Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Sunday, 11 May 2014

P. Ramlee : Aziz Sattar sudah lama dihilangkan







HILANGNYA tiada ganti, cahaya yang dinyalakan oleh pelawak ini tidak pernah padam sejak nama Aziz Sattar mula terkenal sebagai pelawak dan pelakon hebat yang pernah dilahirkan di Jalan Ampas, Singapura. Siapa yang tidak mengenali seniman ini. Gelak tawanya, canda guraunya senantiasa bersama khalayak. Seolah-olah tiada yang merungut kerana bosan menonton ulang tayang berpuluh malah mungkin beratus kali filem-filem lakonannya bersama P. Ramlee di televisyen. Itu menunjukkan Aziz Sattar mempunyai kehebatan.

Tetapi seperti biasa, setiap kali pulangnya seniman veteran ke rahmatullah, banyak jugalah suara-suara yang penuh hipokrit dan klise tentang seniman berkenaan. Hal yang serupa juga berlaku apabila Aziz Sattar kembali ke rahmatullah Isnin lalu. Semua yang kita dengar dan baca adalah luahan pihak-pihak tertentu tentang kehebatan Aziz Sattar dalam lakonan khususnya untuk watak komedi.

Kalau melihat kepada pujian-pujian selepas ketiadaan Aziz Sattar, sudah tentu kehidupan seniman itu tidak seperti yang kita semua saksikan. Kedudukan Aziz Sattar dalam masyarakat dan di mata pengarah serta penerbit drama atau filem tidak sama dengan pujian yang diberikan. Banyak penerbit dan pengarah hipokrit tentang Aziz Sattar.

Apabila seniman itu sudah tiada, mereka memuji kehebatannya tetapi apakah yang mereka lakukan kepada Aziz Sattar semasa hayatnya? Pernahkah mereka menawarkan watak yang penting kepada Aziz Sattar dengan bayaran yang setimpal dengan kehebatan yang dicanangkan selepas ketiadaannya? Banyak pengarah dan penerbit kita yang memijak seniman-seniman besar seperti Aziz Sattar dengan bayaran yang jauh lebih rendah berbanding pelakon yang baru belajar "melintas kamera". Pelakon-pelakon ini mendapat bayaran tinggi dan hidup mewah padahal pelakon setaraf Aziz Sattar bagai melukut di tepi gantang.

Banyak pihak tidak berlaku adil kepada Aziz Sattar. Sebaliknya mengambil kesempatan memuji kehebatan Aziz Sattar selepas ketiadaannya. Ini hipokrit. Kita bukan mahu menyuruh mereka mengambil Aziz Sattar berlakon atau membayar dengan harga yang tinggi kerana dia seorang pelakon veteran. Kita mahu dia dibayar tinggi dan memberi watak penting kerana kehebatannya.

Apabila industri filem dan dunia lakonan di negara ini ditentukan oleh penerbit dan pengarah yang materialistik, perkara ini akan terus berulang kepada pelakon veteran lain yang hebat. Bayangkan kalau bayaran kepada pelakon setaraf Aziz Sattar lebih rendah daripada pelakon baru? Bayangkan juga pelakon-pelakon yang hebat ini hanya diberi watak tempelan yang ada atau tiada tidak memberikan kesan kepada drama atau filem. Ini satu penghinaan.

Jadi, tidak usahlah pihak-pihak tertentu hipokrit kononnya kita kehilangan Aziz Sattar. Hakikatnya Aziz Sattar sudah lama hilang. Hilangnya Aziz Sattar apabila kehebatan pelakon ini langsung tidak pernah diangkat oleh mana-mana pengarah dan penerbit sejak akhir-akhir ini.

Aziz tidak diletakkan sebagai teraju utama jauh sekali sebagai hero sejak namanya semakin suram lebih kurang 20 tahun yang lalu. Tidak seperti pelakon Barat yang semakin berusia semakin tinggi bayarannya dan semakin tertonjol watak lakonan mereka. Pelakon veteran Marlon Brando, Robert Redford, Sean Connery atau Anthony Quiin mendapat tempat utama hingga ke akhir hayat. Ini menjadi berbeza kerana pengarah dan penerbit filem di sana tidak " buta seni" seperti kebanyakkan pengarah dan penerbit di negara ini.

Beliau hanya digelar pelakon veteran, dirai di dalam acara glamour dengan kehadiran pemimpin atau hanya diraikan ketika acara berbuka puasa yang mengumpulkan rakan-rakan veteran setahun sekali. Meskipun hakikat ini cukup perit untuk ditelan, inilah hakikat yang berlaku kepada mereka. Apabila berusia mereka hanya layak bergelar pelakon veteran dan mendapat layanan sebagai "orang tua" bukan sebagai pelakon hebat yang dimatangkan oleh usia.

Kenangan

Keakraban Aziz Sattar bersama P. Ramlee dan S. Samsuddin bukan kisah dongeng. Persahabatan yang mereka jalinkan sejak tahun 1950-an kekal bertahan meskipun dua lagi sahabatnya terlebih dahulu kembali menemui Ilahi. Bagi generasi lama pastinya kehebatan Studio Jalan Ampas begitu dekat di hati. Lahirnya banyak nama-nama besar tanah air di sana ditambah dengan jumlah filem yang kekal bertahan sampai hari ini.

Aziz Sattar merupakan antara generasi yang mencorakkan Jalan Ampas sebelum tempat tersebut ditutup dan berpindah ke Kuala Lumpur. Meskipun tidak hadir dengan bintang bersinar ketika itu, bakat seni seniman ini tidak malap. Beliau tahu dengan mencuba sedaya upaya untuk menjadi pelakon barulah nasibnya akan berubah ketika itu.

Kini tiada lagi derai tawa Aziz Sattar akan kedengaran. Tiada lagi usikan manja pelakon yang bernoktah pada usia 89 tahun itu. Aziz Sattar telah menemui penciptanya. Persemadian terakhir telah ditempuhi menandakan jasadnya tidak akan lagi bersama seluruh pencinta hasil seninya.

Pemergiaan Aziz tidak sekadar diratapi oleh anak, cucu dan cicitnya tetapi turut dirasai oleh segenap lapisan masyarakat. Pastinya kepergian Aziz akan dirindui oleh semua. Pastinya ketiadaan Bujang Lapok terakhir ini bagai mengikut jejak kepergian dua lagi sahabat karibnya iaitu P. Ramlee dan S. Samsuddin.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...