Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Friday, 13 December 2013

P. Ramlee : Saloma bukan tempelan

Oleh GARRET DAWUM
garret.dawum@utusan.com


NABILA Huda berjaya menghayati watak sebagai Saloma.

"NAMA besar tetapi kurang diangkat. Bahkan ramai yang kurang mengetahui tentang siapa Saloma sebenarnya, secara peribadi. Saya memang kasihan melihat nasib Mama saya yang seolah-olah dipinggirkan," demikian bicara anak saudara Saloma, Melissa Saila, 41, kepada saya ketika pertemuan di sebuah set penggambaran drama berjudul Saloma di ibu kota baru-baru ini.

Si pelakon dan pengarah ini nampaknya sudah berkeyakinan untuk memberikan satu 'buah tangan' yang paling manis sebagai tanda penghargaan kepada ibu saudaranya dalam memperingati kembara seninya.
Perkara ini sekaligus bukan sahaja mencatat bangga di hatinya, tetapi juga buat seluruh peminat Saloma yang selama ini teguh berdiri menyokong perjuangan seni Saloma dengan nama sebenarnya Salmah Ismail.
Angka 30 pada tahun ini menunjukkan usia pemergian Saloma pada 25 April 1983. Namun, kematiannya seakan dipandang sepi dan dilupakan semua terutama penggiat seni tanah air. Tidak seperti pemergian suaminya, Tan Sri P.Ramlee pada 27 Mei 1973 yang diingati semua pihak setiap tahun.

Jika dilihat balik banyak drama atau filem yang dibuat semuanya bercerita tentang P.Ramlee. Kurang sekali cerita mengenai Saloma. Kalau ada pun, Saloma hanya ditempel dan semuanya bersandarkan kepada P.Ramlee.

"Ibu saudara saya tidak menumpang. Dia ada kebolehan dan kemahirannya sendiri. Banyak perkara yang telah dilakukan dalam bidang seni suara negara.

"Banyak sejarah manis yang ditempa oleh Saloma dan paling mengagumkan apabila dia menjadi penyanyi Melayu pertama mendapat kontrak menyanyi di Melbourne, Australia," jelasnya.

Memang, kalau dilihat Radio Televisyen Malaysia (RTM) pernah menyiarkan dua program khas, Dialah Saloma dan Aku, Dia & Lagu...Saloma, bagi memperingati jasa Allahyarham yang tidak ternilai harganya. Tetapi semua itu juga agak sudah lama dan pastinya ramai yang tidak mengetahui siapa gerangan Saloma sebenarnya.

Walaupun ada program seumpama itu, Saloma tetap dilihat sebagai insan seni yang terpinggir dan hakikatnya, dialah insan yang paling istimewa sekali dengan kehebatannya dalam bidang nyanyian.

Menjawab perkara itu, dengan sayu dan pilu Melissa memberitahu, memang amat penting jika cerita mengenai Saloma didokumentasikan supaya kehebatannya dalam mewarnai dunia hiburan tanah air tidak dilupai begitu sahaja.

"Setahu saya, memang ramai anak muda kini kurang pasti tentang Saloma. Dalam sejarah hiburan, sungguh besar sekali pengorbanan yang telah Saloma lakukan. Lihat sahaja pada lagu-lagu raya. Ramai yang tahu menyanyikannya sahaja tetapi tidak tahu ada di kalangan lagu itu milik Saloma.

"Malah, pada saya, tiada artis lain yang boleh ganti dia kerana Saloma seorang yang unik dan trend setter dalam berfesyen. Memang dia tiada duanya. Dialah insan yang teristimewa buat saya, selain ahli ibu dan ayah saya.

"Memang saya mengharapkan ada penghargaan buatnya kerana selama ini hanya dibuat untuk P.Ramlee," akui Melissa tentang hibanya yang masih bersisa biarpun telah tiga dekad Saloma meninggal dunia.
Barang peninggalan dibiarkan?

Terkilan dengan apa yang berlaku, satu lagi perkara yang diluahkan oleh ahli keluarga tentang diri Saloma yang tidak Ć¢€˜dijagaĆ¢€™ dengan baik. Maksudnya, barang-barang peninggalan Saloma yang diberikan kepada arkib seperti baju persembahan, kasut, gelang, rantai, beg tangan termasuk surat cintanya bersama P.Ramlee tidak dijaga dengan baik.

Perkara itu diluahkan oleh seorang lagi anak saudara Saloma, Shasha atau nama sebenar, Siti Haslinda Abdul Hamid, 58, tentang kecuaian pihak berwajib dalam menjaga barang peninggalan arwah.

"Saya ingat lagi barang tersebut mereka (arkib) ambil beberapa tahun selepas Saloma meninggal dunia. 

Namun, apa yang saya kesal mereka tidak menjaga barang-barang itu dengan baik.

"Bayangkan, pada tahun 1992, kalau tidak silap untuk siaran RTM, pihak produksi meminta untuk menggunakan baju Saloma dan kami pergi ke arkib untuk keizinan mendapatkan baju. Tetapi, mereka kata baju sudah lusuh dan tidak elok. Alasan mereka tiada tempat untuk meletaknya.

"Dari situlah kami percaya mereka tidak menjaga barang Saloma dengan baik. Malah ada barang-barang lain yang kami minta untuk dipakai dalam rancangan berkaitan Saloma contohnya telah hilang.
"Bagi saya, kalau tidak boleh simpan dari dulu, lebih baik pulang kepada kami untuk disimpan. Apa yang ada pada saya adalah cuma baju persembahan Saloma yang terakhir rekaan Abol pada 1983," ujarnya penuh kekesalan.

Menceritakan pula kisahnya bersama Saloma, Shasha berkata, Saloma telah mengajarnya untuk mengekalkan persahabatan yang selalu tidak dapat dipertahankan.
Tambah Shasha, pada masa kematian P.Ramlee, Saloma memang tidak boleh menerima kehilangan suaminya.

"Saya ingat lagi memandangkan saya anak saudara paling rapat dengannya. Pada hari pengebumian P.Ramlee, Saloma terus menyentap surat khabar dan membaca sebuah laporan yang mengimbau kenangan bersama P.Ramlee sambil menyanyi lagu Di Manakan Ku Cari Ganti. Memang nampak kuat dan utuh perasaan cinta mereka," jelasnya yang turut memanggil Saloma dengan panggilan mama.

Membayangkan sekiranya arwah Saloma masih ada bersama, tentunya dia akan jadi insan paling gembira melihat penghormatan yang diberikan terutama kisah hidupnya didokumenkan dalam bentuk video.

"Sebelum arwah meninggal saya selalu mengikutinya untuk membuat rakaman. Saya ini umpama GPS (penunjuk jalan) disebabkan saya selalu mengingati jalan yang dilalui sebelum ke tempat rakaman. Ketika itu saya berusia 11 tahun dan memang banyak yang saya belajar daripada Mama.

"Namun apa nak dibuat, Mama pergi begitu cepat meninggalkan kami. Dia umpama sebutir permata buat saya yang tidak ternilai. Dia juga figura yang sangat penting dalam seni suara negara. Bagi saya Saloma adalah ikon yang sungguh istimewa," beritahu Melissa.

Tidak habis menceritakan tentang ibu saudaranya walaupun banyak mendengar daripada ibu kandung, bagi Melissa satu-satunya barang peninggalan Saloma yang diberikan kepadanya adalah kain batik. Namun malang sekali, kain itu sudah hilang entah ke mana.

Melihat kepada kejayaan Saloma, sebagai kakak, Mariani atau nama sebenarnya Mariam Ismail, 77, merasakan masih ada ruang yang perlu diisi bagi mengenang sumbangan adiknya kepada industri seni negara.

Bukanlah penghargaan setinggi langit diharapkannya sebaliknya memadai dengan acara tahlil yang dianjurkan pihak berkaitan.

"Setiap tahun, saya pasti akan buat kenduri di masjid sebagai tanda mengenang pemergian Allahyarham. Saya buat tak tepat pada tarikh kematian dia kerana selalunya bergantung pada masa lapang. Maklumlah, jadual penggambaran saya bukan menentu," katanya.

Mariani yang menyifatkan tahlil lebih afdal dari segala-galanya, mengalu-alukan jika ada pihak menghasilkan program atau teater muzikal mengenai adiknya. Katanya, sementara dirinya masih ada, dia boleh dijadikan rujukan kerana anak Allahyarham Saloma dan P.Ramlee sudah meninggal dunia.

Hubungan yang rapat dengan Saloma membuatkan Mariani bagaikan diruntun pilu dek terkenangkan Saloma kerana mereka begitu rapat dan tidak pernah berenggang sedari kecil.

Sukar menerima berita pemergian adik kesayangannya yang kembali ke rahmatullah, selama 20 tahun Mariani bergenang air mata dan berasa sayu setiap kali teringatkan detik bersama arwah adiknya itu. Malah, pita rakaman serta video nyanyian dan lakonan Allahyarhamah Saloma tidak sanggup ditontonnya selama tempoh tersebut.

"Bukan sebab tidak rela kerana Tuhan mengambilnya, cuma saya dengan dia terlalu rapat sebab itu saya rasa sangat sedih dengan pemergiannya. Sejak dia pergi, selama 20 tahun saya memendam rasa, apabila teringat sahaja pasal dia pasti saya akan menangis," tulah luahan Mariani jujur dari hatinya.

Mengingat kembali kisah lalu, Mariani memberitahu semangat Saloma untuk bergelar penyanyi memang sangat menebal sejak berusia lima tahun walaupun ketika itu Tanah Melayu berada di bawah penjajahan Jepun.

"Banyak sekali keinginan semasa kecil disuarakan kepada saya. Dan saya tidak boleh lupa apa yang pernah diluahkan kepada saya.

"Saloma pernah berkata dia hendak menjadi penyanyi dan menyuruh saya menjadi pelakon. Kata Saloma, saya putih dan dia hitam," jelasnya yang turut turun padang menyokong anaknya dalam penggambaran drama itu.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...