IPOH 1 Dis. - Selepas dikecam, penceramah bebas, Mohammad Kazim Elias mendakwa difitnah kononnya beliau mengejar wang, projek dan jawatan ekoran pelantikan sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.
Dalam laman sosial Facebook miliknya hari ini, beliau berkata, dakwaan itu adalah fitnah yang sangat bodoh dan berharap pihak yang mereka-reka cerita itu menghentikan fitnah sedemikian.
Malah, tegasnya, beliau bukan ahli UMNO seperti yang didakwa.
"Masya-Allah... Beraninya memfitnah dan post pula fitnah... Subhanallah...Saya dah keluarkan kenyataan, saya bukan ahli UMNO dan tak pernah isi borang UMNO.
"Dan saya belum setuju terima pelantikan MT, saya buat kenyataan selepas bertemu PM (Perdana Menteri). Janganlah fitnah kata nak duit la, projek la, menteri la...malah PM tak pernah tawarkan apa-apa pun pada saya.
"Setakat ini saya masih mampu bagi makan anak-anak saya, janganlah dok (asyik) fikir buruk," katanya.
Beliau mengulas kenyataan dalam laman Facebook seorang pemimpin Pas Perak yang mendakwa telah dihubungi kelmarin menerusi telefon oleh seseorang yang 'suaranya sebagai sangat dikenali' bagi menjelaskan sebab menjadi MT UMNO.
Walaupun tidak merujuk kepada Mohammad Kazim, pemimpin Pas berkenaan mendakwa, pembuat panggilan itu mengakui telah ditawarkan bantuan untuk pusat pengajiannya serta 'menjaga' Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) jika beliau menerima jawatan tersebut.
Namun, kenyataan dalam Facebook pemimpin Pas itu didapati sudah ditarik balik petang ini.
"Saya baca dalam Facebook satu ustaz dan blog yang kenen (menyindir) kata saya call (menghubungi) dia dan bagi tahu kenapa saya ditawarkan jawatan di Jakim dan lain-lain.
"Walaupun dia tak sebut nama saya, tapi Allah tahu dalam hati kita. Wallahi, ini adalah fitnah yang sangat hodoh. Buat ustaz yang buat cerita dalam bentuk dialog itu kononnya perbualan saya dalam telefon, saya harap jangan buat fitnah dan sebarkan fitnah.
"Ada orang kata, ustaz report (buat laporan) polis... saya akan jawab saya report pada Allah di hari kiamat. Insya-Allah," kata Mohammad Kazim.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20131202/po_05/Ustaz-Kazim-dakwa-difitnah-kejar-jawatan#ixzz2o9wVb3tg
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment