Ini kisah tahun 70-an dulu. Ada seorang tua yang warak di Kuang Selangor yang sangat rajin membantu orang ramai. Satu hari, apabila selesai membantu sebuah keluarga, beliau menerima duit upah daripada tuan rumah ; "Tuan.. Nah saya bagi 20 Ringgit, buat tambang bas untuk pulang ke rumah".
Orang Tua itu pun pulang dengan menaiki bas untuk pulang ke rumah. Tiba sahaja di destinasi, Orang Tua itu memberikan 20 ringgit kepada konduktor bas.
"Pakcik.. Tambang bas 20 sen sahaja pakcik. 20 ringgit ni banyak sangat. 20 sen pakcik bukan 20 ringgit", kata konduktor bas.
"Aku diberi wang ini oleh seseorang untuk tambang bas. Dia bagi aku 20 ringgit, aku kena bagi 20 ringgit untuk tambang bas", jawab Orang Tua itu.
Konduktor bas menerima duit itu dan Orang Tua tersebut berlalu pergi.
Jika kita diberi RM20 untuk tambang bas, duit baki tambang bas itu ke mana kita halakan?
--------------------------
Orang-orang dulu tak belajar tinggi. Tapi sifat dan kemurnian hatinya cukup tinggi. Amanah jangan cerita, kerana itulah hidupnya berkat.
Cuba kita fikirkan bagaimana orang dulu yang mempunyai ramai anak dapat menyekolahkan anak-anak mereka? Sedangkan zaman 60-an dulu yuran sekolah perlu dibayar setiap bulan, buku teks perlu dibeli. Tidak seperti sekarang, yuran sekolah sudah percuma dan buku teks semua diberi oleh kerajaan. Apa pekerjaan orang-orang tua kita dahulu? Dan mengapa orang sekarang ramai yang tak cukup duit?
Tidak ada pula ketika itu ada pinjaman pendidikan. Tidak pula orang dulu-dulu ini beratur berjumpa dengan Wakil Rakyat untuk memohon bantuan persekolahan apabila tiba musim persekolahan.
Apabila anak masuk Universiti mereka sedaya upaya menggadaikan harta mereka termasuk tanah pusaka demi memberi pendidikan kepada anak-anak. Kerana mereka tahu, itu darah daging mereka, mereka bertanggungjawab menanggungnya.
Saya pernah bertemu dengan seorang yang memohon bantuan bagi menyekolahkan anaknya. Katanya, tak cukup duit untuk beli baju sekolah anak, duit gajinya tak cukup, hujung tahun, poket bocor. Saya berasa kasihan.
Tetapi apabila diselidiki latar belakangnya, orangnya boros, selalu sahaja tukar sport rim kereta, beli telefon yang mahal-mahal. Senang cerita, duit yang ada banyak dibelanjakan kepada perkara KEMAHUAN dan bukannya berbelanja kepada perkara KEPERLUAN.
--------------------------
Saya hadir ke program penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (RM100) daripada Kerajaan Malaysia.
Belum pun duit RM100 itu diterima, ada ibu bapa di belakang saya sibuk mengira. "Anak aku ada 3 orang, aku dapat RM300, teringin pula nak handbag baru".
Baru ku tahu! Duit yang diamanahkan oleh Kerajaan Malaysia untuk keperluan persekolahan anak-anak digunakan untuk keperluan diri sendiri?
RM100 yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia itu adalah satu amanah untuk diuruskan oleh ibu bapa buat anak-anak mereka. Tetapi apabila duit itu digunakan untuk kegunaan diri sendiri?
Siapa yang Zalim?
--------------------------
Sering sahaja kita mendengar orang merungut "itu tidak cukup, yang ini kurang sana sini". Tetapi apabila diberi bantuan untuk menampung kekurangan itu, dizalimi pemberian itu.
Usah bicara tentang Keadilan, jika diri tidak mampu adil kepada diri sendiri.
Ingatlah.. Ini bicara Keadilan. ADIL itu "Meletakkan Sesuatu Pada Tempatnya".
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=224578054402894&set=a.182165691977464.1073741828.181500092044024&type=1
No comments:
Post a Comment