Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Tuesday 7 October 2014

Pinda Perlembagaan Untuk Sekolah Satu Aliran

Ketika membentangkan kertas kerja dalam seminar "Bagaimana Pendidikan Boleh Dijadikan Alat untuk Ketahanan Negara" anjuran Universiti Pertahanan Nasional baru-baru ini, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr. Nordin Kardi mencetuskan idea supaya dipinda Perlembagaan negara untuk memasukkan sekolah satu aliran bagi semua kaum di negara ini.
Barangkali idea itu tercetus berikutan kegagalan Akta Pendidikan atau Penyata Razak 1956 dalam merealisasikan Sekolah Kebangsaan sebagai alat utama perpaduan. Sehingga kini sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) dan Tamil (SRJKT) masih lagi menjadi alternatif kepada kaum Cina dan India untuk persekolahan anak-anak mereka.
Kepelbagaian jenis sekolah terutama di peringkat sekolah rendah telah dianggap sebagai penyebab utama kepada kurang berjayanya usaha memupuk perpaduan di kalangan rakyat negara ini dan kesannya semakin ketara sekarang.
Jika sekolah pelbagai aliran ini diteruskan lambat laun ia menjadi seperti 'bom jangka' yang akan meletup pada bila-bila masa.Dan lebih berbahaya kepada generasi akan datang andainya Tragedi 13 Mei 1969 berulang.
Sangat ironis kerana kerajaan (Kementerian Pelajaran) memberikan bantuan perkapita, guru dan buku teks kepada sekolah jenis kebangsaan, tetapi kementerian tidak boleh menentukan guru besar di sekolah berkenaan.
Hampir tidak ada guru bumiputera yang berjawatan guru besar di sekolah vernakular, walaupun Kementerian Pelajaran membekalkan segala kelengkapan operasi sekolah kerana jawatan ditentukan oleh Lembaga Pengelola sekolah berkenaan, kecuali di beberapa sekolah kurang murid (SKM)!
Jika Tun Razak gagal dalam usahanya, tidak mustahil anaknya yang mempopularkan 1Malaysia akan menemui kejayaan jika mampu menggerakkan satu langkah berani dengan mencairkan semua sekolah vernakular kepada sekolah kebangsaan.
Tentunya bukan hanya dua orang kaum Cina seperti Profesor Emeritus, Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim dan Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional, Ridhuan Tee Abdullah sahaja yang mahu melihat perpaduan rakyat negara ini melalui satu sekolah. Ramai lagi penduduk kaum Cina yang melihat kepentingan nasional mengatasi kepentingan sempit perkauman.
Jika benar rata-rata kaum Cina dan India mahukan bahasa Mandarin (walaupun kebanyakan bukan bahasa ibunda mereka!) atau bahasa Tamil diterap kepada anak-anak mereka, maka sekolah kebangsaan mampu menyediakannya.
Apabila semua sekolah vernakular menjadi 'cair', maka sekolah kebangsaan akan mempunyai tenaga pengajar mencukupi untuk mengajar bahasa Mandarin atau Tamil di sekolah kebangsaan.
Kelemahan di sana sini jika ada di sekolah kebangsaan boleh diperbaiki bersama-sama atas nama kepentingan nasional.
Apakah ada kaedah lain untuk menjadikan rakyat Malaysia sepadu, berintegrasi dan kenal-mengenali antara satu sama lain?
Rata-rata negara maju menjadikan pendidikan rendah untuk memupuk integrasi, bukan menjadikan sekolah rendah sebagai tempat untuk menjadikan setiap pelajar mendapat "A".
Inilah sebabnya pendidikan rendah di negara maju lebih mengutamakan usaha memupuk minat belajar dan melayan rasa ingin tahu pelajar, berbanding dengan usaha memaksa mereka mendapat "A" dalam peperiksaan melalui "latih-tubi-hafal".
Malangnya, pendidikan di negara ini lebih mengutamakan "A" dan sekolah jenis kebangsaan yang menggunakan kaedah "latih-tubi-hafal" mendapat pujian, termasuk dari Menteri Pelajaran sendiri!
Walaupun Razak telah berusaha memasukkan idea Penyatanya dalam Akta Pendidikan seperti meletakkan fasal untuk membolehkan Menteri Pendidikan berkuasa menutup sekolah jenis kebangsaan, tetapi Menteri Pendidikan pada 1996 dalam pindaan Akta Pendidikan telah membuangkan fasal berkenaan, demi memberi "paha" kepada penyokong sekolah vernakular.
Melihat kepada gerakan yang dicetuskan patriot blog dengan nama Kempen SSS (Satu Sekolah Untuk Semua), tidak ada sebab lagi untuk semua orang dewasa yang cintakan negara ini untuk memisahkan anak-anak kecil berdasarkan sekolah.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pejuang seumur hidup DAP, Lim Kit Siang sepatutnya mengambil inisiatif memujuk semua pemimpin mereka untuk meminda perlembagaan supaya hanya dibenarkan satu aliran sekolah.
Tidak manis jika Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng yang juga rakyat sah negara ini dikatakan pejuang rasis oleh sesetengah pihak.
Jika Kit Siang yang mempunyai kuat suaranya di Parlimen, mengalahkan kekuatan Pengerusinya, Karpal Singh berinisiatif agar Perlembagaan dipinda bagi meletakkan Sekolah Kebangsaan sebagai alat utama perpaduan, tuduhan beliau bersifat rasis akan tidak lagi berkemundang.
Peranan setiap ahli Parlimen khususnya pemimpin utama parti politik tanpa mengira kaum, warna kulit dan agama adalah untuk berusaha bersama-sama bagaimana untuk memperkasakan sekolah kebangsaan, yang menjadi alat untuk perpaduan.
Nampak seperti tidak menjadi masalah kepada parti yang dianggotai oleh kebanyakan orang Melayu iaitu UMNO dan Pas untuk bersetuju dengan sekolah satu aliran, dan biarlah kali ini pendidikan tidak dipolitikkan, demi survival rakyat negara ini.
Memisahkan anak-anak sejak mereka kecil merupakan penyebab utama kepada segregasi kaum hingga hari ini, dan jika boleh dipinjam istilah 'dosa', maka dosanya lebih besar daripada menerima rasuah hatta rasuah ke Mekah.
Ini kerana jika rasuah hanya membabitkan dosa diri dan keluarga mereka sahaja, tetapi memisahkan keseluruhan anak-anak kecil akan menyebabkan seluruh rakyat negara ini berada seperti "telur di hujung tanduk".
Penyatuan melalui ekonomi seperti digerakkan oleh Tun Razak melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970 tidak menemui kejayaan maksimum kerana akhirnya yang mendapat lebih keuntungan tetap kepada hanya satu kaum yang telah lama menguasai ekonomi negara.
Mana mungkin bumiputera menikmati kek ekonomi sama rata kerana apabila diberikan satu projek pembangunan, yang memiliki sumber, mesin dan kekayaan hanyalah satu kaum sahaja.
Ini sebabnya data tahun 1969 menunjukkan bumiputera hanya memiliki ekuiti 2.4 peratus berbanding dengan bukan bumiputera 32.3 peratus, sedangkan hingga tamatnya pusingan DEB iaitu pada tahun 1990, ekuiti bumiputera meningkat kepada 19.2 peratus, tetapi bukan bumiputera meningkat kepada 46.8 peratus.
Sekolah Wawasan idea Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatukan tiga aliran sekolah dalam satu kawasan tidak juga menemui kejayaan, maka harapan yang ada kini adalah rasional di kalangan ahli Parlimen untuk meminda Perlembagaan negara bagi memasukkan sekolah satu aliran sebagai alat perpaduan.
Jika pungutan suara diadakan sama ada perlukah "sekolah satu aliran" diperkenalkan di negara ini, tentunya majoriti rakyat yang cintakan perpaduan akan memihak kepada gerakan ini, berbanding kini yang sekolahnya pelbagai aliran.
Ditulis oleh BAKHARI ARIFF, 2009,
Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad Universiti Utara Malaysia.

https://www.facebook.com/norman.h.alfan/posts/10203415551725089?comment_id=10203418982530857&offset=0&total_comments=1&ref=notif&notif_t=share_comment

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...