SAYA tak kenal ustaz Mohammad Kazim Elias secara peribadi. Saya juga tidak ingat sama ada dalam tahun 80-an sewaktu saya menjadi tenaga pengajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan sering diundang ke beberapa negeri menjadi penceramah jemputan membicarakan hal perundangan Islam dan Mahkamah Syariah, saya pernah berjumpa dan berbual dengannya.
Yang penting, ustaz Kazim diminati ramai sebagai pendakwah bebas di media elektronik. Isteri saya sering mengikuti ceramahnya dan sekali sekali saya menemani isteri menonton sama.
Memang saya akui ustaz Kazim ada kelebihan selaku seorang pendakwah bebas. Beliau ada public speaking skills, dan beliau boleh mengajar sambil menghibur "anak didiknya" (orang ramai yang mendengar ceramahnya). Dan sepanjang satu dua tahun yang saya sempat mengikut ceramahnya di kaca televisyen, beliau tidak "bermain politik" bila berceramah.
Tetapi kini segala kemungkinan boleh berlaku, setelah pendakwah bebas ini dipelawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menganggotai Majlis Tertinggi (MT) UMNO.
Sehingga hari ini (Ahad, 1 Disember) khabarnya beliau masih belum memberi kata putus sama ada menerima undangan itu dan bersedia menjadi ahli yang dilantik dalam MT. Mengikut laporan media dia perlu menemui Perdana Menteri terlebih dahulu untuk mengetahui lebih lanjut apakah tugas dan peranannya dalam UMNO, dan apakah dia akan dihalang menjalankan kerja dakwah di masa depan.
"Saya ingin tahu apakah tangan saya akan diikat dan mulut saya akan ditutup dari memberi pandangan saya," kata beliau kepada wartawan. (sila lihat "Ustaz Kazim says has yet to accept appointment as UMNO Supreme Council member", Malay Mail, 1 Disember 2013).
Ustaz Kazim mengalu-alukan pelawaan Perdana Menteri ini dan menganggapnya sebagai bukti keseriusan kerajaan memperjuangkan agenda Islam sambil menyatupadukan umat Islam di negara ini.
Mengikut Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, pelantikan muka-muka baru (termasuk Ustaz Kazim) "adalah berdasarkan pengalaman mereka yang boleh memberi input yang baik kepada parti dan akan bergerak bersama 25 MT yang dipilih perwakilan pada pemilihan parti bulan lepas."
Jika Ustaz Kazim menerima pelantikan ini, dia perlu mengangkat sumpah pada 4 Disember ini. Mengikut Tengku Adnan, surat pelantikan telah pun diedarkan. Setelah mengangkat sumpah, status mereka yang baru dilantik ini sama dengan ahli MT yang dipilih perwakilan.
Seperti telah diduga sejak awal lagi, pelantikan pendakwah bebas ini telah dikritik oleh beberapa pihak, termasuklah portal omakkau.blogspot.com. Berikut adalah antara yang disuarakan oleh blogger tersebut
"Dapat info bahawa Ustaz Kazim Elias yang berjanji ikrar akan berhenti berceramah mulai semalam 28 November 2013 kerana di katakan kena ugut bunuh serta bosan dengan gelaran "USTAZ POLITIK" yang dilabelkan terhadap dirinya kini sudah di lantik oleh Najib Razak sebagai salah seorang Ahli Majlis tertinggi UMNO lantikan.
Pergh!!! .. Akhirnya kebenaran terungkai jua... dulu rakyat tuduh ustaz ini berceramah macam ahli politik berdarah UMNO namun dia nafikan .. Nah sekarang apa cerita!!!!!" (sila lihat http://omakkau.blogspot.com/2013/11/info-baru-masuk-ustaz-politik-kazim.html)
Mengikut seorang blogger lain, pelantikan Ustaz Kazim ini tidak direstui oleh abang kandungnya, kapten (bersara) Datuk Mohd. Najmuddin Elias, yang melihat pelantikan ini akan hanya "menguntungkan sebelah pihak sahaja" berbanding tugas pendakwah bebas yang boleh menyebar ilmu kepada kerajaan dan pembangkang.
Najmudin juga risau tentang perjalanan Pusat Pendidikan Al-Barakah, yang selama ini dikendalikan dan diurus sendiri oleh Ustaz Kazim.
"Sebagai abang, saya tidak setuju kecuali Perdana Menteri menyediakan satu jawatan yang lebih sesuai agar dia boleh terus berdakwah", kata Najmudin lagi, yang kini menyandang jawatan Pegawai Khas Hal Ehwal Islam kepada Menteri Besar Perak. (sila lihat http://miazarraannur.blogspot. com/2013/12/ abang-ustaz-kazim-tidak-setuju.html)
Nikmat atau kelebihan seorang pendakwah bebas adalah "kebebasannya" untuk terus berdakwah. Dia boleh berdakwah bila dia suka, di mana dia suka, dan kepada siapa yang dia suka. Dia boleh berdakwah secara percuma, atas honorarium atau bayaran yang disetujui. Dia tidak perlu mendapatkan izin atau kelulusan dari mana-mana pihak tentang perkara yang hendak dijadikan bahan ceramahnya. Dia boleh menegur sesiapa sahaja, tak kira orang yang ditegur itu berjawatan tinggi atau pun tidak, orang kerajaan atau pun tidak.
Setelah seorang pendakwah itu menyertai sesuatu organisasi besar dan berpengaruh (seperti UMNO), pastinya ada "do's and don't's" atau pantang larang yang perlu dihormati dan dipatuhi. Bagaimana halnya jika pendakwah itu melihat sesuatu yang tidak betul atau sesuatu kemungkaran akan berlaku atau pun telah berlaku tetapi dia ditegah oleh pihak-pihak tertentu untuk menegur atau memperbetulkannya?
Pada waktu itu nanti, pendakwah bebas perlu membuat pilihan - mengutamakan pendiriannya sendiri atau mengutamakan kepentingan organisasi yang kini dia menjadi anggotanya (dan mengkompromikan pendiriannya serta meleburkan maruahnya).
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131202/re_05/Dilema-seorang-pendakwah-bebas#ixzz2o9xTrjSa
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment