BANGI, 23 April – Pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah, Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Ustazah Suriani Sudi mengingatkan masyarakat Islam untuk tidak bersangka baik dengan orang seperti Alvin Tan.
Beliau berkata, video yang direka khas oleh Alvin itu amat jelas menunjukkan yang dia sengaja mahu memperlekehkan syiar Islam.
“Bukan dia tidak tahu, dia tahu apa yang dia buat. Sengaja dia berpakaian separuh bogel dengan melaungkan azan.
“Dia sengaja mahu menimbulkan kemarahan umat Islam.
“Sebab itu saya katakan kita tidak perlu bersangka baik dengan dia,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata demikian mengulas pandangan orang ramai yang berfikiran positif terhadap tindakan Alvin itu. Ada antara mereka mendoakan taufiq dan hidayah buatnya.
Ustazah Suriani yang juga Timbalan Ketua Wanita ISMA, berkata ini bukan soal taubat atau hidayah, tetapi ini soal penghinaan.
“Dia telah mengejek kesucian agama Islam. Tak kan kita umat Islam masih mahu tersenyum?
“Tak kan kita kita masih mahu mengatakan ‘tidak mengapa’, ‘biarkan dia’, nanti dia dapat hidayah.
“Sepatutnya sebagai umat Islam, kita perlu beramai-ramai mempertahankannya daripada terus diperkotak-katikkan,” ujar beliau.
Ustazah Suriani berkata, dari segi asas kemanusiaan, ia adalah tindakan daripada individu yang akalnya tidak sihat.
“Orang yang sihat akal tidak akan mengejek orang lain dan tidak akan merendah-rendahkan orang lain.
“Tindakannya itu seolah-olah dilihat untuk mencari publisiti murahan yang akhirnya menjatuhkan imejnya sebagai manusia normal.
“Malangnya ia melakukannya dengan penuh kesedaran,” katanya lagi.
http://siemens-melayumaju.blogspot.com/2015/04/jangan-bersangka-baik-terhadap-alvin-tan.html
No comments:
Post a Comment