Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Tuesday, 7 April 2015

ALANGKAH BURUK AKHLAK ORANG KITA



Anak-anak generasi kedua terdidik dengan budibahasa dan adab bicara yang penuh berhemah. Namun ini tidak berlaku pada generasi ketiga. Tutur bicaranya amat memualkan sekali. Penuh dengan caci maki yang melampau batas. Akhlak keislaman dan kesopanan bangsa Melayu hampir pupus. 

Kematian itu boleh membawa kepada maksud muhkamat dan mutasyabihat. Secara muhkamat, apabila mati sahaja hayat seseorang, maka terkuburlah jasadnya dan terputus amalnya. 

Bagi yang hidup pula, seharusnya akan MATI NAFSU kejahatan dan kedengkian disebabkan insaf melihat kematian saudara kita. Sewajarnya kita jadi lembut hati dan lebih pemaaf. Apatah lagi apabila melihat matinya disebabkan satu nahas yang mengerikan. Namun nampaknya itu tidak terjadi kepada orang kita sekarang.

Terkejut dan kesal dengan pelbagai kecaman dan ejekan yang dilemparkan secara terbuka oleh orang kita ekoran dari nahas helikopter. Segala keburukan dan dendam kesumat dizahirkan secara terbuka. Habis artikel lama-lama pun digali semula untuk menimbulkan kebencian terhadap si mati. 

Alangkah tidak adil dan buruknya akhlak sebegini. Si mati yang sudah tiada untuk membela diri itu kita cerca dan jaja sewenang wenangnya. Perasaan ahli keluarga yang sedang berdukacita langsung tidak dipedulikan.

Tidak golongan ini dan tidak yang itu, tidak lelaki tidak wanita, muda tua sama sahaja. Lihatlah betapa cercaan yang jijik terhadap Allahyarham TGNA turut berlegar secepat itu, belum pun jenazah sempat dikebumikan.

MENDIDIK ANAK MELALUI ADAB DAN TERTIB PENGURUSAN JENAZAH

Sebagai pendidik, banyak yang perlu kami ajar anak-anak ini tentang adab dan tertib menguruskan jenazah. Kita sengaja datang untuk menyumbang tenaga dan menunjukkan simpati kepada keluarga simati. Kita harus ringan tulang dan tidak menyusahkan tuan rumah. Kerana itulah anak-anak kami bekalkan dengan segala kelengkapan yang cukup seperti PA system, walkie talkie, payung, surah yasin dan sebagainya.

Adab sopan dan akhlak ketika menziarahi orang mati juga harus dijaga. Anak-anak diminta supaya sentiasa menunjukkan simpati, jangan sekali-kali berjenaka sampai ketawa atau tersengeh-sengeh di majlis itu. Anak-anak juga dilatih untuk berada dalam situasi tidak selesa di majlis ad-hoc itu. Mereka harus belajar menjaga wudu’ untuk sentiasa ikut bertahlil dan solat jenazah.

Malam ini, selepas anak-anak selesai berbuka puasa dan bersolat maghrib kami atur mereka untuk mengadakan tahlil khusus untuk kesemua 4 saudara kita yang telah kembali ke rahmatullah itu (termasuk seorang dari ayah murobbi RPWP). Semuga kesemua mereka diterima amal baiknya dan diampuni segala dosanya. Sedikit sebanyak kebaikan mereka kami kisahkan sebagai pelajaran untuk semua.

PREJUDIS TERHADAP KEHADIRAN PELAWAT YANG IKHLAS

Ekoran dari tragedi nahas helikopter yang diikuti pula oleh kematian ayah kandung DSAI, kami mengikuti perkembangan kesemua jadual pengkebumian ini dan telah cuba mengatur jadual mengikut prioriti.

Berita awal mengatakan jenazah Allahyarham Datuk Seri Azlin akan dikebumikan sebelum zuhur, diikuti pengkebumian Allahyarham Dato’ Ibrahim selepas zohor dan jenazah Allahyarham Jamaludin Jarjis pula selepas asar di Makam Pahlawan. 

Oleh itu kami susun jadual untuk bersama menguruskan pengkebumian jenazah Datuk Seri Azlin di Saujana Impian dahulu. Kemudian kami berhajat untuk turutsama dalam upacara pengkebumian jenazah ayahanda DSAI di Kajang.

Akhirnya kami dapati kedua-dua upacara itu rupanya berlaku serentak. Sebaik sahaja selesai di Perkuburan di SMAP Kajang, kami telah meminta anak-anak yang belum makan tengahari untuk menahan lapar kerana perlu bergegas berangkat menuju ke perkuburan Sungai Ramal Luar. Malangnya urusan pengkebumian Allahyarham ayahanda DSAI diberitakan telah selesai pada jam 2.35 ptg itu juga.

Ada yang prejudis dan dengan terbuka mengatakan RPWP hadir secara paksa dan tidak ikhlas. Mereka katakan kami sengaja dijemput atau diperintah oleh PMO untuk hadir membantu menguruskan jenazah Allahyarham Datuk Seri Azlin Alias semalam. Ada pula yang menyangka kami hadir kerana telah termakan budi Almarhum. 

Sebenarnya kami tidak kenal dan tidak pernah ada apa-apa hubungan pun dengan Datuk Seri Azlin Alias. Hadirnya kami bersama-sama menguruskan jenazah adalah untuk mendidik anak-anak. Di samping jenazah Datuk Seri Azlin dijadualkan paling awal pengkebumiannya, juga kerana simpati kami terhadap keluarga beliau yang berdukacita menerima kematian mengejut atas musibah tragis ini. 

Ada pula yang menfitnah pengunjung yang tidak diduga di rumah Allahyarham Dato’ Ibrahim, ayah DSAI. Antaranya Tun Dr Mahathir Mohamed bersama Isteri, Datuk Seri Shahrizat dan juga Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Dr Zahid Hamidi. Kesal sekali melihat berbagai-bagai tanggapan dan ulasan negetif dilemparkan terhadap kehadiran mereka. Agaknya jika kami sempat hadir pasti kami juga dapat cemuhan yang sama. Alangkah kotornya hati orang kita.

Sebenarnya Datin Seri Wan Azizah sendiri mengatakan bahawa Allahyarham Dato’ Ibrahim yang pernah menjadi Ahli Parlimen dan menjawat Setiausaha Parlimen di Kementerian Kesihatan adalah sahabat baik Tun Mahathir. Dato’ Seri Zahid Hamidi pula pernah bersahabat baik dan adalah anak didik DSAI. Beliau juga tinggal di kejiranan yang sama di Country Heights itu.

httpa//://prihatin.net.my/.../dr-m-bapa-anwar-berkawan-rapat.../

KESIMPULAN

Gelagat ‘menganjing’ dan mencerca si mati secara terbuka yang kita lihat ini benar-benar menggambarkan seteruk mana akhlak kita. Jika kita yang berperangai begini adalah seorang guru, seorang ibu atau bapa, maka tidak dapat kami bayangkan bagaimana rupanya akhlak anak-anak didik kita kelak. Jika sebuah kematian, khususnya akibat kemalangan sebegini pun tidak dapat menyedarkan kita, kurang pasti apa lagi pilihan yang ada.

Sebaiknya kita bersangka baik. Kehadiran seseorang untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah itu adalah fardhu kifayah. Ia harus kita pandang positif sebagai akhlak baik sesama insan. Sedangkan terhadap jenazah Yahudi pun Rasulullah SAW bangun menghormati, inikan pula kita semua saudara seagama.

Sabda Rasulullah SAW: “Hak seorang muslim terhadap sesama muslim itu ada enam, iaitu apabila engkau berjumpa dengannya ucapkanlah SALAM, apabila dia MENGUNDANGMU maka penuhilah, apabila dia meminta nasihat kepadamu NASIHATILAH, apabila dia BERSIN dan mengucapkan Alhamdulillah maka doakanlah dengan ucapan YARHAMUKALLAH, apabila dia SAKIT ziarahilah, dan apabila dia MENINGGAL dunia iringilah (jenazahnya).” (Hadis Riwayat Muslim)

Hidup ini hanya sekadar satu perjalanan sementara yang sudah ditetapkan jaraknya. Nabi SAW membayangkan perjalanan umatnya hanya sekitar 60 – 70 tahun sahaja. 

Kita juga sedia maklum, kadangkala ada musibah atau aral yang boleh membuatkan perjalanan kita terhenti sebelum sampai ke destinasinya. Jika ada yang bernasib baik sampai terlanjut usia juga harus selalu ingat. Semakin hari jarak perjalanan kita menuju kubur adalah semakin dekat.

Sama-samalah kita mengingati mati yang semakin hari semakin menghampiri. InsyaAllah dengan mengingati mati kita akan jadi pemaaf, lebih mudah mendekati ilahi dan tidak akan mudah lupa diri.

WARGA PRIHATIN

https://www.facebook.com/wargaprihatin/photos/a.201867952785.170933.176792972785/10153758311837786/?type=1

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...