Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Tuesday, 12 August 2014

Seumpama lebuh raya PLUS hari ini

ROSLAN Abdul Rahman menunjukkan laluan asal Mat Kilau yang terletak di sebelah laluan balak yang kini menjadi laluan peserta program merentas Banjaran Titiwangsa dari Raub, Pahang ke Ulu Slim, Perak.

SEBUT sahaja nama Mat Kilau, ramai dalam kalangan 'orang lama' kenal siapa pahlawan Melayu itu.

Dilahirkan pada 1865 di Kampung Masjid, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang, beliau menjadi buruan penjajah Inggeris kerana menentang peraturan memungut cukai dan mengutip hasil negeri sekitar tahun 1890-an.

Ekoran itu, beliau terpaksa menyembunyikan diri di mana-mana tempat yang difikirkan selamat termasuk di dalam hutan di tiga negeri berjiran, Kelantan, Terengganu dan Perak.

Tindakan 'melarikan diri' dan bersembunyi bukan kerana takut tetapi lebih kepada untuk mengatur strategi bagi memperkemaskan bentuk serangan yang akan dilakukan.

Untuk tujuan itu, Mat Kilau menggunakan denai hutan bagi menyukarkan pihak Inggeris mengekorinya.
Terdapat lima laluan yang pernah digunakan Mat Kilau untuk menyeberangi sempadan menuju Terengganu, Kelantan dan Perak.

Laluan dari Pahang ke Perak bermula dari Kampung Ulu Sungai, Raub ke Kampung Ulu Slim, Perak.

Laluan sejauh 34 kilometer itu mengambil masa dua hingga tiga hari untuk ditamatkan.

Penulis baru-baru ini berpeluang menyertai ekspedisi Merentas Banjaran Titiwangsa Ulu Sungai-Ulu Slim dari Raub, Pahang ke Ulu Slim, Perak. Ekspedisi itu turut disertai kira-kira 110 penduduk Kampung Cherok, Kampung Ulu Sungai dan Kampung Kela.

Tinjauan penulis mendapati laluan asal Mat Kilau yang digunakan sekitar tahun 1890-an itu masih wujud tetapi dipenuhi semak-samun yang tebal kerana tidak lagi digunakan.

"Laluan asal tidak lagi digunakan sejak laluan balak muncul. Dengan mengikut laluan balak, perjalanan disingkatkan kepada sehari suntuk sahaja.



 
ZAINAL Abidin (berbaju celoreng) bergambar bersama para peserta program di tepi Batu Gajah.

"Jadi, kita tidak perlu bermalam di dalam hutan seperti penduduk dahulu. Bagi yang laju, perjalanan memakan masa antara tiga hingga empat jam sahaja," kata Roslan Abdul Rahman, 54, kepada S2.

Beliau yang memiliki banyak pengetahuan mengenai laluan itu berkata, laluan asal terletak di tepi laluan balak yang digunakan sekarang.

Tinjauan penulis mendapati laluan asal itu kini dipenuhi semak-samun tetapi masih jelas kelihatan berikutan ia juga menjadi laluan haiwan di dalam hutan. Untuk sampai ke laluan asal, kita perlu menuruni lereng bukit sejauh 10 meter. Roslan turut membawa penulis meninjau kawasan yang dinamakan air limpah.

Mengulas mengapa perjalanan dahulu lebih lama, beliau yang kini bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Ulu Sungai, Raub, Pahang, berkata, jarak laluan dahulu lebih jauh kerana bermula dari pekan Raub berbanding perjalanan hari ini yang bermula dari Kem Sangka.

"Nak sampai ke Kem Sangka, dah boleh naik kenderaan pacuan empat roda (4x4). Dari situ, baru start jalan kaki dengan menempuh jalan balak yang luas dan bersih.

"Lagi satu, perjalanan orang dahulu lebih susah kerana perlu meredah hutan belantara yang tebal," tambahnya.

Selain itu, Roslan memberitahu, perjalanan sekarang juga lebih cepat kerana kenderaan 4x4 sedia mengambil peserta untuk dibawa ke Ulu Slim dari pintu rimba.

"Dapatlah jimat masa. Kalau tak, jenuh juga nak berjalan sekitar lima kilometer untuk sampai ke penempatan Orang Asli Pos Bersih sebelum tiba di Kampung Ulu Slim," katanya.

Sementara itu, Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Abah berkata, laluan Mat Kilau dahulu seumpama 'lebuh raya' bagi penduduk kampung di sebelah Pahang dan Perak pada tahun 1700-an hingga 1800-an.

Ini kerana ketika itu, tiada jalan raya yang menghubungkan Ulu Slim di Perak dan Raub di Pahang.

"Bayangkan keadaan lebuh raya sekarang, begitulah juga laluan Mat Kilau dahulu.

"Kesibukan laluan Mat Kilau menyaksikan penduduk kampung sentiasa berulang alik antara dua negeri itu untuk berjual beli, menemui sanak-saudara dan pelbagai urusan lain.

"Malah penduduk turut membawa haiwan ternakan seperti kerbau untuk dijual di Raub," katanya.

Menurutnya, ikatan kekeluargaan antara penduduk kampung berkenaan sudah terjalin sejak ratusan tahun dahulu.

S2 difahamkan penduduk dari kampung-kampung di sempadan Perak meneroka hutan sehingga memasuki Pahang.

"Apabila tiba di Raub, mereka akan tinggal lama untuk berkebun sehingga ada yang berkahwin dengan gadis tempatan.

Menceritakan lebih lanjut, katanya, laluan tersebut semakin sibuk apabila semakin banyak perkahwinan diadakan.

"Jumlah keluarga semakin ramai membuatkan amalan berkunjung bagi menghadiri kenduri dan ziarah sempena hari raya semakin meriah jadinya" ujarnya.

Abah berharap laluan Mat Kilau dari Pahang ke Perak itu mampu menarik kedatangan penggemar aktiviti lasak untuk beriadah.

"Banyak tempat menarik yang boleh diketengahkan di sepanjang laluan ini, antaranya mata air yang mengalirkan air ke negeri Perak dan Pahang; Batu Gajah yang berbentuk seperti seekor gajah serta Batu Hidang yang mempunyai kisah mistik melibatkan kaum Rawa," tambahnya.

Mereka yang ingin merasai pengalaman menyusuri laluan Mat Kilau dari Kem Sangka ke Ulu Slim bolehlah menghubungi Abah di talian 013-9078455.



© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...