Sebuah telefon bimbit yang masih berfungsi merupakan objek terakhir yang dijumpai pada bangkai pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 pada April lepas. Menurut laporan NBC, Datuk Bandar Grabove, Vladimir Berezhnoy mendedahkan, telefon bimbit itu merupakan milik seorang daripada 298 orang penumpang yang terkorban selepas pesawat itu ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai tahun lalu.
Berezhnoy merupakan antara induvidu yang membantu pasukan penyiasat dan pemberontak pro-Rusia yang mengawal kawasan nahas untuk mengumpulkan barangan peribadi mangsa pesawat MH17. “Saya berasa cemas apabila kami menjumpai telefon bimbit itu kerana peralatan tersebut masih berfungsi seperti biasa, namun terpadam selepas beberapa saat kerana ketiadaan bateri. Kami pelik bagaimana alat berkenaan masih boleh digunakan walaupun tersorok di bawah timbunan salji untuk sekian lama.
“Bayangkan apakah perasaan anda apabila menerima pesanan ringkas daripada telefon bimbit seseorang yang telah mati lebih setahun. Saya tidak mahu sesiapa melalui saat itu,” katanya. Kebanyakan barangan peribadi mangsa yang dijumpai sebelum ini, disimpan di sebuah garaj di Grabove, tetapi telah dipindahkan ke lokasi lain bagi tujuan siasatan. Selain daripada mengumpul barangan peribadi, Berezhnony juga diberi tanggungjawab membekalkan makanan kepada pihak tentera. Sehingga hari ini, Barat masih lagi tidak bersetuju dengan teori Rusia berhubung kejadian tembak jatuh pesawat itu, sebaliknya yakin menyatakan pemberontak pro-Moscow mendalangi insiden tersebut. -BH
http://www.lulu-pages.com/2015/07/barang-terakhir-ditemui-pada-bangkai-pesawat-mh17.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+Lulu-Pages+%28Lulu+pages%29
No comments:
Post a Comment