Oleh: FAIZAL RIDUAN
Surat jawapan balas pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menguruskan perkembangan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pesawat MH370 milik Malaysia Airlines kepada seorang kanak-kanak, Victor Lopez berusia 15 tahun dari Paris, yang asalnya dikongsi dilaman mikro Twitter @HishammuddinH20 kini menjadi berita utama minggu lalu.
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga sebenarnya pernah mendapat surat daripada seorang kanak-kanak, Darrel Abercrombie berusia 10 tahun dari Surrey, England. Berbeza dengan Lopez, Dr Mahathir sebenarnya mendapat surat daripada seorang pengkritik cilik.
“Saya berumur 10 tahun, dewasa nanti saya mahu belajar mengenai haiwan di hutan hujan tropika. Tetapi jika anda membenarkan syarikat balak terus beroperasi, akan tiada lagi haiwan di sana. Berjuta haiwan akan mati. Adakah anda fikir ini sesuatu yang betul untuk dibuat hanya untuk seorang yang kaya menambah kekayaannya sejuta pound lagi atau lebih? Saya fikir ini mengaibkan,” kata Abercrombie dalam surat ringkasnya.
Protes Abercrombie adalah signifikan dengan laporan dua tahun kemudian iaitu pada 1989 yang mendapati pembalakan di Malaysia pada kadar hampir 800,000 hektar atau 1.7 juta ekar setahun yang bermakna tiga ekar seminit!
Berbeza dengan balasan Hishammuddin yang lunak manja, “Terima kasih sekali lagi dan carilah masa untuk melawat Malaysia Truly Asia jika berkesempatan. Belajar rajin-rajin", Dr Mahathir menjawab dalam keadaan berang dan sinikal seperti karektornya kepada semua pengkritiknya yang dewasa.
“Sesuatu yang mengaibkan kamu dipergunakan oleh orang dewasa dengan tujuan mengecam kami atas tindakan mengeluarkan balak dari hutan kami. Untuk makluman orang dewasa yang memperguna anda, saya ingin menyatakan bahawa persolannya bukan tentang orang kaya meraih sejuta pound...
“Industri balak telah membantu beratus ribu orang miskin di Malaysia. Adakah mereka harus terus miskin kerana anda mahu belajar tentang haiwan tropika?...” Tanpa rasa bersalah Dr Mahathir menyambung, “Semasa British memerintah Malaysia, mereka membakar berjuta-juta ekar hutan Malaysia untuk menanam getah... Berjuta-juta haiwan mati kerana pembakaran ini. Rakyat Malaysia tidak mendapat apa-apa daripada balak yang ditebang itu.
“Selain itu, apabila getah dijual hampir semua keuntungan diangkut ke England. Perbuatan nenek moyang anda amat mengaibkan.”
Tanpa mengambil kira penulisnya adalah seorang anak kecil yang lahir selepas Malaysia merdeka, Dr Mahathir seolah-olah membayangkan Abercrombie adalah Perdana Menteri United Kingdom ketika itu, Margaret Thatcher.
“Jika anda tidak mahu kami menebang hutan kami, beritahu ayah anda supaya menyuruh negara-negara kaya seperti Britain membayar harga lebih tinggi bagi balak yang dibeli dari kami,” syor Dr Mahathir terhadap khazanah daripada estetika alam berusia 130 juta tahun itu.
Realitinya hari ini, United Kingdom adalah antara pengimport utama produk kayu kayan Malaysia selain Amerika Syarikat, Jepun, India, Korea Selatan dan Taiwan. Pendapatan eksport kayu kayan negara pada 2013 adalah sebanyak RM19.5 bilion berbanding RM6.9 bilion pada 1988 dan disasarkan mencecah RM53 bilion pada 2020.
Sebagaimana Hishamuddin yang sempat mempromosikan jenama Malaysia Truly Asia, Dr Mahathir juga berbuat serupa, “Jika anda benar-benar berminat tentang haiwan tropika, kami mempunyai Taman Negara yang luas di mana di sana tiada sesiapa dibenarkan menebang pokok atau membunuh haiwan.”
“Saya harap anda memberitahu orang dewasa yang memperguna anda untuk mempelajari semua fakta. Mereka tidak seharusnya terlalu angkuh dan merasa tahu cara terbaik mentadbir sebuah negara.
“Mereka sepatutnya menghalau semua warga British di kawasan desa untuk membenarkan hutan tumbuh di sana dan mengisi hutan ini dengan serigala, beruang dan lain-lain supaya anda dapat mengkajinya sebelum anda mengkaji tentang haiwan tropika,” komennya penuh sarkastik.
Di pengakhiran suratnya yang panjang lebar bertarikh 15 Ogos 1987 itu, seperti seorang lelaki tua yang tipikal Dr Mahathir menasihati, “Saya percaya semua kanak-kanak belajar mengenai haiwan dan menyayanginya. Tetapi orang dewasa tidak patut mengajar anak-anak bersikap biadap terhadap orang tua.”
Ironisnya setelah lebih dua dekad, terbukti kebimbangan Abercrombie adalah berasas kerana berdasarkan Senarai Merah Spesies Terancam, Kesatuan Antarabangsa Untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) pada 2010 menunjukkan kepupusan yang serius melibatkan 70 spesies mamalia, 42 burung, 21 reptilia, 47 amphibia, 59 ikan dan 31 siput.
Dalam tahun yang sama juga Malaysia barulah mewartakan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 bagi memperkukuh Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972. Itupun selepas spesies Harimau Malaya, Tapir Malaya dan Badak Sumbu Sumatera diancam kepupusan dengan populasi tidak sampai 500 ekor!
Si cilik Abercrombie dalam suratnya 27 tahun lalu kini sudah cukup dewasa dengan usia 37 tahun. Adakah dia sudah menjadi ahli sains zoologi yang membuat penyelidikan di hutan Royal Belum di Perak, Lembah Danum di Sabah atau hutan Bako di Sarawak?
Atau menjadi aktivis alam sekitar seperti Bruno Manser yang berjuang untuk pengekalan hutan hujan di Sarawak dengan tinggal bersama kaum Penan di hutan Baram, Sarawak sejak berusia 30 tahun pada tahun 1984 sebelum dilaporkan hilang pada Mei 2000.
Atau Abercrombie kini hidup selesa di rumah yang mewah dengan kemasan perabot dan kabinet berjenama Baker, Ashley, Henredon, Henkel Harris atau Stickley? Mungkin ditempah khas daripada pereka Karim Rashid dari Mesir atau Carlo Colombo dari Itali sedangkan kayu kayannya diimport dari perhutanan Borneo di timur Malaysia.
http://mysuara.net/index.php/berita/6137-kisah-surat-cilik-abercrombie-kepada-tun-mahathir
No comments:
Post a Comment