Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Friday, 27 December 2013

Hampir tikam Birch, tumbuk meja Keyt

Arkib : 28 Disember 2013


WATAK penting yang dimainkan Dato' Sagor dalam pembunuhan JWW Birch bukan hanya dapat disaksikan pada hari pembunuhan pada 2 November 1875.

Sejak mesyuarat pertama mengenai rancangan itu pada 21 Julai 1875, di rumah Haji Mat Yasin di Durian Sebatang, Dato' Sagor telah melibatkan diri.

Pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali (gambar) berkata, malah belum sempat Sultan Abdullah membuat keputusan, Dato' Sagor dan Dato' Maharaja Lela antara pembesar yang tanpa banyak soal sedia melaksanakan tugas tersebut.

"Pada mesyuarat pertama, Laksamana mengesyorkan supaya JWW Birch diracun. Sultan Abdullah pula mencadangkan supaya 'bermain' hantu jika langkah meracuni JWW Birch gagal.

"Cadangan Maharaja Lela pula adalah dengan cara menikam. Dato' Sagor pula menyatakan, sekiranya Dato' Maharaja Lela menikam JWW Birch, dia akan menyerang Bandar Bahru, kediaman JWW Birch dan menurunkan bendera British," katanya.

Selepas itu Dato' Sagor dan Dato' Maharaja Lela tidak pernah ketinggalan daripada apa-apa perjumpaan membunuh JWW Birch.

Menurut Abdullah yang juga penulis buku Pasir Salak: Pusat gerakan menentang British di Perak, selepas tindakan meracun dan bermain hantu gagal, satu lagi mesyuarat diadakan pada Ogos 1985.

Dalam mesyuarat itu Laksamana menyatakan tidak sanggup untuk membunuh JWW Birch tetapi Dato' Sagor menyatakannya kesanggupannya.

"Pada 5 September 1875, dalam mesyuarat di rumahnya, Dato' Sagor, Sultan Abdullah dan Dato Maharaja Lela bersumpah merahsiakan rancangan membunuh JWW Birch dengan meminum air keris,'' tambah beliau.

Menurutnya lagi, semangat Dato' Sagor yang sangat bencikan Inggeris dapat dilihat dalam peristiwa Bukit Tunggal, Kampung Gajah

"Dato Sagor bukan sahaja tidak mahu mematuhi arahan British melalui pegawai mereka J.J Keyt yang memintanya membersih jalan dan membina balai bagi kegunaan lawatan Gabenor William Jervois, malah dalam satu pertemuan menumbuk meja Keyt menyatakan bahawa dia tidak akan melakukan kerja tanpa arahan Sultan Abdullah.

"Dato' Sagor juga pernah menegur Penghulu Mat Akib kerana memulakan tugas membersih Bukit Tunggal tanpa kebenarannya. Penghulu Mat Akib melaporkan tindakan itu kepada JWW Birch.

"Dalam pertemuan JWW Birch dengan Dato' Sagor pada pukul 1.00 tengah hari, 18 Ogos 1875, Birch menegurnya kerana tidak membantu Penghulu Mat Akib, serta merampas lembing dari tangan Dato' Sagor sambil menegur kerana berani membawa lembing ketika datang berjumpanya.

"Dato' Sagor melompat menerkam JWW Birch tetapi dihalang oleh Penghulu Mat Akib dan Ismail, pengawal JWW. Birch. Dalam situasi itu Dato' Sagor dilaporkan berkata, jika dia membawa keris pasti diamuknya JWW Birch," jelas Abdullah.

Penyudahnya, Penghulu Mat Akib berjaya menyiapkan balai, namun gagal menegakkan tiang bendera di puncak Bukit Tunggal kerana dihalang Dato' Sagor.

"Dato' Sagor memberi amaran akan membelasah sesiapa sahaja yang mendirikan tiang dan mengibarkan bendera," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...