ZAAIN ZIN | 05 Mac 2015 1:07 AM
ZULKEPLI MOHAMAD (tujuh dari kiri) membaca doa kesyukuran atas kejayaan anak-anaknya yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia di SMK Putri Saadong, Bachok, Kelantan, kelmarin. – Utusan/JAZALY AMRY JAAFAR
KOTA BHARU 4 Mac - Poligami bukan mudah, namun perkahwinan seorang ahli perniagaan, Datuk Dr. Zulkepli Mohamad bukan sahaja kekal hampir 30 tahun, malah beliau berjaya mengharungi bahtera rumah tangga bersama empat isteri serta 11 anak dengan bahagia.
Bagi mengekalkan keharmonian rumah tangga, Zulkepli berkata, beliau menekankan konsep kebersamaan, penggiliran yang adil dan tidak akan sekali-kali mengabaikan mana-mana isteri atau anak dalam setiap aspek.
Menurutnya, isteri pertama, Datin Hasnah Mat Ya, 56, serta isteri kedua, Rafizah Senawi, 48, tinggal berdekatan di Pasir Tumboh manakala isteri ketiga, Nurida Razali, 48, tinggal di Kubang Kerian.
Isteri keempatnya, Norreha Abdul Rahman, 48, pula tinggal di Peringat.
Bagaimanapun, tambah beliau, keempat-empat isterinya serta kesemua 11 anak mereka yang berusia lapan hingga 28 tahun diwajibkan berkumpul di salah sebuah rumah mereka pada setiap malam Jumaat bagi menghadiri sesi usrah.
“Kami akan solat maghrib dan isyak berjemaah, mengaji al-Quran, mendengar tazkirah serta makan malam bersama. Pendekatan ini membolehkan semua pihak bertemu manakala anak-anak pula dapat bermesra dengan adik beradik mereka yang lain,” katanya.
Kemesraan isteri-isteri Zulkepli turut terserlah apabila mereka dilihat sempat bergurau senda di samping membantu membetulkan tudung dan pakaian masing-masing ketika sesi penggambaran bersama Utusan Malaysia, semalam.
Zulkepli berkata, meskipun meluangkan masa di rumah berbeza setiap malam, beliau tetap akan menelefon isteri-isteri yang lain sebelum tidur untuk bertanyakan khabar mereka serta anak-anak.
“Saya cuba berlaku adil kepada semua isteri dan anak-anak. Sebagai contoh, jika mahu membelikan sesuatu barang untuk anak, saya akan pastikan kesemua mereka mendapat barang yang sama,” ujarnya.
Selain berupaya melengkapkan kuota poligami dalam suasana bahagia serta harmoni, pemilik firma perakaunan Zulkepli & Co. itu juga mampu mendidik kesemua anak-anak beliau sehingga berjaya dalam pelajaran.
Sebagai contoh, anak beliau bersama isteri pertama, Juliana Aziera, 18; anaknya bersama isteri kedua, Ayu Shaheera, 18; dan anaknya bersama isteri keempat, Zul Azrul, 18, menjadi pelajar terbaik di sekolah apabila mendapat 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tiga tahun lalu. Seorang lagi anaknya bersama isteri ketiga, Zul Azril pula memperoleh 7A 1B.
Empat beradik sebaya berlainan ibu itu kemudian mengulangi pencapaian sama dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 yang diumumkan semalam dengan Zul Azrul mendapat 10A manakala Juliana Aziera, Ayu Shaheera serta Zul Azril mendapat 8A 2B.
Kejayaan mereka yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putri Saadong tersebut didorong oleh kesungguhan Zulkepli sendiri yang bertindak sebagai ‘guru tuisyen’ di samping ibu-ibu yang sentiasa memberi galakan dan sokongan moral.
“Kejayaan ini adalah bukti pengajaran daripada ‘guru’ yang sama mampu menghasilkan keputusan serupa,” seloroh Zulkepli yang pernah menjadi tukang karut dikir barat dan terkenal dengan panggilan Zul Wisma.
Sementara itu, salah seorang anaknya, Ayu Shaheera mengakui, mereka berempat sangat akrab seperti belangkas walaupun tinggal di rumah yang berbeza.
“Kami bukan sahaja belajar di sekolah sama, malah turut menjadi rakan sekelas. Di dalam kelas, saya dan Juliana duduk bersebelahan manakala Zul Azril dan Zul Azrul pula duduk bersebelahan.
“Kami memang sukar dipisahkan sehingga bertekad untuk sama-sama melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang perakaunan, sama seperti papa,” katanya.
http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/keluarga-zulkepli-bertemu-setiap-malam-jumaat-1.66111
No comments:
Post a Comment