Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
aziz.itar@utusan.com.my
ALLAHYARHAM Datuk Aziz Sattar lebih dikenali ramai peminat filem dan drama Melayu sebagai pelakon komedi sejak awal tahun 1950-an sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2 pagi semalam.
Sedangkan asalnya pelakon yang berusia 89 tahun ini bukanlah terkenal dengan aksi-aksi komedi berdasarkan filem pertama lakonannya berjudul Harapan arahan B.N. Rao terbitan Studio Malay Film Productions di Singapura pada tahun 1953.
Dalam filem yang turut dibintangi oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Nordin Ahmad dan Rokiah Jaafar itu Allahyarham melakonkan watak seorang guru sekolah.
Allahyarham yang mesra dengan panggilan Pak Aziz paling menonjol dan diingati sehingga ke akhir hayatnya menerusi filem komedi Bujang Lapok yang diarahkan oleh P. Ramlee pada 1957.
Itupun selepas beliau berlakon dalam 10 filem yang kebanyakannya melakonkan watak serius, maka barulah muncul filem tersebut. Ia kemudiannya diikuti filem Pendekar Bujang Lapok (1959) dan Seniman Bujang Lapok (1961).
Apa yang pasti, melalui trilogi Bujang Lapok itu, Allahyarham turut berlakon bersama-sama Allahyarham S. Shamsuddin (Pak Sudin) dan P. Ramlee. Tiga pelakon itu umpama tiga serangkai yang mana ia menjadikan kombinasi trio itu cukup berkesan dalam menggeletek hati para penonton.
Dengan pemergian Pak Aziz ke rahmatullah kerana serangan jantung, hilanglah sumber utama yang menjadi saksi hidup akan kehebatan filem-filem tersebut.
Jika sebelum ini, Pak Aziz orang terakhir di antara mereka bertiga yang paling banyak berkongsi tentang pengalaman tersebut.
P. Ramlee terlebih dahulu meninggal dunia iaitu pada 29 Mei 1973, manakala Pak Sudin pula menyusul pada 4 Jun 2013. Tiga sahabat ini telah membina kerjaya bersama-sama sebagai pelakon di Studio Malay Film Productions di Jalan Ampas, Singapura pada awal 1950-an.
Mereka juga pernah tinggal serumah sewaktu zaman bujang di Jalan Boon Teck, Singapura sewaktu mula-mula bekerja di studio milik Shaw Brothers tersebut. Sebab itu, hubungan tiga pelakon legenda ini amat rapat dan boleh dikatakan saling mengenali hati budi masing-masing.
Keakraban Pak Sudin dan Pak Aziz jelas kelihatan setiap kali mereka berjumpa walaupun Pak Aziz menetap di Kuala Lumpur manakala Pak Sudin pula di Singapura.
Penulis masih ingat sewaktu mengikuti lawatan Persatuan Seniman Malaysia yang ketika itu diketuai oleh Presidennya, Datuk Mustapha Maarof melawat Pak Sudin di kediamannya di Bukit Batok Avenue, Singapura pada Julai 2010.
Pak Aziz yang turut serta dalam kunjungan itu dilihat begitu sebak apabila melihat keadaan Pak Sudin yang tidak berapa sihat ketika itu. Meskipun jam menunjukkan pukul 11 malam, tetapi Pak Sudin kelihatan sangat gembira menyambut kedatangan kawan rapatnya itu.
Menurut isteri Pak Sudin, Puteh Esmoon kalau tidak kerana Pak Aziz itu sahabat baik, suaminya itu memang tidak akan melayan tetamu yang tidak rapat dengannya sehingga ke dinihari. Malah, Pak Sudin juga menyuruh isterinya menyediakan minuman dan pisang goreng demi mahu melayan tetamu istimewa itu.
Daripada perjumpaan itu, penulis dapat melihat dua sahabat ini cukup serius sewaktu berbual-bual. Sedikit pun tidak nampak unsur komedi sama ada melalui gerak gaya ataupun butiran percakapan masing-masing.
Mereka saling bertanya khabar termasuklah tentang rakan-rakan seangkatan yang ada antaranya masih menetap di Singapura walaupun ramai yang telah berpindah ke Kuala Lumpur sewaktu era pembukaan Studio Merdeka di Hulu Klang, Selangor pada awal 1960-an.
Dua pelakon yang berketurunan Jawa ini mudah sebak sewaktu sesi perjumpaan itu walaupun ia cuma seketika. Malah, penulis turut menyaksikan sendiri Pak Aziz menitiskan air mata sewaktu membawa melawat ke Studio Malay Film Productions di Jalan Ampas sekitar Oktober 2010. Paling ketara raut sayu wajahnya itu sewaktu berada di depan bekas set tapak penggambaran filem-filem Bujang Lapok yang diadakan di studio tersebut.
Beza pelawak dulu, sekarang
Pada masa sama penulis lantas teringat akan kata-kata Pak Aziz sewaktu hadir dalam suatu majlis anjuran Persatuan Artis-Artis Veteran Malaysia yang turut disertai oleh Allahyarham di Kuala Lumpur tidak lama dulu.
Banyak beza antara pelakon komedi sekarang dan dulu. Pelakon komedi dulu hanya kelakar di atas pentas atau dalam filem. Tetapi pelawak lama kalau di luar kami macam orang biasa sahaja. Tidak macam pelawak sekarang yang lawak di dalam dan juga luar set pentas," ujarnya.
Pak Aziz atau nama sebenarnya Abdul Azez Satta yang dilahirkan pada 8 Ogos 1925 di Surabaya, Indonesia berhijrah ke Singapura bersama keluarganya ketika berusia tujuh tahun. Allahyarham telah melakukan pelbagai kerja sewaktu zaman remajanya termasuklah sebagai pemandu dan buruh kasar.
Sebelum menjadi pelakon, Allahyarham terlebih dahulu memulakan kerjayanya sebagai pengalih suara di Studio Malay Film Production hasil pertolongan pelakon Allahyarham Sharif Dol pada 1952. Difahamkan pengarah Datuk Jamil Sulong yang menukar nama Pak Aziz kepada Aziz Sattar biarpun sebelum itu Allahyarham telah menggunakan nama Aziz Jr.
Di kalangan artis veteran, Pak Aziz boleh dikatakan seorang yang tidak suka menyendiri. Jika ada majlis membabitkan artis-artis veteran beliau seboleh-bolehnya akan hadir. Tambah menggagumkan apabila Allahyarham semasa hayatnya masih boleh memandu kereta sendirian dengan baik walaupun pada usia 80-an.
Malah, sewaktu hayatnya sewaktu di luar pentas atau set penggambaran Pak Aziz berkelakuan secara selamba sahaja. Dia juga tidak sombong dan mudah bergaul bukan sahaja dengan wakil-wakil media massa tetapi juga di kalangan pelakon muda yang lain.
Sebagai antara pelakon yang rapat dengan P. Ramlee, Allahyarham banyak menyimpan kenangan bersama seniman legenda itu. Penulis yang banyak kali bersua muka dan menemu bual Pak Aziz sering melihat air matanya bergenang apabila dia bercakap tentang P. Ramlee.
Pada pertemuan di Pustaka Peringatan P. Ramlee di Setapak, Kuala Lumpur pada September 2010, Pak Aziz menunjukkan satu-persatu barangan yang terdapat di pustaka tersebut. Antaranya prop yang telah dipakainya dalam filem-filem Bujang Lapok.
Sambil mengimbau nostalgianya itu, Allahyarham yang dikurniakan tujuh anak, 19 cucu dan lima cicit itu juga tidak lokek ilmu apabila berselang-seli mengungkapkan fakta yang mungkin jarang diketahui oleh para peminat P. Ramlee.
"Ramai orang tidak tahu ada tiga filem P. Ramlee yang tidak sempat disiapkannya iaitu Menanti Hujan Teduh, Bulan Sabit dan Hidayah kerana dia telah meninggal dunia akibat serangan sakit jantung," kongsi arwah yang juga pernah menganggotai kumpulan Panca Sitara bersama antaranya Allahyarham Noormadiah dan Datuk Ahmad Daud.
Bagi melebarkan lagi perkongsian pengalaman hidupnya bersama P. Ramlee, Pak Aziz telah menulis sebuah buku yang diberi judul Tan Sri P. Ramlee Di Mana Kan Ku Cari Ganti beberapa tahun lalu.
Sepanjang 61 tahun menjadi pelakon, Allahyarham telah membintangi lebih 30 filem antaranya Arjuna, Iman, Kechewa, Kipas Hikmat, Bernoda, Hang Tuah, Ribut, Keluarga Tolol, Pancha Delima, Hantu Jerangkong, Taufan, Gergasi, Kaki Kuda, Hantu Kubur, Saudagar Minyak Urut, Raja Laksamana Bentan, Aneka Hiburan, Singapura Dilanggar Todak, Pilih Menantu, Siapa Besar, Pusaka Pontianak dan Aksi Kucing.
Allahyarham Pak Aziz yang juga seorang pengarah filem pernah mendirikan rumah tangga dengan Siti Rumina Ahmad, Dayang Sofia dan perkahwinan ketiganya dengan Hashimah Delan pada 16 Disember 2006 .
Antara filem arahannya berjudul Keluarga Si Comat, Prebet Lapok, Si Badol, Da Di Du, Darah Satria, Penyamun Tarbus, Setinggan, Tujuh Biang Keladi, Bujang Lapok Kembali Da, Perawan Malam, Tak Kisahlah Beb, Adek dan O.K.
Sebagai orang yang rapat dengan P. Ramlee, Pak Aziz banyak belajar daripada seniman itu. Paling membanggakan Allahyarham telah menjadi saksi dan dapat melihat sendiri hasil-hasil kerja seni P. Ramlee yang terus diminati para peminat dan tidak luput ditelan zaman sehingga kini.
Arwah juga pernah bercakap kepada saya pada 1959, katanya 'Jis walaupun aku mati nanti tetapi aku akan hidup 1,000 tahun lagi'. Sekarang ia terbukti walaupun lebih 40 tahun dia meninggal dunia tetapi karyanya terus hidup," imbasnya lagi pada pertemuan dengan penulis tidak lama dulu.
Ternyata pelakon filem Ali Baba Bujang Lapok ini sempat melihat akan bukti dan kebenaran kata-kata P. Ramlee tersebut. Semoga Pak Aziz juga berpuas hati dengan bakat serta keringat yang telah dicurahkannya dalam bidang lakonan yang disertainya selama lebih separuh abad itu.
Al-Fatihah.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140507/re_05/Pak-Aziz-akan-terus-lekat-di-ingatan#ixzz31SmvwnSH
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment