Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Sunday, 15 December 2013

Jumlah pelancong meningkat mendadak


SEJAK Lembah Lenggong mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai tapak warisan dunia pada 30 Jun 2012, jumlah pelancong yang melawat Galeri Arkeologi Lenggong meningkat daripada 2,000 pelawat sebulan kepada kira-kira 5,000 orang.

Galeri yang sebelum ini dikenali sebagai Muzium Arkeologi Lenggong dibuka pada tahun 2001.

Yang Dipertua Majlis Daerah Lenggong, Faizal Nizam Md Nor berkata, statistik itu diperoleh daripada catatan pelawat dalam buku yang disediakan di pintu masuk galeri tersebut.

Menurutnya, kewujudan galeri tersebut telah 'menghidupkan' pekan Lenggong yang sebelum ini agak lesu dari aspek pelancongan.

Katanya, pertambahan jumlah pelancong dapat dilihat daripada bas-bas persiaran yang singgah ke galeri itu pada setiap cuti hujung minggu.

"Mereka bukan sahaja melawat galeri tetapi turut memberi perhatian terhadap produk-produk pelancongan lain seperti menikmati kelazatan ikan air tawar dari Tasik Raban sama ada ikan pekasam atau ikan bakar di kedai makan, khususnya Restoran Tasik Raban.

"Ada juga yang berkelah di Lata Kekabu. Mungkin ramai yang tidak tahu terdapat gunung yang boleh didaki dari lata tersebut. Di hutan itu juga, terdapat bangkai pesawat perang yang terhempas," katanya kepada S2.
Menjelaskan belum ada pakej pelancongan yang lengkap di Lenggong, katanya, usaha ke arah itu sedang dilakukan bagi memenuhi permintaan pengunjung yang semakin meningkat.

Salah satu pakej yang akan diwujudkan adalah memasukkan lawatan ke ladang rusa terbesar di negara ini.
"Di ladang rusa itu, para pengunjung boleh melihat rusa yang bebas berkeliaran, selain berpeluang membeli daging rusa dan produk yang diperbuat daripada kulit haiwan tersebut," tambahnya.

Selain itu, katanya, rancangan lain adalah mewujudkan pakej lawatan yang akan memberi peluang kepada pengunjung melihat cara-cara membuat ikan pekasam yang merupakan produk khas Lenggong.

Menyentuh tentang penginapan, katanya, pihaknya menawarkan penginapan di Rumah Rehat Lenggong yang menyediakan sebanyak 22 bilik dan Resort Tasik Raban Resort menawarkan 23 bilik.

"Terdapat juga penginapan jenis inap desa (homestay) di Lembah Lenggong. Ada yang menawarkan aktiviti kepada pelancong dan ada yang tidak," katanya sambil memberitahu inap desa Kampung Beng pernah dinobatkan sebagai inap desa terbaik peringkat negeri Perak.

Selain itu, Faizal berkata, memandangkan Lembah Lenggong semakin pesat membangun, maka pihaknya merancang untuk membina kemudahan infrastruktur yang seiring dengan peningkatan jumlah pelancong.
Katanya, antara rancangan itu adalah membina sebuah hotel 14 tingkat bertaraf tiga atau empat bintang di tapak R&R Raja Nazrin yang menghadap Tasik Raban.

"Pembinaan hotel itu akan dibuat sebaik sahaja urusan hak milik tanah selesai," katanya.

Dalam pada itu, servis 24 jam juga akan diperkenalkan bagi memenuhi keperluan pelancong sama ada dalam sektor makanan, perkhidmatan atau pengangkutan.

Selain itu, katanya, bangunan kedai yang lama dan wujud sejak tahun 1940-an akan diperindahkan, manakala yang terlalu usang akan dirobohkan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131214/re_12/Jumlah-pelancong-meningkat-mendadak#ixzz2o9t31YRq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...