REUTERS - Ketika pemimpin Barat lantang menuding jari kepada kumpulan pemisah pro-Russia dan juga Moscow berhubung insiden pesawat Malaysia Airlines ditembak jatuh, kerajaan Malaysia tidak banyak bersuara.
Sebab sikap berdiam diri ini - yang menimbulkan kritikan di tanah air - menjadi jelas apabila Perdana Menteri, Najib Razak mengumumkan selepas tengah malam Selasa bahawa kerajaannya sudah merundingkan pemulangan mayat hampir 300 mangsa Penerbangan MH17 dari wilayah yang dikuasai pemisah.
Najib yang berjaya menghubungi pemimpin pemberontak, Alexander Borodai, adalah pemain utama dalam mencapai persetujuan itu, menurut dua sumber di Malaysia yang mengetahui mengenai rundingan itu.
Rundingan itu tidak dihebahkan dan Najib hanya membabitkan beberapa orang kepercayaannya sahaja dalam usaha itu.
"Rundingan itu tidak dimulakan oleh Malaysia tetapi ia adalah projek Perdana Menteri," kata satu daripada sumber itu.
"Beliau adalah pemain utama dan hanya melibatkan beberapa (dalam versi lain -kurang dari sepuluh -penterjemah) orang kepercayaannya. Malah beberapa penasihat rapatnya juga bukan sebahagian daripada mereka."
Menerusi persetujuan itu, Malaysia akan menerima kotak hitam pesawat dan perakam data penerbangan yang berada dalam tangan pemberontak selepas ditemui di tapak pesawat itu terhempas di sempadan Russia.
Mayat mangsa pula akan dibawa keluar dari wilayah yang dikuasai kumpulan pemisah supaya penyiasat antarabangsa dapat melakukan ujian DNA dengan selamat dan mengembalikan kepada keluarga.
Orang tengah yang sumber itu enggan nyatakan, mengatur sekurang-kurangnya satu perbincangan melalui telefon antara Najib dan Borodai menerusi penterjemah.
Malaysia mahukan tiga perkara daripada kumpulan pemisah: pemulangan mayat mangsa, penyerahan kotak hitam dan jaminan akses selamat ke kawasan pesawat terhempas.
Menurut sumber kedua, pengikut Borodai mahukan dokumen yang ditandatangan yang memperakui bahawa kotak hitam itu tidak diusik.
Mereka juga mahukan penyerahan kotak hitam itu kepada pihak Malaysia kerana tidak mahu ia jatuh ke tangan kerajaan Ukraine.
Perakam suara dan data itu penting untuk penyiasat merumuskan apa yang menyebabkan pesawat berkenaan terhempas di timur Ukraine pada Khamis lalu semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Ketika rundingan mencapai kemajuan, Menteri Pengangkutan, Liow Tiong Lai, dan wakil syarikat penerbangan dan kerajaan terbang ke Kiev hujung minggu lalu.
Menurut sumber pertama, persetujuan asas dicapai Selasa dan Najib kemudian memberitahu sekumpulan kecil pegawai bahawa persetujuan sudah dicapai.
Sidang media yang dijadualkan pada jam 5.30 petang dibatalkan secara tiba-tiba. Pada jam 10 malam, Najib menghimpunkan penasihat dan pegawai media di kediaman rasminya untuk satu taklimat.
Pengumuman dibuat sejurus selepas tengah malam. Menjelang pagi di Malaysia Rabu, kotak hitam berkenaan berada dalam tangan Malaysia dan kereta api yang membawa mayat mangsa bertolak keluar dari wilayah yang dikuasai kumpulan pemisah.
http://siemens-melayumaju.blogspot.com/2014/07/mh17-bagaimana-malaysia-berunding.html
No comments:
Post a Comment