KUALA LUMPUR 16 Jun - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyeru umat Islam di negara ini agar bersatu-padu bagi menjadikan mereka kembali utuh dan mampu menghadapi rintangan serta ancaman musuh.
Seri Paduka bertitah, cabaran terbesar umat Islam masa kini adalah untuk bersatu hati dan bersepakat menghadapi realiti musuh-musuh Islam yang sentiasa mencari jalan bagi menghancurkan mereka.
Titah Tuanku Abdul Halim, permusuhan dalam masyarakat perlu dihindari dan mereka yang masih lena dibuai kelekaan fatamorgana duniawi perlu dibangkitkan.
"Selagi kesatuan ummah tidak mampu dicapai, selagi itulah kejayaan yang dijanjikan Allah SWT akan tertangguh.
"Telah dinyatakan dalam al-Quran bahawa Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa kecuali mereka berusaha untuk mengubah segala kepincangan dalam diri mereka sendiri," titah Seri Paduka ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-56 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam ini.
Tuanku Abdul Halim bertitah, umat Islam juga diseru kembali berpegang teguh kepada prinsip dan nilai-nilai Islam sejati bagi mengembalikan kesatuan ummah.
Seri Paduka turut menyeru rakyat supaya kembali kepada ajaran Islam seperti yang telah termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah.
Titah Tuanku Abdul Halim, Islam adalah agama yang membawa rahmat ke seluruh alam sekaligus menjadikan umatnya memiliki sikap atau watak yang berimbang.
"Berimbang bermaksud seluruh pertimbangan negatif dan positif diberi perhatian supaya jalan berfikir yang diambil selalu bersifat wasatiyyah," titah Seri Paduka.
Tuanku Abdul Halim turut menasihatkan rakyat agar mengamalkan konsep 'ummatan wa-satan' dalam setiap amalan.
Seri Paduka bertitah, dakwah Islam hanya dapat tertegak dan berjalan lancar dalam masa kedamaian serta apabila demokrasi wujud, bukannya dalam situasi tertekan dan kezaliman berlaku.
Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ini berlangsung mulai malam ini hingga 21 Jun ini.
Sebanyak 29 negara menyertai kategori tilawah manakala kategori hafazan disertai 27 negara.
http://myhomesoil.blogspot.com/2014/06/nasihat-ydp-agong-hadapi-realiti.html
No comments:
Post a Comment