Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Friday, 13 December 2013

Penyatupaduan nasional suara keramat

PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia

"Air tempayan tidak terlalu cepat dicurahkan kerana mendengar guruh di langit". Begitulah peringatan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di Kongres Majlis Profesor Negara II, Hotel Istana baru-baru ini.

Ia datang ketika ada sebahagian masyarakat begitu ghairah melompat-lompat dengan nada desakan dunia global akibat proses industrilisasi dan modenisasi sehingga timbul persoalan apakah ia akan mempengaruhi bucu-bucu yang mengikat mantap kelahiran Malaysia yang berorientasikan warna-warni kepelbagaian; persetujuan bersama bercirikan muafakat.

Yang ketara Raja Nazrin mengharapkan apa yang sudah terbina untuk sekian lama tidak akan dipinggirkan disebabkan oleh tuntutan perubahan persekitaran. Titah baginda lagi; "Pelita lama jangan terlalu cepat mahu dibuang kerana 'riak melihat fajar yang sedang menyinsing'. Ingatlah hari siang juga akan berakhir, jangan nanti bila senja mendakap malam, rakyat mula teraba-raba, hilang habuan diselubungi kegelapan malam, kerana pelita lamanya sudah tiada lagi".

Yang jelas, intipati mesej yang cuba disampaikan oleh baginda adalah agar masing-masing boleh meniti tradisi dalam melakukan pembaharuan tanpa perlu mengubah asas yang sudah terbina sekian lama di negara-bangsa ini.

Dalam keseronokan mahu mempamer perubahan, ia sewajarnya dilakukan dalam kerangka yang sudah dipersetujui untuk sekian lamanya; kerangka yang menggalas tradisi penginstitusian yang mencorakkan masa depan negara hari ini berpaksikan kepada kestabilan politik, ekonomi dan sosial sehingga limpahan kekayaan negara dimanfaatkan di bawah urus tadbir yang cerdik melakar kejayaan.

Kesemuanya memerlukan iltizam dalam konteks masyarakat majmuk, pelbagai dan berbilang sehingga proses penyatupaduan nasional dilihat sebagai induk untuk memagar kecemerlangan pencapaian negara. Raja Nazrin menyatakan bahawa formula penyatupaduan memerlukan 'kesediaan berundur sebelum mara; memerlukan keberanian menerima realiti, memerlukan ketegasan mempertahankan prinsip'.

Kelangsungan hayat negara ini masih berteraskan kepada penyatupaduan nasional; suara keramat agar tanah air terus kekal harmoni, maju, membangun dan muhibah dalam persaingan dengan komuniti dunia lain.

Seringkali sejarah pembentukan negara dipinggirkan atau dirujuk mengikut keselesaan semata-mata. Ada yang merasa gelisah untuk melihat semula sejarah bagaimana negara ini ditubuhkan dan status kewarganegaraan anak watan pada saat genting berhadapan dengan krisis, cabaran dan dilema masa depan negara-bangsa bernama Tanah Melayu, kemudiannya Malaya dan Malaysia.

Rangkuman persefahaman antara negeri, barisan kepimpinan, hubungan dalam sesuatu etnik dan hubungan antara etnik membolehkan yang rumit menjadi mudah; yang sensitif menjadi tidak terlalu sensitif kerana penyatuan yang terhasil melangkaui perbezaan yang ada. Perbezaan dan pertembungan yang lahir dilihat sebagai keunikan dan kekuatan; bukan kelemahan yang membantut proses pelayaran sebuah negara merdeka.

Kesemua sifat dan nilai ini terserlah dalam dokumen keramat negara, Perlembagaan. Perlembagaan mendasari citra roh dan jasad Malaysia. Persetujuan British untuk memberikan kemerdekaan jika sekiranya masyarakat pelbagai etnik dapat mencari formula kemuafakatan agar tidak terganggu hubungan antara etnik menjadi petunjuk kepada gagasan penyatupaduan nasional, berakarkan beberapa warisan termasuk institusi Raja-Raja Melayu, Bahasa, Agama dan keistimewaan Bumiputera serta kewarganegaraan.

Masa beredar, persekitaran berubah, penghuni mewarisi pelbagai tingkah-laku; namun masa depan Malaysia bergantung kepada keupayaan untuk memastikan keseimbangan antara tradisi dan moden tidak dipengaruhi oleh sentimen segelintir yang akan merayakan robohnya bahtera negara-bangsa ini kerana berjaya dalam misi meruntuhkan apa yang sudah dibina dengan keringat bangsa. Kealpaan boleh memastikan ia berlaku kecuali jika kita sentiasa berwaspada dengan agenda propaganda pihak yang berkepentingan.

Kenyataan Raja Nazrin, misalnya ke atas institusi raja-raja wajar menjadi sandaran dalam mahu memahami dan mahu pertahankan warisan budaya bangsa ini. Titah baginda 'institusi raja adalah penerusan tradisi untuk mengekalkan identiti negara bangsa, satu lambang kedaulatan, payung mahkota negara. Ia mungkin pelita lama tetapi kekal memancarkan cahaya'.

Perincian sebegini wajar diperhebatkan untuk pengutuhan penyatupaduan nasional yang memerlukan rasa tanggungjawab dan komitmen untuk memahami apa yang sudah dipersetujui dan bagaimanakah pengisian berterusan dapat dipraktis dan dijadikan amalan supaya Malaysia kekal aman dan damai. Penginstitusian yang sudah dinobat sepanjang lahirnya negara ini adalah landasan untuk Malaysia terus maju dan bersaing di persada global.

Pemantapan penginstitusian yang mencorakkan penyatupaduan nasional boleh dipelbagaikan mengikut acuan bersesuaian. Walaupun begitu, langkah awal yang perlu diambil adalah menjawab persoalan 'mengapa penyatupaduan nasional ini penting' agar majoriti demografi tanah air akan dapat melihat kecenderungan ia menyumbang kepada proses memasyarakatkan institusi yang ada serta merakyatkan kepimpinan supaya tidak ada yang memberi tafsiran dan terjemahan yang berbeza-beza apabila soal penyatupaduan nasional diarusperdanakan oleh kerajaan.

Memahami penyatupaduan nasional secara rasional penting kerana ia diolah agar yang memberikan roh kepada jasad adalah 'semangat kompromi dan pengorbanan'. Sifat kenegaraan, menerima antara satu sama lain dan keadilan sosial menjadi tunjang kekuatan warganya. Kerjasama tidak akan datang dengan sendiri tanpa dididik dari awal lagi, seawal di rumah, sekolah, universiti, tempat kerja, agensi, badan dan organisasi serta kepimpinan sendiri.

Jika ini agen-agennya, maka pemahaman ke atas struktur penyadupaduan nasional adalah asas kepada kesediaan untuk merentasi tuntutan 'perubahan dalam kesinambungan' tanpa mengganggu-gugat apa yang sudah wujud dalam realiti.

Sifat hormat, faham dan bertolak ansur adalah ramuan penting yang masyarakat bersepadu. Dilemanya adalah bagaimana ketika sekumpulan anggota masyarakat mula terpisah dengan perlakuan ini akibat desakan persekitaran sehingga menjadi individualistik dan mengutamakan kebendaan mampu mewariskan kepada generasi akan datang kelakuan ini?

Jika ia gagal, maka kegagalan juga akan menimpa untuk mewariskan sejarah penginstitusian yang menjadi tonggak utama negara ini sehingga lahir golongan yang mahu 'membuang' sistem negara termasuk institusi yang telah memastikan penyatupaduan nasional terpelihara. Penganiayaan ke atas pengiktirafan selama ini hanya akan mengundang bala dan menghancurkan gagasan yang sudah diterima pakai gara-gara kumpulan majoriti sendiri mengambil sikap sambil lewa dan 'tidak apa' ke atas penginstitusian yang ada.

Prinsip asas mesti secara tekad dipertahankan, hakikat perlu diakui dengan keberanian rasional dan secara praktikal bersedia untuk bersetuju bahawa adalah tanggungjawab bersama untuk memain peranan dalam penyatupaduan nasional. Tidak perlu berjiwa kosong memberontak jika gagal mendidik diri sendiri kepentingan pewarisan budaya perkongsian dan kepunyaan. Jangan 'sudah terhantuk baru mengadah' kerana masa sudah tiada.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131119/re_05/Penyatupaduan-nasional-suara-keramat#ixzz2nycoNwLX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...