LONDON 30 Nov. - Siti Aishah Abdul Wahab, rakyat Malaysia yang dijadikan hamba oleh sepasang suami isteri di sini, menafikan mengalami situasi tersebut sepanjang berada di London.
Siti Aishah, 69, mendakwa dia gembira dan menerima layanan baik daripada rakan-rakannya.
Menurut kakak kandungnya, Kamar Mahtum, 73, yang dipetik oleh laman web berita Daily Telegraph, Siti Aishah kelihatan bersahaja ketika mereka mengadakan pertemuan di sebuah lokasi rahsia, di sini semalam.
"Aishah tidak sedikit pun menunjukkan reaksi tertekan atau takut dengan situasi kini.
"Apabila saya menanyakan keadaannya, Aishah memberitahu bahawa dia tidak menjadi hamba kepada mana-mana pihak dan gembira berada di London bersama rakan-rakannya," katanya.
Bagaimanapun, Siti Aishah tidak menyatakan lebih lanjut tentang pekerjaannya di bandar raya ini.
Kamar turut menyatakan bahawa adiknya itu berjanji untuk pulang ke tanah air selepas semua siasatan selesai.
"Kami berharap segalanya akan diselesaikan dengan segera dan Aishah boleh pulang ke kampung halaman tidak lama lagi.
"Aishah kini sudah tidak lagi fasih berbahasa Melayu, namun itu tidak menjadi halangan kami sekeluarga untuk terus menyayanginya," ujarnya. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131201/lu_05/Siti-Aishah-nafi-jadi-hamba#ixzz2nyka0KkZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment