KUALA LUMPUR: Tidak ada sebab untuk sesetengah pihak mendakwa bangsa Cina dan India disisihkan kerajaan Persekutuan dan menuduh itulah punca mengapa kelompok itu mengalih sokongan kepada pembangkang.
Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berpendapat kerajaan Barisan Nasional (BN) seimbang dalam mengagihkan kekayaan kepada semua bangsa dinegara ini.
Namun tegasnya, kerajaan BN tidak boleh memandang ringan penolakan masyarakat berkenaan terhadap parti pemerintah itu dan fenomena itu perlu dikaji dengan teliti memandangkan pilihan raya umum ke-14, bakal menjelang tidak lama lagi.
"Saya kira ya (terbela). Jika kita lihat dari segi dasar, semuanya tidak ada yang tidak adil. Semasa kerajaan kita menggubal dasar, kesemua pihak Melayu dan bukan Melayu ada bersama dan mendapat persetujuan semua pihak.
"Mungkin dari pelaksanaan wujud ketirisan. Jadi hal itu perlu ditangani, bukannya selalu menyalahkan dasar. Selama ini kita lihat kepentingan kaum India, Cina dan peribumi Sabah dan Sarawak dibela oleh parti masing-masing dan dipersetujui serta dibantu kerajaan. Maka pada saya tiada sebab untuk mengatakan nasib mereka tidak terbela," katanya.
Menerusi wawancara bersama Antarapos baru-baru ini, Kok Seong menambah berdasarkan pemerhatiannya terhadap trend sosial rakyat di negara ini mendapati wujud sikap tidak percaya di antara satu sama lain. Ini akan membawa kepada keadaan saling tidak mengenali.
"Kalau kita kenal satu sama lain, disebabkan kita semua adalah manusia, dimana keperluan asas kita juga sama. (Namun) Kita kurang bergaul, sejak dari peringkat sekolah sebab berlakunya pengasingan etnik di usia yang muda.
"Apabila kita tidak percaya, maka apa-apa yang kita lihat sebagai keuntungan kepada satu pihak, maka kita anggap kerugian kepada pihak," ujarnya.
Merujuk kepada hal ini, Kok Seong berharap agar kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak segera mengambil langkah memperkasakan semula gagasan 1 Malaysia.
Beliau berpendapat selepas lima tahun ia dilancarkan, formula berkenaan masih gagal menerapkan keadilan sosial terhadap semua kaum dan agama di negara ini.
http://siemens-melayumaju.blogspot.com/2014/12/hak-cina-dan-india-tidak-pernah.html
No comments:
Post a Comment