SEPANG 1 Dis. - Siti Aishah Abdul Wahab, 69, yang didakwa dijadikan hamba oleh sepasang suami isteri di London, berjanji akan pulang ke pangkuan keluarga selepas selesai menjalani tempoh penahanan selama sembilan bulan.
Kakaknya, Kamar Mahtum, 73, berkata, Siti Aishah ketika ini berada dalam tahanan polis bagi membantu siasatan kematian Sian Davies pada 1997 yang dipercayai menjadi hamba kepada pasangan suami isteri,
Aravindan Balakrishnan, 73, dan Chanda Pattni, 67, di Lambeth, London sejak 30 tahun lalu.
Siti Aishah bersetuju untuk pulang selepas dipujuk Kamar Mahtum dalam satu pertemuan di lokasi rahsia di negara itu yang dikawal ketat bagi mengelak sebarang maklumat bocor sehingga boleh mengganggu siasatan.
Menurut Kamar Mahtum, Siti Aishah mulanya enggan pulang ke tanah air kerana mendakwa banyak urusan yang perlu diselesaikan di London terutamanya kerja kemasyarakatan.
"Setelah dipujuk dan menyatakan keluarga di Malaysia begitu rindukan dia, akhirnya Siti Aishah akur dan bersetuju pulang, namun perlu menunggu sehingga siasatan selesai yang memakan masa sembilan bulan.
"Saya gembira selepas Siti Aishah berjanji untuk pulang, kami sekeluarga amat merinduinya selepas hampir 40 tahun berpisah. Dia ada menulis satu nota ringkas kepada keluarga di Malaysia, namun saya tidak dapat kongsi kandungannya kerana terlalu peribadi.
"Dia juga sihat fizikal dan lebih gemuk daripada saya, dia juga merindui keluarga di Malaysia," katanya ketika ditemui pemberita sejurus tiba dari London di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pukul 7.30 pagi ini.
Siti Aishah merupakan salah seorang daripada tiga individu yang diselamatkan polis Britain pada 22 November lalu kerana dipercayai dijadikan hamba domestik selama 30 tahun di sebuah rumah di selatan ibu negara itu.
Aravindan dan Chanda yang memimpin sebuah kumpulan ekstremis komunis pada 1970-an dipercayai bertanggungjawab dalam kejadian tersebut.
Sementara itu, Kamar Mahtum mendakwa sepanjang pertemuan itu, Siti Aishah begitu gembira dan menyatakan menerima layanan baik daripada rakan-rakan sekali gus menafikan dia dijadikan hamba sepanjang berada di London.
"Siti Aishah tidak sedikit pun menunjukkan situasi dia menghadapi sebarang masalah, apabila saya bertanya situasinya sekarang, dia beritahu tidak menjadi hamba kepada mana-mana pihak dan gembira berada di London bersama rakan-rakannya.
"Saya ada bertanya mengenai pekerjaannya, namun dia tidak menyatakan lebih lanjut tentang perkara tersebut dan hanya memberitahu dia melakukan kerja kemasyarakatan kerana masyarakat di London mahukan pertolongan dia," katanya.
Mengulas mengenai pegangan agama adiknya ketika ini, Kamar Mahtum berkata, perkara tersebut telah ditanyakan kepada kepada Siti Aishah semasa sesi pertemuan yang dilakukan.
"Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara ini, memang saya ada bertanya, namun tiada jawapan, perkara ini biarlah antara dia dan Allah," katanya.
Dalam pada itu, Kamar Mahtum meminta pihak media terutamanya di negara ini menyiarkan perkembangan sahih mengenai situasi adiknya di London.
"Ada sesetengah media melaporkan berita yang tidak tepat, perkara ini mengeruhkan lagi keadaan. Kami berharap segalanya diselesaikan dengan segera bagi membolehkan Siti Aishah pulang ke kampung halaman secepat mungkin," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131202/je_01/Siti-Aishah-setuju-pulang---Kakak#ixzz2nykvhkMm
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment