TERTARIK dengan keunikan sejarah Bukit Besi, mendorong seorang penulis skrip filem dan drama tempatan untuk mengangkat kisah itu ke layar perak sebagai sebuah naskhah kenegaraan baharu.
Menurut Adza Irdawati Adenan (gambar), 37, kerja-kerja penulisan skrip itu turut dibantu adiknya, Adza Nasyaemie, 22.
Adza Irdawati berkata, idea untuk menghasilkan skrip Bukit Besi tercetus hasil permintaan dan perbincangan dengan bekas pensyarah di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak lama dulu.
"Beliau telah membuat kajian berkenaan Bukit Besi dan meminta agar rangkuman sejarah itu difiksyenkan untuk tatapan umum.
"Cadangan penerbitan filem Bukit Besi juga telah dibawa ke meja penilaian Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada November lalu bagi mendapatkan kemudahan geran penerbitan memandangkan pembikinan filem ini dijangka memakan kos amat tinggi. Bagaimanapun, kita masih menanti keputusan Finas mengenai filem ini," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai ringkasan skrip filem keduanya itu, Adza Irdawati berkata, ia berkisar mengenai keinginan seorang pemuda untuk bekerja di Bukit Harapan (Bukit Besi) yang mana pada ketika itu pendapatan yang diterima jauh lebih besar daripada pekerjaan lain.
"Konflik timbul di tengah ketegangan dan dendam orang Cina serta Jepun sekali gus menjadikan cerita ini berada di satu plot yang jarang cuba diketengahkan.
"Kejayaan membina terowong landasan keretapi di Dungun adalah kemuncak filem Bukit Besi ini. Kita juga bakal menyaksikan betapa rakusnya pihak luar mengaut hasil khazanah alam bumi Tanah Melayu," katanya.
Katanya, cabaran utama pastinya elemen sensitiviti kaum yang perlu dijaga, apatah lagi filem Bukit Besi itu membabitkan penglibatan orang Melayu, Cina dan India serta Jepun dan British. Filem ini dicadangkan untuk memulakan pengambaraan tahun ini," katanya.
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment