SEMENJAK Studio Jalan Ampas ditutup sepenuhnya pada 1967, seniwati Zaiton Abdullah yang cukup dikenali menerusi gandingan mantapnya bersama S. Shamsuddin dalam filem Bujang Lapok tidak pernah sekali pun kembali menjejakkan kaki ke situ.
Justeru, tidak hairanlah apabila penulis menemubualnya betul-betul di bilik beliau diuji bakat oleh P. Ramlee, Jamil Sulong, Phani Majumdar dan HM Rohaizad ketika mula-mula mahu menceburi bidang lakonan pada 1954, emosinya sedikit terganggu.
Dalam menahan sendu, Zaiton mengakui betapa beliau amat merindui suasana di studio itu yang mana kesemuanya adalah kawan tanpa ada sebarang permusuhan.
"Hubungan antara kami amat rapat. Daripada pelakon, jurukamera, 'wireman', pengawal sehinggalah peniaga kedai kopi di depan studio, semuanya saling mengenali.
"Bagai tiada rintangan antara kami. Saya selalu menumpang motor 'wireman' untuk ke kedai makan. Tiada siapa kata apa-apa pun kerana semuanya bagaikan keluarga," katanya.
Beliau menambah, keadaan studio itu dahulunya amat cantik sehingga membangkitkan semangat bekerja dalam kalangan warganya.
"Tetapi sekarang saya sedih melihatnya. Amat jauh berbeza sehingga saya bertanyakan kepada Zaini Sattar (adik Aziz Sattar) sewaktu hampir tiba tadi, sama ada betul ini Studio Jalan Ampas?" ujarnya.
Zaini yang awalnya berdiam, turut mengiyakan kata-kata Zaiton.
"Buktinya, satu malam saya membeli nasi bungkus berlaukkan sekeping daging dari kedai Wak Mustarjo (Pendekar Mustar). Apabila baru hendak menyuap makanan, datang Nordin Ahmad ke rumah dan saya mengajaknya makan.
"Nordin tidak menolak. Apabila beliau duduk saja, tiba-tiba A. Rahim pula datang. Lalu saya ajak pula Rahim makan sekali dan Rahim juga mengaku yang beliau sedang lapar.
"Kami kongsi bertiga nasi yang sebungkus itu. Nampak sedikit tetapi akhirnya ketiga-tiganya rasa kenyang. Mungkin disebabkan keakraban, keikhlasan dan seronok makan bersama, ketiga-tiganya mampu tidur lena malam itu," katanya yang merupakan bekas penari di Studio Jalan Ampas.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131130/re_08/Zaiton,-Zaini-rindu-keakraban-rakan#ixzz2n43uhF9O
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment