Oleh GARRET DAWUM
garret.dawum@utusan.com.my
Gambar MOHD. NAIM AZIZ
garret.dawum@utusan.com.my
Gambar MOHD. NAIM AZIZ
DALAM lebat hujan, usai tugasan pada satu malam yang agak lewat di hadapan Balai Polis Hulu Kelang, saya menunggu dengan penuh debar. Semoga ada teksi yang berhenti dan dapat membawa saya pulang ke rumah sebaik selesai membuat liputan mengenai laporan polis yang dibuat oleh Persatuan Kebajikan Artis Veteran (PKAV) waktu itu.
Tiba-tiba sahaja, sebuah kereta Proton Saga berwarna hitam datang dan berhenti betul-betul di hadapan saya.
Lelaki tua dengan wajah penuh ceria mengajak saya menaiki keretanya. Perasaan saya? Sudah pastinya bagai guruh yang turut sama berdentum di angkasa raya ketika itu. Orang yang mempelawa saya adalah seorang seniman yang begitu dikagumi iaitu Datuk Aziz Sattar. Ya, dialah orangnya. Saya segan tidak keruan, tetapi ajakannya yang penuh dengan nada ikhlas menjadikan saya tidak sampai hati untuk menolak. Melihat dia benar-benar ikhlas, saya tidak mampu lagi untuk terus menolak pelawaannya itu.
Tanpa disangka, kejadian pada Mac 2013 itu adalah satu peluang untuk insan yang berusia setahun jagung dalam dunia kewartawanan hiburan seperti saya, mengenali dengan lebih dekat siapa Aziz Sattar sebenarnya.
Perjalanan lebih satu jam untuk meredah kesesakan lalu lintas bagaikan tidak terasa. Banyak cerita yang diberitahu oleh seniman kebanggaan negara itu, membuatkan saya tidak henti-henti ketawa.
Hari ini, semua pesanan dan kata-kata semangat yang diluahkan kembali meniti ingatan saya. Pesannya, dalam apa juga pekerjaan, lakukan dengan sedaya upaya, sehabis hebat, sehabis kuat dan jangan sekerat jalan. Berusahalah membantu insan lain yang memerlukan, meskipun dalam keadaan kita serba kekurangan.
Beliau juga meminta supaya wartawan muda seperti saya, bantulah PKAV kerana itu nyawanya sebagai artis.
Dalam PKAV, dia adalah Presiden dan kekal sehingga ke akhir hayatnya.
Itulah rendah dirinya sifat seorang bintang legenda yang cukup terkenal menerusi filem Bujang Lapok, Datuk Abdul Aziz Sattar atau lebih dikenali dengan nama pentasnya Aziz Sattar. Rendah diri itu juga yang terzahir lewat watak-watak lakonannya yang seringkali dekat dengan kisah hidup dan kehidupan anggota masyarakat.
Demikianlah mahalnya seorang Aziz Sattar yang membuatkan kita akan terus mengenang dirinya. Malah, rakan-rakannya seperti P. Ramlee sendiri menjadi 'besar' dan 'hebat' di mata kita, kesan daripada penceritaan Aziz yang tidak pernah memadamkan ingatan dan kenangan terhadap seniman agung itu dalam setiap bicaranya dengan sesiapa sahaja.
Tidak keterlaluan jika dikatakan, P. Ramlee sendiri 'terhutang' dengan Aziz lewat pengkisahan demi pengkisahan kepada generasi hari ini. Dia adalah muzium seni yang masih hidup sehinggalah kelmarin dia dipanggil pulang oleh pemiliknya.
Selasa lalu, kira-kira pukul 2 pagi di Hospital KPJ Kajang, suasana hiba menyelubungi ahli keluarga apabila lelaki ini pergi buat selama-lamanya, bertemu dengan Yang Maha Esa. Dalam usia 89 tahun, Aziz Sattar menghembuskan nafas terakhir di sisi dua orang anaknya, Sandakiah Aziz dan Dahlia Aziz.
Pemergian Aziz Sattar itu sekali gus berakhirlah era kegemilangan trio Bujang Lapok yang tak mungkin ada gantinya, sampai bila-bila.
Sekarang, Bujang Lapok yang sebati dengan Allahyarham P.Ramlee dan Allahyarham S.Samsudin hanya masih 'hidup' dan terpahat di hati serta ingatan kita.
Mengenang kembali karier insan bernama Aziz Sattar, pada tahun 1950 beliau pernah menganggotai pancaragam Suara Hiburan Keroncong, dan pada September 1951 bekerja di Studio Jalan Ampas, Singapura.
Kehidupan Aziz mula berubah pada 1952 apabila dia diajak dua teman sekampungnya bekerja di studio Malay Film Productions. Pada peringkat awal, dia sekadar bekerja sebagai juru alih suara.
Namun, terkejut kerana gajinya ketika itu jauh lebih rendah berbanding kerjanya sebagai pemandu lori iaitu hanya RM70 sebulan.
Pada 1953, dia dipelawa berlakon sebagai watak tambahan dalam filem Putus Harapan. Filem pertama beliau membawa watak penting adalah filem Arjuna, diikuti siri Bujang Lapok dan filem Aksi Kucing.
Selain berpuluh-puluh filem lakonannya, Allahyarham juga pernah mengarah filem seperti Keluarga Si Comat (1975), Si Badol (1979), Prebet Lapok (1979), Penyamun Tarbus (1980), Da Di Du (1981), Setinggan (1982) dan Darah Satria (1993).
Boleh dikatakan beliau merupakan seniman serba boleh. Semasa hayatnya, beliau memang banyak muncul sama ada di layar perak atau kaca televisyen. Kehadirannya pasti memberikan tawa dan ria kepada peminatnya.
Tidak hairanlah pada 2007, beliau telah menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang membawa gelaran Datuk.
Terkenal dengan keletah lucunya di pentas, Allahyarham juga mempunyai kisah menarik. Dilaporkan beliau pernah diseksa oleh tentera Jepun kerana dituduh mencuri selain dikenakan penjara selama enam bulan selepas disyaki terlibat dalam kes rusuhan Natrah di Singapura pada tahun 1950-an.
Di sudut peribadi seniman itu yang dilahirkan di Pekalongan, Jawa Tengah, Indonesia pada 8 Ogos 1925 itu, beliau pernah mendirikan rumah tangga sebanyak empat kali. Tetapi hanya dua pernikahannya sahaja yang lebih diperkatakan iaitu bersama Siti Rumina Ahmad (isteri ketiga bercerai) dan seniwati Dayang Sofia (isteri keempat - bercerai).
Hasil perkongsian hidup itu, Aziz telah dikurniakan tujuh anak, 20 cucu dan 10 cicit.
Pada 16 Disember 2006 Allahyarham sekali lagi berkahwin dengan Hashimah Delan di Masjid Sultan Abdul Aziz, Shah Alam dekat sini dengan mas kahwin RM100. Namun, hubungan itu tidak kekal lama apabila mereka dikatakan bercerai pada Mac 2012.
Bagi mereka yang mengenali Allahyarham, segala keluhuran hati, kemesraannya selain kata-kata lembutnya kala berbicara akan terus menjadi kenangan. Kini wajah, gelagat lucu dan kemesraan itu sudah tiada. Pastinya kepada mereka yang rapat dengan Allahyarham akan merasai kehilangannya. Semoga kini, Aziz yang sentiasa mesra di kalangan orang seni kini tenang dan damai di tempatnya yang abadi.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20140508/hi_01/Seniman-yang-'beraja'-di-hati#ixzz31SnwpEB4
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment