JAKARTA 26 Dis. - Tangisan dan esakan anggota keluarga dan saudara-mara mangsa tragedi tsunami yang berlaku sembilan tahun lalu mengiringi majlis tahlil dan berzikir yang diadakan di pelbagai tempat di wilayah Aceh hari ini.
Mereka menyertai ratusan warga yang berhimpun di tanah perkuburan mangsa-mangsa tsunami di Gampong Pie, daerah Meuraxa, Banda Aceh sempena ulang tahun kesembilan tragedi tsunami melanda wilayah tersebut..
Selain penduduk tempatan, warga asing dan penduduk dari wilayah lain turut menghadiri majlis-majlis tersebut.
Menurut seorang warga Medan, Sumatera Utara, Suherman, dia mengunjungi Aceh hari ini untuk memperingati keluarganya yang terkorban dalam tragedi tersebut.
"Hampir setiap tahun saya berkunjung ke tanah perkuburan mangsa tsunami walaupun saya tidak tahu di mana ahli keluarga saya dikebumikan," katanya.
Bagi penduduk Banda Aceh, Zamzami, dia yakin anak-anaknya yang menjadi mangsa bencana alam tersebut dikebumikan di Gampong Pie.
"Walaupun ada beberapa tanah perkuburan mangsa korban tsunami, tetapi saya yakin mereka dikebumikan di tempat ini (Gampong Pie)," kata bekas kakitangan kerajaan ini.
Menurut Zamzami, ketika kejadian yang berlaku pada 26 Disember 2004 itu, dia sedang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci, Mekah.
Majlis tahlil turut diadakan di beberapa tanah perkuburan mangsa tsunami di kawasan Lambaro Sukon, daerah Aceh Besar, masjid-masjid dan madrasah-madrasah. - UTUSAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131227/lu_06/Tangisan-iringi-tahlil-peringati-tsunami#ixzz2ojCkI9fd
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment