Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Friday, 27 December 2013

Kurniaan keajaiban-Nya


SEBALIK tragedi bencana alam Tsunami yang berlaku di Aceh sembilan tahun lalu, sebenarnya terdapat 1001 kisah berlaku dalam kalangan mangsa Tsunami terselamat.

Mungkin pelik tetapi kebenaran hanya boleh diakui oleh mangsa berkenaan yang menyaksikannya dengan mata mereka sendiri. Antara kisah mereka adalah seperti diselamatkan oleh lelaki terbang berjubah, terpaut pada ular besar yang disangka kayu, dan sebagainya.

Namun kisah paling menyentuh hati penulis ketika berkunjung ke Banda Aceh, baru-baru ini adalah cerita yang disampaikan dari mulut mangsa Tsunami sendiri iaitu Mujiburrizal Syamsuddin.

Jika anda pernah mengikuti perjalanan industri nasyid tanah air, nama Mujiburrizal tidak asing lagi apabila beliau menganggotai kumpulan The Zikr dan Nada Murni sebelum pulang ke kampung halaman, Aceh tidak lama kemudian.

Dalam menceritakan detik pada pagi 26 Disember 2004, Mujiburrizal berkata pada waktu itu beliau sempat bersenam di salah sebuah kawasan rekreasi di Banda Aceh sebelum pulang ke rumahnya iaitu dalam daerah Lampulo yang terletak sejauh tiga kilometer.

Apabila sampai di rumah, secara tiba-tiba kawasan tempat tinggal dikejutkan dengan gempa bumi sehingga menyebabkan para penduduk memenuhi jalan-jalan utama sebagai langkah waspada dan keselamatan.

"Bagaimanapun tidak lama kemudian, orang ramai menjerit supaya kami menyelamatkan diri kerana air dari pinggir pantai berhampiran datang mengharungi kawasan daratan. Saya bersama ibubapa kemudian menuju ke rumah jiran yang mempunyai dua tingkat.

"Dalam situasi itu, dalam fikiran saya membayangkan air banjir dan gempa bumi itu adalah kiamat tetapi keadaan berkenaan tidak sepenuhnya digambarkan seperti dalam al-Quran," ujar Mujiburrizal.

Air kemudian naik ke paras dada, walaupun Mujiburrizal dan ibu bapa sedang berada di tingkat dua serta pada saat itu, hanya berdoa dan berzikir munajat berkumat-kamit di bibir mereka selain menyaksikan orang ramai lain maut ditenggelami air.


Bot penyelamat


Alhamdulillah! Demikian ucapan boleh digambarkan oleh Mujiburrizal apabila secara kebetulan sebuah bot menuju ke arahnya dalam keadaan berpusing dan tiba-tiba berhenti di sebelah lokasi mereka berkumpul.

Mujiburrizal menyangka bot itu mempunyai nahkoda dan ingin menyelamatkan mangsa-mangsa tetapi rupa-rupanya, tiada seorang pun berada di dalamnya. Lantas beliau membawa ibu bapa ke atas kapal itu selain membantu jiran tetangga lain.

Beliau berkata lagi, bayangkan dalam bot kecil, seramai 52 orang berada di atasnya terselamat berbanding orang ramai lain terkorban walaupun mempunyai tempat berteduh.

Namun jelas Mujiburrizal, keadaan itu tidak berhenti setakat itu sahaja apabila ombak kedua menyerang mereka lalu beliau bertindak melaungkan azan. Dengan kuasa dan izin Allah, ombak itu pecah tatkala menghampiri bot itu.

"Apabila keadaan kembali tenang dalam waktu petang, saya memberanikan diri bersama ibu bapa pergi ke ibu kota untuk mencari tempat selamat walaupun waktu itu, air masih di paras pinggang.

"Dalam perjalanan hampir tiga kilometer ke ibu kota, syahdu hati ini apabila kami melihat ribuan mayat terapung di sekeliling, tetapi pada waktu tersebut hanya memikirkan keselamatan diri sendiri sahaja," ujar beliau.

Ketika ditemubual, renungan wajah Mujiburrizal masih sedih dengan bencana alam itu tatkala mengingati orang ramai hanyut dek ombak ketika mana mereka berada di atas kapal itu.

Namun beliau dan sekeluarga masih bersyukur kerana masih lagi diberi peluang oleh Allah SWT untuk hidup di muka bumi ini selain menikmati kemajuan dikecapi Aceh pada hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20131226/ba_03/Kurniaan-keajaiban-Nya#ixzz2oj8evTYF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...