Surat panjang untuk Nik Aziz
Zulkifli Sulong
13 August 2014
Ke hadapan Tok Guru Nik Aziz yang disayangi.
Apa khabar Tok Guru? Semoga Tok Guru sentiasa tabah dalam menghadapi penyakit yang dihidapi. Saya yakin, Tok Guru dikehendaki Allah untuk terus hidup bagi menjadi penyelamat kepada parti dan jemaah yang Tok Guru pimpin ini ketika ia sedang dilanda badai sekarang.
Tok Guru,
30 tahun lalu iaitu pada 1983, saya menjejak kaki ke Pejabat PAS Kelantan untuk bertugas sepenuh masa dengan PAS. Ketika itu Tok Guru adalah pesuruhjaya PAS Kelantan.
PAS keseorangan ketika itu Tok Guru. Tidak ada kerjasama dengan mana-mana pihak. Sebagai pekerja muda yang baru berusia 20 tahun, saya tinggal di bangunan PAS Kelantan di Jalan Tok Pati. Setiap pagi Jumaat saya akan bersama-sama dengan allahyarham Ustaz Bunyamin Yaakub mempersiapkan Dewan Zulkifli Muhamad untuk Tok Guru mengajar.
Di situlah tempat bekerja dan di situlah juga tempat saya tidur. Saya masih ingat lagi bagaimana saya terpaksa makan mi segera selama dua hari ketika Kota Baru dilanda banjir pada tahun itu. Tanyalah Hashim Omar tentang cerita ini.
Kuliah Tok Guru ketika itu tidak ramai orang yang mendengarnya berbanding sekarang, tetapi cukup untuk memenuhi Dewan Zulkifli. Kuliah Tok Guru semakin ramai dari hari ke hari tetapi PAS hanyalah parti pembangkang yang mempunyai Adun tidak seberapa orang ketika itu kerana PAS bersendirian selepas ditendang keluar Barisan Nasional (BN). Tok Guru tentu lebih faham bagaimana ia berlaku.
Husam Musa (kini datuk) adalah bos saya ketika itu. Dia yang baru tamat pengajian dari Universiti Malaya (UM) bertekad tidak mahu bekerja dengan kerajaan kerana mahu berkhidmat sepenuh masa dengan jemaah. Husam pelajar yang cerdik masa di UM. Dia juga adalah pemimpin pelajar. Husam adalah setiausaha Penerbitan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).
Bagi memastikan beliau tidak dipaksa oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang memberikannya biasiswa agar bekerja dengan kerajaan, Husam tidak pergi ke peperiksaan akhir di UM Tok Guru. Akhirnya beliau hanya lulus dengan gred yang rendah dan dibiarkan begitu saja oleh JPA tanpa menawarkan tempat di mana-mana jabatan kerajaan.
Untuk membolehkan PAS mempunyai media, kami terbitkan Gema Pemuda. Mula-mula kami edarkan di Kelantan saja. Tanpa modal yang cukup tetapi dengan semangat tinggi, kami usahakan projek ini untuk jemaah. Kami terbitkan seminggu sekali dan edarkan di tempat kuliah Tok Guru. Apabila masuk keluaran ketiga, kami mula edarkan di negeri lain iaitu Kedah dan Terengganu pula.
Begitulah susahnya PAS ketika itu. Tetapi kami sangat senang bekerja. Tidak ada fitnah memfitnah dan serangan yang bukan-bukan kepada kami di kalangan petugas PAS.
Pada 1990, menerusi kerjasama dengan Semangat 46, kita berjaya merampas Kelantan. Semua kerusi DUN di Kelantan berjaya kita menangi bersama dengan Semangat 46 pimpinan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah. Tok Guru dilantik sebagai menteri besar. Alhamdulillah melalui kerjasama itu, kerajaan kita di Kelantan kekal sehingga kini.
Kita berjaya menang besar lagi pada 1999 apabila kita bekerjasama dengan Barisan Alternatif (BA) iaitu bersama dengan DAP dan PKR. Bukan saja berjaya mengekalkan Kelantan, kita juga berjaya merampas Terengganu. Kita berjaya menang atas sentimen masyarakat Melayu terhadap penganiayaan yang dibuat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden PAS Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Nor menubuhkan Gerak ketika itu dan membawa pelbagai pihak bersama dengan PAS melawan BN.
Namun apabila datang isu Dokumen Negara Islam, kita kalah teruk dalam pilihan raya 2004 kerana, DAP mengambil sikap keluar BA selepas tidak senang dengan kita.
Kita kehilangan Terengganu dan hampir kehilangan Kelantan. Beza kita dengan BN hanya tiga kerusi saja di Kelantan. Apabila pilihan raya kecil Pengkalan Pasir diadakan, kita kalah dan menjadikan beza kita dengan BN hanya satu kerusi.
Di era inilah Tok Guru banyak diuji. Pelbagai ujian datang Tok Guru. Yang paling besar dan saya masih ingat adalah Tok Guru diuji dengan menantu Tok Guru yang ketika itu menjadi ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK). Pelbagai fitnah yang Tok Guru hadapi.
Ingat tak lagi bagaimana Husam pergi menangis di depan Tok Guru memohon agar menantu Tok Guru itu ditamatkan perkhidmatannya? Akhirnya Tok Guru bersetuju dengan pandangan Husam dan selamatlah Tok Guru daripada fitnah itu.
Dengan pelbagai projek yang dibuat olehnya, kerajaan Kelantan berjaya mengharungi zaman cemas apabila bermajoritikan satu kerusi saja di Kelantan. Akhirnya pada pilihan raya umum 2008, kita menang besar di Kelantan dan juga Malaysia. Kita juga berjaya membentuk kerajaan di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang. Selepas itulah terbentuknya Pakatan Rakyat (PR).
Melalui PR juga kita menang besar dalam Pilihan Raya Umum 2013 lalu walaupun kita kehilangan Kedah kerana perpecahan dalaman yang berlaku di dalam parti kita.
Tok Guru yang dikasihi,
Kini, buat pertama kalinya PR berada dalam suasana paling runcing sekali. Ini ekoran krisis yang berlaku di Selangor apabila PKR tidak berpuas hati dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Mereka memutuskan untuk menukar Khalid dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Namun, sebelum mesyuarat AJK PAS Pusat yang akan memutuskan sikap kita, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan sokongan terbuka kepada Khalid. Tok Guru juga kemudiannya menyokong pendirian presiden itu. Majlis Syura Ulama yang diketuai Tok Guru juga membuat keputusan yang sama, menyokong Khalid kekal sebagai MB.
Namun sehari selepas mesyuarat itu, Tok Guru dalam sidang media di Majlis Rumah Terbuka PAS Kawasan Kota Baru berkata kepada media, Tok Guru hanya mempengerusikan mesyuarat itu setengah jam saja kerana tidak sihat. Tok Guru juga kata, tidak berminat untuk campur urusan MB Selangor itu dan biarlah orang Selangor menguruskannya.
Daripada kenyataan itu, saya terasa Tok Guru cuba untuk menjarakkan diri Tok Guru dengan keputusan Majlis Syura itu. Apa sebabnya semua orang tidak tahu. Mereka hanya boleh meneka-neka saja.
Saya beranggapan Tok Guru cuba menjadi orang tengah dengan tidak memihak ke mana-mana pihak yang sedang berbeza pendapat ini.
Tok Guru yang disayangi,
Sejak 10 tahun lalu, saya mula merasai kehadiran suasana yang tidak sihat dalam parti dan jemaah kita. Ramai orang muda di kalangan kita yang mudah sangat membuat tuduhan dan fitnah sesama kita, seolah-olah nilai ukhuwah yang ditanam dalam setiap usrah dan tamrin yang kita lalui dulu sudah tidak ada.
Sejak kebelakangan ini Tok Guru, perkara ini semakin menjadi-jadi. Ada-ada saja tuduhan yang dilemparkan sesama kita. Mereka yang paling banyak menjadi mangsa adalah pihak yang mahu mempastikan PR yang kita dapat manafaat maksima daripadanya terus kekal dan utuh.
Saya antara sasaran mereka kerana tugas saya adalah menulis dan premis utama tulisan saya adalah mempertahankan kerjasama yang kita bina melalui PR. Turut diserang adalah beberapa pemimpin PAS. Mereka dituduh lebih wala' kepada pemimpin lain daripada pemimpin parti kita sendiri. Padahal jika itu benar, baik mereka menyertai parti lain bukan menyertai parti Islam PAS ini.
Ada antara kita yang mengeluarkan fatwa golongan yang mempertahankan PR ini sebagai Munafik Haraki.
Ada juga antara kita yang melancarkan Gerak 2 selepas Gerak yang pertama dilancarkan allahyarham Fadzil dulu. Yang peliknya Tok Guru, Ustaz Fadzil menarik seramai mungkin orang perseorangan dan pertubuhan untuk bersama dengan kita dalam membela Anwar yang teraniaya, tetapi Gerak 2 mempunyai tujuan yang lain.
Gerak 2 dilancarkan untuk membela seorang individu yang kononnya teraniaya walaupun terpaksa menghalau sekurang-kurang dua parti yang mempunyai pengikut puluhan ribu yang selama ini berjuang bersama dengan kita.
Kita sekarang dalam dilema Tok Guru. Antara membela seorang individu dengan membela dua parti yang selama ini menjadi rakan kita berkempen untuk mendapatkan mandat dari rakyat.
Tok Guru yang dikasihi,
Saya penuh keyakinan, PAS mendapat manafaat maksima apabila kita bekerjasama dengan pihak lain berbanding dengan kita bersendirian.
Lihatlah apa berlaku kepada kita di tahun 1980-an apabila kita bersendirian dan pada 2004 apabila pihak lain meninggalkan kita.
Bandingkan dengan apa yang kita dapat apabila kita bersama dengan Semangat 46 pada 1990 dan apabila bersama Pakatan Rakyat pada 2008 dan 2013.
Kini Tok Guru, ada semacam satu kecenderungan kita hendak diajak agar bersendirian semula. Semua keputusan, ucapan, tulisan melalui media sosial dan sebagainya menjurus ke arah kita bersendirian.
Saya dengan rendah hati memohon Tok Guru agar campur tangan segera. Jangan dibiarkan jemaah kita ini terpaksa berundur ke belakang iaitu zaman 30 tahun lalu. Jika itu berlaku saya yakin, kita akan memerlukan 30 tahun lagi untuk membina semula jemaah kita ini untuk mencapai tahap yang ada sekarang.
Sekian Tok Guru. Terima kasih kerana sudi membaca coretan panjang saya ini. Saya sanggup bersengkang mata untuk menulisnya kerana hanya Tok Guru harapan saya untuk menyelesaikan kemelut ini. – 13 Ogos, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
https://www.facebook.com/groups/1374407939469815/1487639844813290/?comment_id=1487644324812842&ref=notif¬if_t=group_comment
No comments:
Post a Comment