MESKIPUN Dato' Sagor sudah meninggal dunia 136 tahun lalu, namun semangat perjuangan dan aura kepahlawanannya bukan sahaja mekar sehingga hari ini tetapi amat ditakuti British satu ketika dahulu.
Pelbagai usaha dilakukan penjajah tersebut dalam usaha melenyapkan pengaruh dan semangat Dato' Sagor dalam kalangan rakyat ketika itu.
Dalam usaha menangkap Dato' Sagor atas dakwaan bersubahat membunuh Residen British pertama, JWW Birch, keluarga dan keturunannya turut menjadi sasaran sehingga menyebabkan mereka menyembunyikan identiti diri.
Ketua Sidang Kampung Teluk, yang juga cicit kepada Dato' Sagor, Ramli Ngah Mat Ali berkata, di peringkat awal keturunan Dato' Sagor terus didiskriminasi oleh British.
"Jika British tahu kita keturunan Dato' Sagor, tidak diterima bekerja dengan mereka, apa lagi sebagai polis atau tentera. Ini menyebabkan waris dan keturunan Dato' Sagor terus menyembunyikan identiti," katanya kepada S2 baru-baru ini.
Usaha melenyapkan semangat dan pengaruh Dato' Sagor atau nama sebenarnya Ngah Kamdin dilakukan dengan penuh terancang oleh British.
Prof. Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali berkata, setelah Dato' Sagor meninggal dunia pada tahun 1877, gelaran Dato' Seri Agar Diraja atau Orang Kaya-Kaya Seri Agar Diraja, gelaran bagi Orang Besar Delapan Perak tidak dipenuhi.
"Penamatan gelaran Dato' Seri Agar Diraja dapat dikaitkan dengan penglibatan British dalam pentadbiran negeri Perak. Sudah pasti bagi British, gelaran Dato' Seri Agar Diraja perlu dihapuskan supaya masyarakat Melayu Perak khasnya, tidak akan lagi mengingati perjuangan yang dipelopori oleh Dato' Sagor dan Dato' Maharaja Lela.
"Gelaran ini sangat memberi pengertian dalam perkembangan sejarah negeri Perak, ia bukan sahaja mengenang jasa tokoh yang memakai gelaran tersebut tetapi juga dapat menanam semangat perjuangan yang mana kedua-dua tokoh ini sanggup mengambil tugas membunuh JWW Birch," katanya.
Sementara itu, bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib berkata, selepas kematian Dato' Sagor, gelaran tersebut dihapuskan British dan digantikan dengan gelaran Orang Kaya-Kaya Setia Bijaya Diraja.
"Tetapi ia hanya gelaran yang tidak membawa kepada penguasaan wilayah seperti pernah dikuasai Dato' Sagor. Gelaran itu hanya bermula pada 1898 iaitu 23 tahun selepas Dato' Sagor dihukum bunuh oleh British pada 1877," katanya.
Beliau menambah, gelaran Orang Kaya-Kaya Seri Agar Diraja atau Dato' Sagor telah dihidupkan kembali oleh Sultan Perak dan Dewan Negara Perak pada 11 Jun 1987, selepas 114 tahun gelaran itu dihapuskan.
Ramli berkata, ketika peristiwa pembunuhan JWW Birch, usia Dato' Sagor dikatakan antara 55 hingga 60 tahun.
"Dari segi perwatakan dia seorang berbadan besar dan kelihatan bengis tetapi amat disayangi dan dihormati orang Melayu ketika itu," katanya.
Dikatakan bahawa darah Dato' Sagor mengalir dalam kalangan lebih 3,000 keturunannya yang kebanyakan mereka masih menetap di kiri dan kanan Sungai Perak di antara Lambor dan Kampung Bandar.
© Utusan Melayu (M) Bhd
Pautan artikel lain yang berkaitan :-
No comments:
Post a Comment