiri dalam sisipan Pancaindera pada pertengahan tahun 1990-an.

Bertitik tolak daripada kepercayaan yang diberikan Kak Yan kepada saya juga membawa kepada hubungan yang cukup mesra antara kami berdua.

Kak Yan pernah berkongsi betapa sukarnya melalui hidup apabila disahkan menghidap kanser payu dara iaitu penyakit yang paling digeruni oleh kaum wanita sepertinya namun beliau tidak mempunyai pilihan lain selain daripada terpaksa melaluinya demi untuk memastikan suami dan anak-anaknya juga kuat untuk mendampinginya.

Bertahun Kak Yan melalui jalan-jalan yang sukar itu. Setiap kali bertemu, air mata Kak Yan tentu sekali akan jatuh apabila saya bersalam dengannya. Saya cuba memahami penderitaan yang sarat ditanggungnya itu.

Belum sembuh sakit yang dideritai, hidup Kak Yan diuji lagi apabila anak sulungnya, Benjy pula berhadapan dengan masalah peribadi sehingga terpaksa dibawa ke muka pengadilan.

Ketika ini, malang yang menimpanya sukar lagi ditahan. Air mata menjadi sahabat paling dekat dengan Kak Yan.

Saya masih ingat bagaimana Kak Yan menghubungi saya yang ketika itu sedang bertugas di luar Malaysia.

Tangisan Allahyarham ketika itu benar-benar meruntun hati saya. Sayang sekali, saya tidak berada di sisinya pada ketika itu untuk sekurang-kurangnya menenangkan beliau yang sedang tergamam dengan berita sedih itu.

Dalam kesedihan yang tidak dapat dibendung, Kak Yan bercerita mengenai kasih dan sayang beliau yang tidak berbelah bagi pada Benjy sehinggakan berita penangkapan anak lelakinya seakan meragut keseluruhan kekuatan yang ada padanya selama ini.

Namun Selasa lalu, seluruh kesedihan, kepayahan dan kesulitan yang ditanggung beliau dibawa bersama Allahyarham ke liang lahad.

Kak Yan sudah berangkat ke sebuah kehidupan abadi meninggalkan suami, anak-anak dan cucu yang tentu sekali akan merasa terkesan dan merindui aktres yang pernah membuat jutaan penonton terpukau dengan kehebatannya di layar perak.

Sudah tertulis di loh mahfuz, Azean pergi membawa bersama derita kesakitan yang sudah lama sarat ditanggungnya.

Seperti orang lain, saya juga tentu sekali akan merindui Kak Yan.

Kakak, damailah kamu di sana. Doa kami, semoga Allah menempatkan kamu di sisi orang-orang yang beriman.

Al-Fatihah.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20131222/hi_06/Damailah-Kak-Yan-di-sana#ixzz2oR4K9edI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...