Kemesraan rakyat Malaysia dan perairan tropika negara yang indah telah menarik perhatian empat mahasiswa Kazakhstan untuk mengambil bahagian dalam program pertukaran pelajar selama satu semester di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.
Mereka yang kesemuanya mengambil kursus Sarjana Muda Bahasa Inggeris di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) tertarik dengan budaya dan tradisi Malaysia apabila berpeluang menjelajah negara dan menikmati gaya hidup orang tempatan.
Selain daripada destinasi menarik, makanan tempatan turut menjadikan perkara yang mereka kagumi.
Kazakhstan adalah sebuah negara Asia Tengah yang terletak di kedua-dua benua Asia dan Eropah. Ia dikelilingi oleh Rusia di utara dan barat, China, Kyrgyzstan dan Uzbekistan di timur dan Laut Caspian ke barat daya.
Salah seorang peserta, Aidana Duisenbi, 20, berkata, Malaysia merupakan sebuah negara yang selamat dan beliau tidak perlu khuatir apabila bersiar-siar di sekitar ibu negara.
“Kami dapat bantuan jika sesat berjalan. Orang tempatan membantu menunjukkan jalan. Tiada masalah apabila berjalan ke tempat yang kurang diketahui.
“Kami dibawa melawat ke Pulau Perhentian selama lima hari. Tidak dinafikan ia sangat indah tetapi saya masih sukar untuk membiasakan diri dengan cuaca yang agak panas,” katanya.
Dia turut berkongsi pengalaman mencuba makanan tempatan yang kebanyakannya pedas, walaupun dia secara peribadi tidak begitu gemar dengan makanan yang pedas.
“Saya suka nasi goreng ayam, tetapi saya perlu minta supaya kurangkan cili. Walau apa pun saya tetap menyukainya,” katanya yang merupakan mahasiswa Kazakh University of International Relations and World Languages (UIRWA) di Almaty.
Bagi Gulnar Bakytzhanova, 20, dia langsung tidak merasakan dirinya sebagai warga asing di Malaysia.
“Orang tempatan ramah dan bersopan santun. Ada kalanya mereka sangka kami orang Malaysia, dan ada juga yang menyangka kami rakyat China atau Jepun,” katanya.
Mengenai pengajian di UKM, kursus bahasa Inggeris di FSSK agak menyeluruh dan lengkap. Gulnar, seperti rakan-rakannya, mengikuti kursus tahun ketiga dan akan terus menyambung pengajian ke tahun akhir apabila kembali ke UIRWA selepas tamat program di UKM pada bulan Julai ini.
“Saya ingin melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan lepas itu berkhidmat sebagai pengajar di maktab perguruan, atau pensyarah universiti.
“Impian saya boleh dikatakan tercapai untuk menimba ilmu di luar negara sebelum mula bekerja. Saya minat untuk menyertai program pertukaran pelajar,” katanya.
Sementara itu, Aizada Tabyldiyeva, 19, agak berbeza kerenahnya berbanding rakan-rakannya yang lain. Ini kerana dia sukakan cuaca panas di Malaysia. Dia yang berasal dari bandar Aktau, berkata, cuaca Malaysia sekarang seperti musim panas di Kazakhstan.
“Saya sukakan musim panas, seperti bulan Jun, Julai, Ogos di Kazakhstan. Bagaimanapun hujan lebat setiap hari pada waktu petang menyukarkan kami untuk keluar menikmati keindahan bumi Malaysia,” katanya. – UKM
No comments:
Post a Comment