KUALA LUMPUR 1 Julai - Sikap ejen insurans dan takaful yang mengutamakan penjualan produk perlindungan berserta pelaburan, menyebabkan bayaran premium bulanan lebih mahal dan menjadi punca nilai pampasan diperoleh pelanggan adalah kecil.
Menurut hasil kajian Persatuan Takaful Malaysia (MTA), secara perbandingan premium bulanan produk perlindungan insurans/takaful yang disertakan dengan pelaburan adalah lebih mahal, berbanding premium produk perlindungan semata-mata walaupun nilai pampasan yang dijanjikan adalah sama.
Pengkaji bagi pihak MTA, Zainal Abidin Mohd. Kasim berkata, keadaan itu membuatkan jurang perlindungan isi rumah di negara ini amat luas. Jurang perlindungan itu bermaksud, nilai pampasan yang dapat diterima oleh pelanggan jika berlaku sebarang musibah untuk menanggung dirinya dan tanggunggannya (ahli keluarga).
Setakat 2012, jurang perlindungan di negara ini berada dalam keadaan yang membimbangkan iaitu RM2.49 trilion.
"Pada masa sama, masalah ini turut ditambah oleh kecenderungan pelanggan sendiri yang lebih tertarik kepada produk perlindungan pelaburan yang dipromosikan oleh ejen insurans.
"Disebabkan kekangan kewangan, mereka (pelanggan) hanya mengambil produk perlindunga pelaburan yang paling murah iaitu nilai pampasan yang dapat diberikan adalah sedikit," menurut Zainal Abidin semasa membentangkan hasil kajian itu di sini.
Menurut kajian itu lagi, pembayaran komisen yang tinggi jika dapat menjual produk perlindungan pelaburan, menyebabkan ejen lebih berminat untuk menjual produk itu, berbanding hanya perlindungan.
Zainal Abidin berkata, kurang pengetahuan kewangan serta lebih gemar terhadap produk berkaitan pelaburan dalam kalangan penduduk negara ini menyebabkan jurang perlindungan itu adalah besar.
Dalam kajian itu lagi, daripada 11 operator takaful di Malaysia hanya empat yang tidak menawarkan produk perlindungan pelaburan, manakala daripada 14 syarikat insurans konvensional, 12 daripadanya tidak menawarkan produk berkenaan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20140702/ko_03/Premium-insurans,takaful-mahal-di-Malaysia#ixzz36eqRkADf
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment