Tragedi 13 Julai 2015 telah melakar satu sejarah yang memerlukan kita merenung sejenak.
Mahu ambil pelajaran dan berhenti di sini sahaja? atau mahu melayani amarah hati, bakar semangat perkauman sampai meluap-luap, pukul dan hempuk sana sini sampai luka parah, lupakan amal ramadhan dan keharmonian Aidilfitri untuk tidur dalam lokap?
Ramai yang bersetuju dengan larangan merusuh ini. Tidak kurang juga yang mengutuk. Kononnya ini bukan lagi kes curi atau tipu. Tetapi ini kes maruah apabila remaja Melayu itu ditangkap, dipukul dan dipijak. Kerana itu beberapa siri serangan dilancarkan sebagai amaran kepada masyarakat Cina agar jangan terus-terusan membuli Melayu.
Ramai abang polis yang tidak boleh solat terawih malam itu. Ramai juga pekerja dan orang awam yang terkandas akibat kesesakan. Tidak kurang yang ketakutan, kerugian harta benda, luka parah dan sebagainya. Yang bekerja di kawasan berhampiran pun takut untuk keluar bekerja.
Serangan dilancarkan kononnya jika tidak diajar, maka orang Cina akan lupa diri dan memperlekehkan orang Melayu yang memang sudah dipandang rendah ditanah air sendiri. Batas agama, hak istimewa orang Melayu dilanggar sewenang-wenangnya. Sekarang barulah masing-masing mula nampak akan bahayanya gerakan 'perkauman' ini.
ISLAM BUKAN HANYA UNTUK MELAYU ATAU ARAB SAHAJA
Banyak sekali hadis dan firman yang menghalang perkauman. Nabi SAW tidak mengaku umat buat mereka yang asobiyyah.
Sabda Rasulullah saw, “Sesiapa yang mati terbunuh di bawah bendera ‘immiyyah, mengajak kepada kepada assobiyyah atau membantu assobiyyah maka ia mati dalam JAHILIYYAH.” - HR Muslim dari Jundab ibn Abdillah al-Bajali
Sebenarnya Malaysia sudah terperangkap dengan permainan asobiyah agak lama. Kemarahan yang mencetuskan permusuhan dan perpecahan, termasuk asobiyyah sesama sendiri juga sudah lama.
Dajjal memang tidak mahu kita hidup bersatu padu dengan aman. Sengaja ditiupkan api kemarahan itu dan sengaja ditutup laluan musyawarah dan penyatuan. Cuma kita sahaja yang tidak sedar diri.
Kerana itu Islam melarang segala bentuk assobiyyah perkauman, kenegerian, bangsa, keluarga, kecuali asabiyyah (ketaksuban) kepada agama Allah sahaja. Ini yang akan menyatukan hati manusia untuk sama-sama hidup sejahtera kerana Islam bukan hanya khusus untuk sesuatu bangsa. Asobiyyah juga sinonim dengan sifat pilih kasih dan berat sebelah dalam sesuatu perkara, memberikan hak kepada orang yang tidak berhak.
Rasulullah SAW bersabda, "Assobiyyah ialah membantu kaum atau bangsa sendiri melakukan kezaliman iaitu syirik dan maksiat.
Menjawab pertanyaan Wathilah bin Al-Asqa. "Apakah yang dimaksudkan dengan assobiyyah?", Baginda SAW jawab: "Kamu menolong kaummu atas kezaliman".
"Bukan di kalangan kami sesiapa yang menyeru kepada 'as sobiyyah, bukan sesiapa yang berperang atas 'as sobiyyah, dan bukan di kalangan kami sesiapa yang mati atas assabiah". (HR Abu Daud).
KESIMPULAN
Hari ini asobiyah bukan sahaja berlaku di antara kaum berlainan, malah ia turut berlaku terhadap sesama Melayu juga. Sedih melihat bahasa-bahasa kesat dan tidak berakhlak dan cemuhan di kalangan puak-puak Melayu yang berlainan aliran. Yang berpangkat dan berpelajaran pun sama sahaja gaya bahasanya.
Kutukan dan bahasa carut marut kita hamburkan sesama sendiri tidak kira samada kerana perbezaan fahaman politik, suku, negeri, aliran agama dan sebagainya. Baik terhadap pemimpin, raja, imam, ulamak, guru sama sahaja kesat bahasanya, apatahlagi terhadap orang biasa.
Lihat bagaimana kita bersifat assobiyah terhadap polis, JPJ dan sebagainya dengan membabi buta. Memang ada segolongan yang kita tahu makan rasuah, tidak adil, pilih kasih dan sebagainya, tetapi apabila diborong semuanya, maka itu juga assobiyah namanya.
Kami ada banyak perkongsian tentang usaha penyatuan di antara kaum. Sebahagiannya boleh diintai dari foto dan artikel berikut. Kami juga ingin sekali melihat perpecahan di kalangan umat Islam di negara ini disatukan kembali.
Berikut ini adalah cetusan ringkas dari Saiful Nang yang menyentuh tentang sentimen perkauman di negara ini. Itu bermakna kami sependapat dengan beliau. Intipatinya terangkum dalam surah Saf (barisan), khasnya dalam ayat 2-4. Hayatilah agar kita dapat sama-sama mendidik hati.
Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maaf zahir batin.
WARGA PRIHATIN
NAMA SAYA SAIFUL NANG, SAYA BENCI RACISM.
Saya lahir dalam estat di Bukit Kerayon, yang suap saya makan semasa kecil dulu ialah aci-aci India yang berjiran. Kawan-kawan memancing, bermain, menjala, menggagau ramainya orang India.
Saya membesar di Felda Tementi, kawan-kawan saya ramai orang Melayu. Cikgu yang pernah buat kelas tambahan khusus untuk matematik saya sebelum PMR tanpa bayaran tambahan atau overtime dari sekolah ialah cikgu Cina. Saya bersekolah di English College JB dan seterusnya ke Universiti dan kawan-kawan saya dikelilingi oleh Cina-Cina. Mereka semua baik-baik sahaja.
If you talk bad about Indian, you hurt me
If you talk bad about Chinese, you hurt me
If you talk bad about Malay, you hurt me
If you don't want to hurt me, please respect my friends.
They are human too. So do us.
If we can be stronger as friends
Why separated as enemy?
Benda boleh bawa bincang.
Kenapa mahu berparang?
Memang semua kita ada kelemahan sampai orang buat pepatah rasis "Tidak Melayu kalau tak Malas, Tidak Cina kalau tak tipu dan tidak India jika tak mabuk" adalah satu generalisasi persepsi negatif semata-mata. Boleh sahaja jika dibuat pepatah yang lebih baik seperti "Tidak Melayu jika tidak sopan, tidak Cina jika tidak rajin, Tidak India jika tidak pandai". Mereka semua pun macam kita juga, ada kelemahan dan kekuatan sendiri.
Angkuhnya batu akan berkata tanpa aku yang keras, bangunan tidak boleh berdiri. Pasir pula menyampuk mengatakan jika batu tidak digaul dengan aku yang poros bagaimana mahu melekat menjadi tiang-tiang konkrit?
Tergelak pula Sang Simen dengan angkuh mengatakan "Korang semua bergaduh siapa lagi hebat, kalau aku tak ada korang semua tak boleh melekat dan menjadi bangunan".
Datang pula air dan diketawakan oleh simen, pasir dan batu sambil mengejek "Air mana boleh jadi bangunan tinggi?". Dengan senyum air menjawab "korang gaul lah sampai lebam, kalau aku tak ada korang tak bercampur jadi konkrit nak bina bangunan tinggi". Begitu juga udara, besi dan lain-lain yang membentuk kepelbagaian kaum yang lain-lain juga.
Jika semua angkuh dengan kehebatan masing-masing, jamban pun kita tak boleh nak bina. Jika kita bersatu melengkapi satu sama lain, KLCC barang 15 buah lagi pun kita mampu dirikan. Pernyataan ini untuk semua kaum yang membaca supaya kita hidup dalam keadaan rukun dan damai. Kaya kita tapi hidup tidak aman tidak guna juga kan?
I HOPE YOU "GOAT" IT.
SAIFUL NANG
Fairy Goatfather.
QS: 61. AsSaf 4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.
No comments:
Post a Comment