Arkib : 08 April 2015
Tokoh-tokoh dan juga pemimpin yang pernah belajar di Victoria Institution (VI)
SEPERCA SEJARAH SEKOLAH VICTORIA - VICTORIA INSTITUTION (VI)
Sila Like: Retro Bola Sepak
6 April 1923 : Lembaga Pengawas pertama ditubuhkan di rantau Asia Tenggara, di sebuah sekolah elit, Victoria Institution, yang telah tertubuh sejak tahun 1893.
Sekolah ini ditubuh bersempena nama Ratu Britain, Queen Victoria mengambil contoh keberjayaan sebuah institusi sekolah di Singapura melahirkan tokoh-tokoh berwibawa iaitu Raffles Institution.
Sultan Selangor era itu, Sultan Abdul Samad bersama beberapa ketua kapitan pendatang Cina dan India di Kuala Lumpur telah bersepakat untuk menubuhkan sebuah sekolah seumpama Raffles Institution, yang menggunakan sukatan pelajaran Inggeris.
Selepas tertubuh VI ini lah, baharu muncul sebuah lagi sekolah elit khas untuk anak-anak golongan diraja dan bangsawan Melayu, iaitu Kolej Melayu Kuala Kangsar, atau MCKK yang diasaskan pada tahun 1905.
Kalau tidak silap, saban tahun, pasti akan ada pertandingan bola sepak dan ragbi antara VI dan MCKK, acara wajib kedua-dua sekolah sejak berzaman lamanya.
Sehingga kini, VI dan MCKK masih berseteru dalam segenap lapangan dan bidang, terutamanya sukan. St John Institution, Methodist Boys' School, Kuala Lumpur (MBSKL) dan Royal Military College (RMC / MTD) di Kuala Lumpur turut menjadi saingan kepada VI di Lembah Klang.
Ramai juga tokoh-tokoh yang VI lahirkan.
Paling diingati dan paling disegani, pastilah lagenda bola sepak negara, siapa lagi kalau bukan Allahyarham Dato' Mokhtar Dahari, yang pernah menuntut di sekolah tersebut dari tahun 1966 hingga tahun 1970.
Dalam satu temuramah sekitar tahun 1982, Mokhtar Dahari ada berkongsi memori beliau ketika menuntut di VI.
"..Panjang ceritanya. Saya masuk VI dari Tingkatan Satu. Dari tahun 1966 dan saya menuntut selama empat tahun di sana hinggalah tahun 1970. Memang saya tidak jangka dapat diterima masuk ke sekolah berprestij seperti VI..."
"...Saya sekadar pemain biasa-biasa sahaja. Posisi asal saya adalah sayap kiri. Hingga kini, saya masih rasa cara dan kaedah latihan bola sepak di VI sangat keras. Kami waktu itu tidak mempunyai jurulatih bertauliah. Tapi Cikgu Othman Mohd Ali, jurulatih VI, beliau memang lain dari yang lain. Meski pun beliau latih kami bersandarkan pengalaman beliau, Cikgu Othman seorang jurulatih yang sangat bagus. Kami sangat berdisiplin dan sentiasa berada pada tahap kecergasan yang tinggi. Kadang-kala kami akan ada latihan pusat dan perlu menginap di sekolah...".
"...Para pengawas VI sangat rigid. Mereka pernah memberi amaran kepada saya kerana mengubahsuai basikal. Saya didenda dan dihantar ke kelas tahanan, dan perlu membersihkan kotoran pada mana-mana karat di pintu dan tingkap. Itu sudah cukup memenatkan. Pengalaman paling pahit, pastinya bila mana saya gagal dua mata pelajaran dan kad laporan diberi pada hari yang sama saya perlu bermain menentang RMC di perlawanan akhir. Guru Besar berleter panjang pada saya, yang isinya cukup untuk buat saya insaf dan membara dalam jiwa. Ia buatkan saya bersemangat untuk meningkat lebih bagus, samada dalam bola sepak mahupun pelajaran. Nasib menyebelahi saya, kami menang perlawanan akhir tersebut seperti yang dijangka.
"...Memori paling indah ketika di VI, pastinya gol tunggal dan solo saya dalam perlawanan akhir Piala Laxamana tahun 1970 menentang musuh tradisi VI, iaitu MCKK. Itu satu-satunya kenangan manis di VI yang akan sentiasa saya kenang..."
Retro Bola Sepak : Untuk rekod, VI disenarai oleh Jabatan Warisan Negara (Department of National Heritage) sebagai antara salah satu daripada 47 tapak warisan bersejarah di Malaysia.
----------------------------------------
30 JULAI 1894 PERASMIAN VICTORIA INSTITUTION DI KUALA LUMPUR
The Victoria Institution 1894
Pada hari ini dalam tahun 1894, Victoria Institution yang terletak di High Street, Kuala Lumpur telah dirasmikan oleh Mr. Bennet Eyre Shaw, Guru Besar pertama sekolah itu. Victoria Institution merupakan sekolah Inggeris kedua di Selangor dan mula dibuka pada tahun 1893 di atas tanah seluas 8 ekar dengan kos sebanyak $11,500 ringgit, hasil kutipan wang orang ramai sempena Sambutan Jubli Emas Pemerintahan Queen Victoria pada tahun 1887 dan sumbangan daripada beberapa orang kenamaan ternasuklah Sultan Abdul Samad.
Sekolah ini ditubuhkan untuk memberi pendidikan Inggeris kepada anak-anak tempatan bagi persediaan menjawat jawatan pegawai rendah dalam pentadbiran negeri Selangor. Pada peringkat awal, mata pelajaran yang diajar ialah Bahasa Inggeris, Elementery Science, Lukisan dan pelajaran teknikal. Sesungguhnya, Victoria Institution telah banyak membantu anak-anak tempatan mendalami pelajaran aliran Inggeris dengan berkesan.
Sumber : Arkib Negara Malaysia
No comments:
Post a Comment